Seorang sahabat saya mengirimkan tazkirah menarik ini. Terlanjur saya masih tertanya-tanya bahan untuk tahun baru, akhirnya saya temui sesuatu. Alhamdulillah, Allah itu masih menyayangi hati-hati ini dan semua umat-Nya. TAHUN baru ini, sama ada masihi atau hijrah meninggalkan catatan sejarah yang terukir dalam diari kehidupan setiap insan. Kita juga cukup bertuah kerana kita dapat menyambut 2 tahun baru masihi dan hijrah dalam masa yang lebih kurang sama..Oleh itu, Masa untuk kita bertafakur meraba nilai diri yang dicalit oleh tinta yang penuh noda. Hitam dan putih, dosa dan pahala, kebaikan dan kejahatan, untung dan rugi, kegagalan dan kejayaan, semua itu mematangkan peribadi.
Rasanya baru sekejap anak dilahirkan, merangkak dan berlari, kini sama tinggi dengan ayah dan ibu mereka. Melihat cermin, nampak kulit semakin kedut, uban tumbuh di sana sini, hari-hari semakin sibuk melayari dunia yang mencabar keimanan.
Ada satu amalan paling sesuai dilakukan malam ini, bukalah album kenangan masa lalu dan letakkanlah di hati. Singkap lembaran demi lembaran yang mengandungi gambar tentang kehidupan kita. Kemudian cuba fikirkan beberapa persoalan mengenai takdir yang anda lalui sepanjang tahun ini.
Betapa lemahnya daya ingatan kita, apatah lagi mahu menjawab beberapa soalan yang menjadi rahsia Tuhan ke atas diri kita. Mungkin ada yang menolak takdir ke atas dirinya, tapi selepas dijalani akhirnya Tuhan membuka matanya melihat bahawa takdir itu baik dan membawa kebahagiaan dalam hidupnya.
Saat bermuhasabah, kita boleh merasai apakah kekuatan yang selama ini menunggangi keperibadian kita? Apakah kekuatan hawa nafsu atau keimanan? Dalam diri kita hanya ada dua kekuatan itu, silih berganti yang satu memenangi perlawanan terhadap yang lain.
Perlawanan itu berlangsung sepanjang hayat kita hingga akhirnya. Firman Allah yang bermaksud: “Adapun orang yang melampaui batas, dan lebih mengutamakan kehidupan dunia, maka sesungguhnya nerakalah tempat tinggalnya. Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya, maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggalnya.”
Selepas beribu batu perjalanan ditempuhi, eloklah berhenti sejenak sambil bertafakur untuk memastikan adakah jalan itu betul dan lurus sesuai dengan matlamat asal kita. Dari mana kita datang, untuk apa kita berjalan dan ke mana kita kita tuju? Kembalilah kepada Allah sebelum segala berakhir dengan kesengsaraan abadi.
Firman Allah yang bermaksud: “Dan peliharalah dirimu daripada (azab yang terjadi pada) hari yang pada waktu itu kamu semua dikembalikan kepada Allah. Kemudian masing-masing diri diberi balasan yang sempurna terhadap apa yang telah dikerjakannya, sedang mereka sedikitpun tidak dianiaya (dirugikan).”
Tidak ada ucapan selamat kepada mereka yang mensia-siakan hidupnya walaupun setiap tahun mereka menyambut perayaan tahun baru dengan gilang-gemilang. Yang sepatutnya diberi ucapan itu adalah orang yang cekal dan gigih memperjuangkan imannya hingga menemui Tuhannya dengan hati yang reda.
Ahlan Wa Sahlan 1431Hijrah.
-Maafkan saya andai ada ruang di dalam ini yang tidak cukup dan tidak menambahkan apa-apa, tetapi saya percaya, usaha saya, adakala bukan seratus peratus untuk blogging. Ilmu yang saya ada masih seperti setitis air yang menitis dari lautan luas, umpama jari yang dicelup, basahnya di jari itu adalah ilmu kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan