Jumaat, 30 Mei 2014

Mari Ikhlas



Bismillahirrahmanirrahim...

Ramai manusia tertipu dalam beramal kerana mengharapkan pujian orang. Padahal kata pujian daripada orang-orang itu tidak akan memberi manfaat pun kepadanya pada hari akhirat. Malah, mengharap pujian daripada manusia hanya akan menyebabkan diri terseksa kerana terpaksa hidup dalam keadaan yang bermuka-muka. Rugi benar orang yang tidak ikhlas, terseksa di dunia, terseksa di akhirat. Ada suatu kisah tentang Ikhlas... Artikel daripada Ustaz Pahrol Mohamad Juoi bertajuk Mari Belajar Ilmu Ikhlas.


“Mari kuajarkanmu tentang ikhlas,” kata seorang guru kepada muridnya.
“Nanti saya ambilkan buku dan pena untuk menulisnya.”
“Tak payah, bawa sahaja karung guni.”
“Karung guni?” soal anak muridnya, seperti tidak percaya.
“Mari kita ke pasar!”

Dalam perjalanan ke pasar mereka berdua melalui jalan yang berbatu-batu.
“Kutip batu-batu yang besar dan masukkan ke dalam guni yang kau bawa itu,” kata guru itu memberi arahan.
Tanpa soal, anak muridnya memasukkan batu-batu besar yang mereka temui sepanjang jalan.
“Cukup?”
“Belum, isi sampai penuh karung guni itu. Lebih banyak lebih baik.”
Sampai di pasar, mereka berdua tidak membeli apa-apa pun. Gurunya hanya berlegar-legar, melihat-lihat dan kemudiannya mula beredar ke luar.
“Tok guru, kita tidak beli apa-apa kah?”
“Tidak. Bukankah karung gunimu telah penuh?”
“Ya, ya…” kata murid itu sambil memikul guni yang berat itu kelelahan.
“Banyak beli barang,” tegur seorang kenalan apabila melihat anak murid itu memikul guni yang berisi penuh dengan batu-batu.
“Wah, tentu mereka berdua ini orang kaya. Banyak sungguh barang yang mereka beli,” bisik orang lalu-lalang apabila melihat guru dan anak murid tersebut.
“Agaknya, mereka hendak buat kenduri dengan barang-barang yang banyak itu,” kata orang yang lain.
Sampai sahaja di tempat tinggal mereka, murid tadi meletakkan guni yang berisi batu-batu tadi.
“Oh, letih sungguh… apa yang kita nak buat dengan batu-batu ni Tok?”
“Tak buat apa-apa.”
“Eh, kalau begitu letih sahajalah saya,” balas anak murid.
“Letih memang letih, tapi kamu dah belajar tentang ikhlas…”
“Bagaimana?” tanya anak murid itu kehairanan.
“Kamu dah belajar apa akibatnya tidak ikhlas dalam beramal.”
“Dengan memikul batu-batu ini?”
“Ya. Batu-batu itu umpama amalan yang riyak. Tidak ikhlas. Orang memujinya seperti orang-orang di pasar tadi memuji banyaknya barang yang kamu beli. Tapi, kamu sendiri tahu itu bukan barang makanan atau keperluan tetapi hanya batu-batu…”
“Amal yang tidak ikhlas umpama batu-batu ini?”
“Ya, hanya beratnya sahaja yang terpaksa ditanggung. Dipuji orang, tetapi tidak ada nilainya di sisi Allah. Yang kamu dapat, hanya penat…”
“Ya, sekarang saya sudah faham apa akibat jika beramal tetapi tidak ikhlas!” ujar murid itu. Sekarang dia sudah faham apa akibatnya RIYAK dalam beramal.

 
 

 

Khamis, 29 Mei 2014

Tanpa Tiang, Runtuhlah Rumah

 
Alhamdulillah segala puji bagi Allah Tuhan Sekalian Alam... Masih diberikan ruang untuk menumpang teduh di bumi Allah ini... Memuja-muji pada hari Yaumul Jumuaah ini. Alhamdulillah pagi ini kita telah menunaikan tanggunjawab dengan mengerjakan solat subuh. Masih ramai lagi di luar sana yang gagal untuk melaksanakan tuntutan mengerjakan solat lima waktu. Ya masih ramai! tidak kira dalam kalangan orang  muda mahupun dewasa. Agak sukar melihat generasi hari ini yang mampu untuk duduk sujud mengabdikan diri kepada Yang Maha Esa.   Itulah realitinya. Apabila saya membuat tinjauan kepada pelajar-pelajar , tidak sampai 10% pun yang mampu untuk menunaikan solat lima waktu. Ya mungkin di sekolah atau di asrama cukup, Namun mengapa apabila berada di rumah kita sanggup untuk meninggalkannya. Alah Bisa Tegal Biasa... Apabila tidak biasa melakukannya memang terasa berat hati untuk mengerjakannya. Kalau tidak memaksa diri , pasti tidak akan melaksanakannya .... Ya memang pada permulaan kita perlu memaksa diri.. perlu gigih untuk melaksanakannya... namun, apabila sudah terbiasa... kita pasti akan rasa resah gelisah apabila tidak menunaikannya...   Assolatu imaduddin... Solat itu tiang agama... Tanpa solat tidak lengkaplah agama kita... sama saja kita dengan orang yahudi... Kita sibuk membicarakan isu halal haram namun, tiang kita??? Tepuk dada Tanya iman kita....
 

Di mana kekuatan sesebuah rumah? Adakah di seni binaan rumahnya? Adakah pada keluarga yang hidup di dalamnya? Tentu sekali tidak. Kekuatan sesuatu binaan manusia terletak pada penyokongnya. Dalam bahasa yang lebih mudah, tiang merupakan komponen asas untuk mengukuhkan sesuatu binaan.

 

“Solat itu tiang agama. Sesiapa yang mengerjakannya, dia akan menegakkan agamanya. Sesiapa yang meninggalkannya, dia akan meruntuhkan agamanya.”
(Riwayat Baihaqi)

 
Kata-kata peringatan hamba Allah S.W.T yang dipilih menjadi pesuruh-Nya lebih 1400 tahun dahulu. Penekanan aspek solat oleh baginda menunjukkan seolah-olah solat adalah tiang bagi agama seseorang. Adakah solat satu perkara yang logik? Bagi saya, tidak logik. Bagaimana titik yang tertinggi pada seseorang manusia iaitu dahi, yang ketika solat, dahinya diletakkan separas tapak kaki? Kenapa titik yang tertinggi diletakkan pada titik yang paling rendah? Bukankah ini seperti melakukan kezaliman dengan meletakkan sesuatu tidak kena pada tempatnya?
Ini bukanlah kezaliman!
Inilah hakikat manusia dan penciptaannya!
Inilah pengabdian sebenar seorang hamba. Hamba kepada Yang Esa, Yang Pengasih lagi Mengasihani. Bukan hamba kepada perkataan “Allah”. Hamba ini berbangga dengan meletakkan dahinya separas dengan tapak kaki, dengan membesarkan Yang Maha Besar
Anggaplah Islam itu seperti sebuah rumah. Lantainya lafaz syahadah (rukun islam pertama), tingkat satu adalah puasa (rukun islam ketiga), tingkat kedua adalah zakat (rukun islam keempat) dan tingkat ketiga dan terakhir adalah ibadat haji (rukun islam kelima). Rumah ini pula ditiangi dengan solat sebagai rukun islam yang kedua.
Tanpa tiang (baca:solat), mana mungkin kita mendapat tingkat satu (baca:puasa) dan seterusnya. Tanpa tiang, kita cuma akan mendapat lantai (foundation) sahaja. Dengan lantai sahaja, kita boleh sahaja jadikannya gelanggang badminton, sepak takraw ataupun petanque. Bukannya rumah!
Solat adalah tunjang kepada semua amal ibadat di dalam Islam. Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud...
 
“Amal pertama akan dihisab bagi seseorang hamba pada hari akhirat ialah solatnya. Jika solatnya baik, maka baiklah segala amalannya yang lain. Dan jika solatnya rosak, maka binasalah segala amalannya yang lain.”
(Riwayat Thabrani)

Tanpa solat, tidak berguna berpuasa di bulan Ramadhan. Tanpa solat, habuklah yang kita dapat apabila mengeluarkan zakat. Tanpa solat, ibadat haji kita akan menjadi pelancongan yang lagha!



 
Akhir kata, tiang adalah penyokong yang ampuh kepada sesebuah rumah untuk dibuat tempat berteduh. Jika kita berjaya menyiapkan pintu, tingkap, dinding dan bumbung dan terlupa akan tiang, maka hasilnya adalah gelanggang badminton, sepak takraw ataupun petanque. Kerana Tanpa Tiang, Rumah Bukanlah Rumah!
 
 

 

 

Rabu, 28 Mei 2014

Jam 1.00 pagi

 
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang... Tepat jam 1.00 pagi mata ini walaupun masih belum sihat namun masih gagah untuk meneruskan perjuangan menanda skrip jawapan anak-anak... Apabila dikurniakan waktu sebegini akan terus berusaha untuk menanda ditambah pula dengan ditemani srikandiku Aisya Humaira'... Seakan-akan memahami untuk menemaniku saat ini. Terima kasih Aisya Humaira'.... Alhamdulillah masih diberikan nikmat kesihatan atas diri ini. Walaupun mata ini masih belum baik namun masih tetap bersyukur kerana masih beruntung daripada orang-orang di luar sana... Segala puji bagi Allah...
 
Saja malam ini melayan perasaan... emmm...  melihat pen dan jam yang berada di atas kertas yang berserakan itu timbul rasa kasih dan sayang yang amat mendalam... MENGAPA???

Jawapannya : Melihat dengan pandangan MATA HATI...

Sebenarnya, manusia memandang apa-apa sahaja di dunia dengan empat jenis pandangan:
• Pandangan mata.
• Pandangan akal.
• Pandangan nafsu.
• Pandangan mata hati.

 Katalah, apabila saya melihat Jam dan Pen itu… Kita boleh melihatnya dengan empat pandangan. Kalau jam dipandang dengan pandangan mata, kita akan tahu jenama jam itu, warna dan bentuknya. Itu pandangan mata biasa. Bagaimana pula jika jam ini  dipandang dengan pandangan akal? Mereka ini memandang dengan penuh kajian dan penelitian. Dengan itu mereka mampu menganalisis. Misalnya apakah jam itu asli atau tiruan... adakah jam itu mahal harganya atau tiada nilainya...
Lain pula keadaannya dengan orang yang memandang jam itu dengan pandangan nafsu. Mereka ini tidak ambil pusing langsung jam itu kepunyaan siapa-siapa terus dirembatnya ... Yang penting, dia dapat! Hinggakan dengan kegelojohan itu dia tidak sempat bertanya pun siapa yang empunya. Inilah buruknya pandangan nafsu. Yang dipentingkan hanya mahu bergaya dan kemewahan.
 
 Bagaimana melihat jam itu dengan pandangan mata hati?
Melihat dengan pandangan mata hati akan menyebabkan kita seolah-olah dapat melihat wajah pemberi jam itu.
Ya, kerana saya melihat wajah orang yang menghadiahkan jam itu. Saya terkenang akan kasih sayang, keprihatinan, kelembutan dan segala-gala yang baik daripadanya. Pandangan itu menjangkau sesuatu yang lebih bererti, bukan sekadar pada tulang, daging dan urat tetapi kepada yang lebih maknawi, yakni budi, kasih dan sayangnya. Tanyakan hati kita, manakah pandangan yang lebih tepat dan murni? Pastinya hati kita akan menjawabnya, itulah pandangan mata hati!
 
 
Satu analogi tentang diri yang ditulis oleh Ustaz Pahrol Mohamad Juoi (ustaz kegemaran saya)
 
Diri pada Pandangan Mata Hati
 
Sebenarnya diri kita juga boleh dilihat dengan empat pandangan. Cuba bayangkan, kita di hadapan cermin. Apabila kita memandang dengan pandangan biasa (hari-hari kita memandangnya begitu), kita akui itulah diri kita. Kemaskan rambut, betulkan tudung atau rapikan baju, lalu kita berlalu. Itulah pandangan mata biasa.
 
Tetapi ada orang yang melihat dirinya dengan pandangan akal.
Bagaimana? Dengan akal fikiran, berlakulah analisis diri sendiri terhadap wajah yang dipantulkan oleh cermin. Ah, semakin tembam aku ini. Semakin putih wajahku. Oh, sudah ada garis-garis kedut di pelipis mata. Begitulah hasil analisa akal menerusi pandangannya. Hasil pandangan itu, kita pun bertindak mengurangkan berat badan, membetulkan kedudukan pakaian, menggunakan bahan kosmetik untuk merawat wajah dan berazam untuk memulakan diet atau senaman.
 
 Diri kita juga boleh dilihat dengan pandangan nafsu.
Katalah, kita masih pada usia muda (remaja). Muda hanya sekali, begitu bisik pandangan nafsu. Jangan disia-siakan peluang yang datang hanya sekali ini. Maka nafsu yang sentiasa merangsang kepada kejahatan ini akan memberi “nasihat” jahatnya. Mana lagi disko, dangdut dan tempat-tempat pelesiran yang belum didatangi. Tunggu apa lagi, ayuh pergi!
Begitulah pandangan nafsu oleh orang muda. Bagi orang yang telah tua pula, pandangan nafsu ada helahnya tersendiri. Eh, engkau belum tua lagi. Apakah kau lupa, ‘Life begin at forty. Man is like wine… Akibatnya, orang tua tidak merasa tua lagi – miang-miang keladi, makin tua makin jadi. Maksiat terus diratah sebanyak-banyak dan secepat-cepatnya, seolah-olah pasukan bola yang memburu gol pada waktu kecederaan.
Bila diingatkan, datuk dah senja ni… Dia tidak akan menerimanya bahkan istilah orang tua kerap ditukar menjadi “orang lama”. Ya, mungkin si tua yang didominasi pandangan nafsunya ini, sudah pencen dalam kerjayanya tetapi belum pencen dalam melakukan dosa.
 
 Bagaimana pula orang yang melihat dirinya dengan pandangan mata hati? Orang muda akan menghargai umurnya dengan melakukan ketaatan kepada Allah. Muda bukan sekali, tetapi dua kali. Begitu bisik hatinya.
Kali pertama ialah umur muda di dunia yang bersifat sementara. Manakala muda kali kedua ialah muda di dalam syurga yang abadi selamanya (menurut sesetengah ulama umur ahli syurga sekitar 30-an). Orang muda yang dipengaruhi oleh pandangan mata hati ini insaf bawa muda adalah saat terbaik untuk mendekatkan diri kepada Allah. Mereka ini sedar bahawa antara soalan yang akan ditanyakan di padang Mahsyar nanti ialah, ke mana umur mudamu sudah kamu habiskan?
Allah tidak bertanyakan umur tua, ini kerana umur muda adalah ‘prime time’ (masa yang sangat berharga) untuk seseorang manusia, dan alangkah baiknya jika ‘aset’ yang sangat berharga ini diserahkan kepada Allah? Bukankah itu petanda kita benar-benar mencintai-Nya?
Lalu hati orang muda itu pun berazam, jika demikian aku akan gunakan umur muda yang sementara ini untuk mendapat umur muda yang kekal abadi di syurga. Demikianlah azam orang muda yang memandang dengan pandangan mata hati. Lalu dia akan menyegerakkan amalan kebaikan, tidak bertangguh-tangguh taubat dan segera meninggalkan kejahatan. Usia muda dianggap sebagai satu kesempatan bukan satu penangguhan. Rasulullah s.a.w bersabda: “Allah suka orang yang bertaubat, tetapi Allah lebih suka orang muda yang bertaubat.”  88462094
Pandangan Mata Hati Imam Syafii
Orang tua yang melihat dengan pandangan mata hati akan bertambah serius dalam melaksanakan kebaikan dan ‘berpatah arang’ dengan kejahatan. Masa telah begitu suntuk. Entah sempat, entahkan tidak. Itulah rasa hati mereka.
Mereka tidak sudi lagi berpaling kepada yang mengganggu dan menggugat. Tumpuan utama hanyalah mengejar masa. Imam Syafii misalnya, pada usia empat puluh tahun sudah pun berjalan dengan memakai tongkat. Orang keliling kehairanan, justeru Imam Syafii masih tegap dan sihat. Bukankah beliau seorang pemanah yang tepat dan penunggang kuda yang cekap?
Ketika menjawab soalan orang tentang mengapa dia bertongkat, Imam Syafii berkata, “Tongkat ini untuk mengingatkan bahawa aku telah tua. Cukuplah semua hadiah dan sanjungan yang telah ku terima selama ini. Aku tidak perlukan lagi. Tumpuan sepenuh hati ku sekarang ialah menuju Allah!” Demikian “orang tua” yang memandang dirinya dengan pandangan mata hati. Sayangnya, kebanyakan kita yang mendakwa pengikut setia Imam Syafii tidak pula bersikap begitu. Kita tidak mencari tongkat “pengingat” seperti beliau, sebaliknya mencari tongkat “penggiat” – tongkat Ali!
 
Kesimpulan:
Sekarang bagaimana? Setiap kali kita memandang wajah di cermin, kita melihat dengan pandangan yang mana? Pandangan mata, akal, nafsu atau hati? Sebagai seorang Islam, kita diajar supaya setiap kali bercermin muka kita disunatkan membaca doa berikut: “Ya Allah, sepertimana Kau telah sempurnakan ciptaan wajahku, maka Kau sempurnakanlah pekertiku.” Ini menunjukkan bahawa menerusi doa ini Islam mengajar kita, jangan sekali-kali hanya melihat wajah lahir (muka) tetapi perlu melihat wajah batin kita (pekerti). Pekerti kita itulah hakikat diri kita yang sebenar.
Jasad yang tercipta dari tanah, bukanlah hakikat diri kita. Ia akan kedut, reput bahkan hancur akan dimamah ulat, cacing dan tanah. Tetapi diri kita yang hakiki ialah budi pekerti kita, yang tidak akan hancur selama-lamanya. Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Apa yang dilihat dengan pandangan mata hati inilah yang dikenang oleh manusia dan diberi ganjaran oleh Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w bersabda: “Allah tidak menilai rupa lahir kamu tetapi Allah menilai amalan dan hati kamu.”
Demikianlah apa yang dikatakan celik mata hati atau kesedaran. Tegasnya, mata hati akan celik hanya apabila kita melihat kehidupan ini sejajar dengan kehendak atau ketetapan Pencipta hidup – Allah. Inilah pandangan hidup (worldview) yang paling jelas tepat. Bermula dengan pandangan yang tepat inilah kita boleh menjalani hidup dengan sebaik-baiknya.
Jika tidak, terjadilah apa yang ditegaskan oleh Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami sediakan bagi neraka jahanam itu golongan jin dan manusia yang mereka itu mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya, dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya; mereka itu ibarat binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.” (Surah al-A’raaf 7:179).
 
 
1. Pandangan Mata
Pandangan mata, sifatnya selalu menipu. Contohnya, menerusi pandangan mata, kita melihat rel kereta api semakin jauh semakin menirus. Tetapi itu sebenarnya salah. Realitinya, rel itu tetap sama. Mata kita yang tertipu. Begitu juga kayu lurus yang dimasukkan separuh ke dalam air – kelihatan bengkok (sebenarnya ia tetap lurus). Bulan dilihat indah dari jauh tetapi kita tahu sebenarnya permukaan bulan penuh dengan lopak-lopak, lubang-lubang dan benjolan-benjolan yang tidak rata seolah-olah muka seorang yang berjerawat. Ya, begitulah, ramai manusia yang tertipu dengan pandangan mata.
2. Pandangan Akal
Pandangan akal (fikiran) pula sifatnya boleh tersalah. Berdasarkan kajian Ciaudius Ptolemy (saintis terkemuka pada zamannya), bentuk bumi adalah mendatar. Dunia ini ada hujungnya, yang mana jika sesiapa belayar sampai ke hujung dunia, dia akan terjatuh di penjuru itu. Manusia zaman itu sangat percaya kepada “pandangan akal” Ptolemy hinggakan tidak ada siapa yang berani belayar jauh, takut-takut terjerlus ke hujung dunia. Manusia pada zaman pertengahan pula percaya bahawa bumi adalah pusat edaran jagatraya (Centre of Universe).
Tetapi kepercayaan mereka disalahkan kemudiannya oleh Galileo Galilei dan Nicholas Copernicus yang menjelaskan bumi bukanlah pusat edaran bagi jagatraya tetapi matahari. Begitulah pandangan akal manusia yang saling salah menyalah antara satu sama lain. Penemuan orang terdahulu dibatalkan oleh kajian orang sekarang. Kajian orang sekarang dibatalkan pula oleh kajian orang akan datang. Akal bersifat terbatas, maka begitulah pandangannya, juga terbatas. Justeru, pandangan akal boleh tersalah.
3. Pandangan Nafsu
Pandangan ketiga ialah pandangan nafsu. Pandangan ini sifatnya melulu. Jika pandangan akal terbatas, nafsu pula selalu terbabas. Tidak ada yang dilihat oleh nafsu melainkan peluang dan ruang untuk melampiaskan kejahatannya. Sesuatu yang sudah cantik pada pandangan orang lain dipandang sebagai buruk dan keji kerana tidak mengikut selera nafsunya.
4. Pandangan Mata Hati
Pandangan yang keempat ialah pandangan mata hati. Ini adalah pandangan yang paling tepat dan hakiki. Hati pada asalnya adalah bersih dan baik. Apa sahaja yang dilihatnya akan sentiasa memberi kebaikan dengan syarat kebersihan dan kesucian hati itu terjaga.

Sabtu, 24 Mei 2014



Alhamdulillah selesai perjuangan di MRSM Taiping.... walaupun tak menang yang penting ialah semangat berpasukan ... Memang niat pun ingin menyihatkan tubuh badan setelah 5 tahun tidak turun padang... Tahniah buat pasukan Pasir Salak... Selepas ini tak tahulah boleh memberikan komitmen seperti ini... Jutaan terima kasih buat anak-anak yang sudi menjadi pengasuh kepada Aiman dan Aisya...semoga bersua kembali dan terima kasih buat Assyifa...suhana...Haziq Azfar dan semua yang menghulurkan bantuan....selamat tinggal MRSM Taiping



Jumaat, 23 Mei 2014



video ini khas buat anak_anak didik MRSM Pasir Salak...hayatilah....

Buang segala sifat negatif



Banyak benar hal negatif yang berlegar dalam kehidupan kita. Kata-kata, perbuatan malahan anggapan-anggapan yang berada dalam kotak minda kita kerap muncul hal yang negatif. Bukan mudah membuang hal-hal sebegini. Kita manusia yang serba lemah. Namun itu bukan penyebab untuk kita terus mengiakan semua itu.

Ironinya, kita perlu berusaha membuangnya. Perkara-perkara yang negatif ibarat racun di dalam diri. Hal ini membuatkan kita letih dan lemah sebab keupayaan sebenar diri kita tersekat dek pemikiran-pemikiran sebegini.

Jatuh dalam hidup itu adat. Melaluinya dengan fikiran yang positif itu jauh lebih baik. Sangat perlu kita sedari bahawa apabila negatif hal ini tidak sedikitpun menjamin kita lebih kuat untuk kembali bangun. Malah semakin melemahkan.


Walhal jalan hidup ini masih jauh. Lalu jika dibuang segala potensi kekuatan itu dengan rantaian-rantaian negatif, hal ini tidak membawa kita ke mana-mana. Itu yang perlu kita ingat...

Khamis, 22 Mei 2014

Terima kasih buat semua.....

 
Assalamualaikum dan salam sejahtera untuk teman-teman dan anak-anak tersayang. Saya doakan semuanya sihat-sihat selalu dan sedang menikmati waktu rehat bersama keluarga tersayang. Sebenarnya di kesempatan ini, saya ingin melahirkan rasa amat terharu dengan ucapan yang yang dilafazkan bersempena dengan Hari Guru dan juga Hari Lahir baru-baru ini . Tiada apa-apa yang dapat saya balas melainkan titipan doa untuk kalian agar Allah memelihara kalian semua daripada  api Neraka dan memberkati hidup kalian di atas dunia ini.
Saya amat menghargai kasih sayang dan keprihatinan kalian terhadap diri ini.
Walau jauh di mata, kalian semua dekat di hati. 
 


Jumaat, 16 Mei 2014

Words of the LANGUAGE……



Dearest Kids…

This letter is specially written for you. It may not be the best letter in the world but it does contain a piece of hope and a string of messages from us TEACHERS.

From early morning when we stepped into the school foyer, everything is about you. We dedicate our time and sweat for you, even until late evening. We forget our own family just to shape you up and mould you into a better person. We neglect our own health just to do our duties as teachers. No, we don’t have regrets of being a teacher. We are proud of our profession. We will continue serving Insya-Allah. We don’t expect anything in return. Even though sometimes when:

WE SCOLD – YOU SULK

WE ADVISE – YOU IGNORE

WE PUNISH – YOU CONDEMN !

WE ARE HERE TO EDUCATE

WE ARE THE TEACHERS

BUT YES LIKE YOUR PARENTS

WE ARE HUMAN.

 

It’s time for you to realise that we are running out of time. We need to change for the better. Be an individual who strives for excellence in any field and contribute back to our family, religion and society. That is the purpose of EDUCATION! So, lets make our first step towards a better future and I end this letter with the phrase.
“Berilmu dan Beramal
 
 

Ahad, 4 Mei 2014


Sentiasa mengucapkan syukur dengan kurnian-Nya walaupun kita telah berusaha keras untuk memperoleh sesuatu kejayaan