Khamis, 26 Ogos 2010

Analisis

Buat semua guru Tingkatan 3 selamat menyiapkan analisis Peperiksaan Percubaan PMR..dan bagi semua guru Tingkatan 5 selamat menanda...
Buat semua pelajar SELAMAT BERCUTI sehingga 29 hb Ogos sahaja..30hb jangan lupa sekolah ye..

Salam Nuzul Quran...



Salam Nuzul Quran buat semua... Esok merupakan  hari nuzul Quran.. 17 Ramadan ... Hari  diturunkn Al-Quran.. Hari yang penuh sejarah bagi umat manusia.


Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi Muhammad SAW hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini.
Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke 41 daripada keputeraan Nabi Muhammad SAW. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Apabila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW maka hal ini memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.


Pada musim Ramadan ini ramai yang mengaji, bertadarus atau membaca al-Quran. Hal ini sememangnya satu amalan yang baik yang mendatangkan pahala, insya-Allah. Semoga segala amalan kita di bulan yang mulia ini mendapat keberkatan daripada Allah Taala...

SELAMAT BERCUTI..

Isnin, 16 Ogos 2010

Bermulanya perjuangan ...

Hari ini bermulanya Percubaan PMR 2010.. Melihat riak wajah mereka, tampak semuanya sihat-sihat belaka  Alhamdulillah... Berbanding tahun lalu,  ramai calon  yang demam  ekoran kes HIN1 sehingga terpaksa membuat 2 kali peperiksaan. Diharapkan semoga calon-calon kali ini dapat melakukan yang terbaik dan meningkatkan peratus pencapaian berbanding tahun lepas.
Untuk rakan seperjuangan, (Pn. Junaidah dan Pn. Aina) teruskan perjuangan untuk kita sama-sama tekun menghayati skrip jawapan anak-anak kesayangan kita... Selamat Menanda!

Rabu, 11 Ogos 2010

Ahlan Wasahlan Ya Ramadan...


Alhamdulillah...dapat bersua kembali dengan bulan Ramadan... Semoga dengan kehadiran bulan yang penuh keberkatan ini memberikan cahaya keimanan dalam diri kita.
Alhamdulillah..malam tadi dapat bersama-sama bertarawih di surau... Jelas tampak  keseronokan di wajah pelajar-pelajar puteri untuk menunaikan solat tarawih pada malam yang pertama...Moga-moga semangat ini akan terus berkekalan sehingga pada malam terakhir Ramadan. Sepanjang bulan Ramadan ini pelbagai aktiviti yang dilaksanakan dalam Program IHYA' RAMADAN... Semoga para pelajar dapat mengambil peluang yang ada di bulan Ramadan ini untuk menambahkan amal ibadat dan fokus terhadap pelajaran terutama buat pelajar Tingkatan 3 dan 5 yang akan menduduki peperiksaan percubaan PMR dan SPM


Selasa, 3 Ogos 2010

Minggu Aktiviti

Sepanjang minggu ini pelajar Tingkatan 1, 2 dan 4 beristirahat daripada mengikuti kelas akademik... Maka, inilah masanya untuk mereka beraktiviti dengan pelbagai program yang telah diaturkan oleh pihak maktab. Namun, dalam sibuk beraktiviti diharapkan agar semua dapat memanfaatkan masa dengan sebaiknya. Menjaga pergaulan dalam berinteraksi, menjaga aurat dan juga tidak melakukan perkara-perkara yang terlarang. Perkara-perkara seumpama inilah yang sering diabaikan oleh pelajar sehinggalah ada yang tertangkap kerana melakukannya. Semoga semuanya akan berjalan dengan lancar...Insya-Allah...

Antara aktiviti yang berlangsung pada hari Selasa...

Ahad, 1 Ogos 2010

Tidak semua perkara yang kita nak, kita akan dapat


Setelah berakhirnya prapercubaan PMR baru-baru ini..datang beberapa orang pelajar menangis ekoran keputusan yang tidak membanggakan... "Saya dah tak tahu nak buat apa cikgu...saya dah cuba usaha, tapi tak dapat juga..." begitulah antara luahan yang sering diluahkan oleh pelajar-pelajar.
Dalam dunia ini, bukan semua benda yang kita hajatkan akan kita capai. Banyak perkara, dalam pelbagai situasi, kita tidak mendapat apa-apa yang kita hajati. Walaupun kadangkala telah berusaha bersungguh-sungguh, walaupun kadangkala telah bermati-matian memikirkan strategi. Tetap tidak berjaya kita mendapatkannya. Hakikatnya itulah lumrah. Persoalannya, bagaimanakah kita merasionalkan diri kita dalam menerimanya?

Kita tidak tahu
Pertama sekali, kita perlu melihat kembali betapa hakikatnya kita tidak mengetahui apakah pilihan yang baik atau pilihan yang buruk pada kita.



Tetapi Allah mengetahui.
“Telah diwajibkan kepada kamu berperang, padahal (perang)itu tidak menyenangkan bagimu. Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah itu Maha Mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui apa-apa” Surah Al-Baqarah 216.



Boleh jadi apa-apa yang kita hajatkan, kita mahukan, bakal memberikan keburukan kepada kita. Apabila tidak mendapat apa-apa yang kita hajatkan, boleh jadi hakikatnya kita sedang diselamatkan oleh Allah SWT atas keburukan yang bakal kita hadapi.
Perkara ini tersimpan di dalam HIKMAH.
Dan hikmah tidak semestinya kita ketahui pada masa hal ini terjadi.
“Allah itu Maha Mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui apa-apa”

Belum bersedia
Ada kemungkinan juga, kita belum bersedia atas apa-apa yang kita hajati itu. Kemungkinan yang kita hajati itu datangnya bersama tanggungjawab yang besar. Contohnya, hajat hendak berkahwin, tetapi Allah tidak izinkan pada waktu yang kita hajati. Ada kemungkinan Allah tidak izin itu kerana kita belum bersedia untuk memikul tanggungjawab itu.

Begitulah juga dengan kejayaan-kejayaan dalam kehidupan. Biasanya, kejayaan akan datang bersama tanggungjawab. Kemungkinan besar, Allah tidak mengizinkan kita mencapai kejayaan itu, kerana diri kita masih tidak mampu memikul tanggungjawab yang hadir bersamanya.



Dosa
Kadangkala, hajat kita tidak tercapai adalah kerana kita ada perkara yang belum selesai dengan Allah SWT. Maka Allah tidak memenuhi hajat kita kerananya.
Sebab yang hendak memberikan segala perkara terjadi adalah Allah SWT. Dan Dia berkuasa untuk tidak membenarkannya.PERKARA inilah kebiasaannya kita sering lakukan sebagai seorang pelajar. Tidak menunaikan SOLAT, menipu, tidak menghormati guru, membuat maksiat dan macam-macam lagi. Namun, jarang untuk kita menyedarinya... dan akhirnya menyalahkan takdir...Nauzubillahi minzalik...



Berusaha untuk positif dengan Allah
Allah Maha Mengetahui. Dia tahu kita siapa. Dia yang paling kenal kita. Dia yang paling mencintai kita. Oleh itu, sekiranya ada perkara-perkara yang kita rasakan buruk menimpa kita, sepatutnya kita perlu kembali memuhasabah diri.

Mengapakah kita tidak dapat apa-apa yang kita hajati? Jangan sekadar memandang secara teknikal. Ada kemungkinan lain selain hal teknikal yang menyebabkan hajat kita itu tidak tercapai, usaha kita itu tidak berhasil.Dan sepatutnya, perkara ini kita patut pandang pada sudut kasih sayang Allah.



Ada kemungkinan Allah hendak menyelamatkan kita dari sesuatu yang kita tidak tahu, sebab itu Dia menghalang daripada hajat kita tercapai. Ada kemungkinan kita masih belum mampu, lantas Allah tahan dahulu kita dari mendapat apa yang kita hajati, agar kita tidak terkapai-kapai di kemudian hari. Ada kemungkinan Allah hendak mendidik kita, agar lebih dekat denganNya, sebab itu kerana dosa kita Dia tidak membenarkan kita mendapat apa yang kita hajati.



Allah itu Maha Penyayang.
Jika kita tidak mendapat apa yang kita hajati pun, itu adalah sebahagian dari kasih sayangNya.



“Sesungguhnya apa-apa yang akan Aku lakukan terhadap hambaKu adalah mengikut sangkaan hambaKu terhadap-Ku…”(Hadith Riwayat Imam Ahmad, Bukhari, Muslim dan lain-lain)



Penutup: Memang dalam hidup, bukan semua benda kita nak, kita dapat
Dan sentiasalah memahami bahawa di dalam kehidupan, bukan semua perkara yang kita hajati akan berjaya kita capai.



Jangan kecewa apabila tidak mendapat apa yang dihajatkan. Pandang dari sudut yang positif. Fikir jauh ke hadapan. Jika kita manusia yang punya keterikatan dengan Allah SWT, maka kita akan berlapang dada, bersangka baik dengan aturan-aturanNya kepada kita.
Sekiranya kita mampu memahami perkara ini, lumrah ini, hakikat ini, insyaAllah jiwa itu akan tidak terbeban. Hal ini demikian kerana, kita sentiasa positif.
Positif, sentiasa membuahkan positif yang lain, Insya-Allah Taala....




Imam Muda

Mungkin tiada apa yang boleh dinukilkan secara terperinci berkaitan dengan Program Imam Muda yang baru sahaja tamat pada Jumaat lepas. Walaupun hanya 2 episod sahaja dapat menyaksikannya, namun, pada episod akhir berpeluang juga menyaksikannya...itu pun sewaktu makan di restoran bersama zauji. Setelah berlangsung hampir 3 bulan, Kemuncak Imam Muda yang diadakan secara gilang gemilang pada 2 hari lepas telah mengumumkan Imam Muda Asyraf sebagai Imam Muda terulung bagi tahun yang pertama ini.
Tahniah buat Asyraf.

Mengenali sahsiah, sifat peramah dan kebolehannya dalam menghafal Al-Quran bukanlah sesuatu magis yang berlaku secara tiba-tiba. Tetapi beliau telah melalui proses bermula daripada usia yang masih muda ketika kanak-kanak lagi. Ayah dan Ibunya, telah memulakan proses pendidikan Islamiyah kepada Asyraf bermula dengan menghidupan jiwanya dengan Al-Quran. Sejak  kecil, Asyraf dididik untuk membaca dan menghafal Al-Quran. Bagi saya inilah sebenarnya kekuatan Asyraf yang sebenar iaitu kekuatan Al-Quran yang hidup dalam hatinya.


Proses inilah yang akan melahirkan satu kekuatan keperibadian yang utuh dan membentuk pemikiran Islamik yang bersih dan benar. Dan bagi saya inilah yang menjadi persediaan awal yang kita perlu laksanakan dalam mendidik dan membentuk generasi pewaris yang bakal memimpin masa depan negara. Negara Malaysia ini harus dipimpin oleh mereka-mereka yang mempunyai akhlak yang baik dan mempunyai kepimpinan yang menyerlah bagi menghadapi arus cabaran yang mendatang. Alangkah baiknya, seandainya MRSM mampu untuk melahirkan pelajar seumpama ini... Semoga dengan tertubuhnya MRSM Ulul Albab sedikit sebanyak mampu untuk membentuk generasi yang mempunyai keperibadian yang utuh dan unggul.