Mungkin tiada apa yang boleh dinukilkan secara terperinci berkaitan dengan Program Imam Muda yang baru sahaja tamat pada Jumaat lepas. Walaupun hanya 2 episod sahaja dapat menyaksikannya, namun, pada episod akhir berpeluang juga menyaksikannya...itu pun sewaktu makan di restoran bersama zauji. Setelah berlangsung hampir 3 bulan, Kemuncak Imam Muda yang diadakan secara gilang gemilang pada 2 hari lepas telah mengumumkan Imam Muda Asyraf sebagai Imam Muda terulung bagi tahun yang pertama ini.
Tahniah buat Asyraf.
Mengenali sahsiah, sifat peramah dan kebolehannya dalam menghafal Al-Quran bukanlah sesuatu magis yang berlaku secara tiba-tiba. Tetapi beliau telah melalui proses bermula daripada usia yang masih muda ketika kanak-kanak lagi. Ayah dan Ibunya, telah memulakan proses pendidikan Islamiyah kepada Asyraf bermula dengan menghidupan jiwanya dengan Al-Quran. Sejak kecil, Asyraf dididik untuk membaca dan menghafal Al-Quran. Bagi saya inilah sebenarnya kekuatan Asyraf yang sebenar iaitu kekuatan Al-Quran yang hidup dalam hatinya.
Proses inilah yang akan melahirkan satu kekuatan keperibadian yang utuh dan membentuk pemikiran Islamik yang bersih dan benar. Dan bagi saya inilah yang menjadi persediaan awal yang kita perlu laksanakan dalam mendidik dan membentuk generasi pewaris yang bakal memimpin masa depan negara. Negara Malaysia ini harus dipimpin oleh mereka-mereka yang mempunyai akhlak yang baik dan mempunyai kepimpinan yang menyerlah bagi menghadapi arus cabaran yang mendatang. Alangkah baiknya, seandainya MRSM mampu untuk melahirkan pelajar seumpama ini... Semoga dengan tertubuhnya MRSM Ulul Albab sedikit sebanyak mampu untuk membentuk generasi yang mempunyai keperibadian yang utuh dan unggul.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan