Rabu, 30 Jun 2010

Sambutan Hari Guru, Pekerja & Koperasi

Walaupun Hari Guru hampir sebulan telah berlalu...namun, sambutannya baru dilaksanakan pada 28 Jun 2010(Isnin). Memang terasa agak dingin sambutannya kerana jarak waktu yang agak lama.. Namun, terima kasih kepada barisan Badan Wakil Pelajar(BWP) kerana telah menganjurkan sambutan ini bagi menghargai guru-guru di MRSM Pasir Salak... Sambutan kali ini digabungkan sekali dengan sambutan Hari Pekerja & sambutan Hari Koperasi & Usahawan.
.
 
Gimik sambutan Hari Guru..
Penyematan "button" Hari Koperasi kepada Presiden BWP
Bacaan ikrar daripada barisan pendidik MRSM Pasir Salak
Sumbangan daripada BWP kepada Pengetua MRSM Pasir Salak
Anugerah Guru Akademik Terbaik (Pn. Junaidah Bt Zakaria - Ket. Jabatan Bahasa)
Kek sumbangan BWP
Jamuan semua guru dan staf

Selasa, 29 Jun 2010

KEM TATABAHASA 2010


Alhamdulillah... pada 26 Jun 2010 (Sabtu) telah diadakan Kem Tatabahasa 2010. Walaupun masa yang diperuntukkan sebenarnya tidak memadai, namun sedikit sebanyak membantu pelajar untuk menguasai sedikit ilmu tatabahasa..Seramai 68 orang sahaja yang menyertai kem ini kerana sebahagian lagi menyertai Kem Kecemerlangan di Rindu Alam Air Tawar. Alhamdulillah...kem ini berjaya dilaksanakan dengan bantuan daripada barisan fasilitator Tingkatan 4 (bekas mentor Ting. 3 2009). Insya-Allah pada 3 Julai 2010(Sabtu) pula akan diadakan Seminar Kecemerlangan Akademik Bahasa Melayu PMR 2010.

Pelajar sedang tekun menyemak kuiz ejaan yang dibuat
Fasilitator sedang memeriksa jawapan setiap kelas
Kumpulan pertama yang menghantar hasil tugasan yang diberikan.
Barisan fasilitator yang menjayakan Kem Tabahasa ini.. Terima kasih atas kerjasama yang diberikan.


Sabtu, 19 Jun 2010

MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU, MEMANTAPKAN BAHASA INGGERIS

"Seribu bahasa kita bicara...
Manakan sama bahasa bonda"

Malam ini berpeluang untuk menulis lagi... Antara yang menarik perhatian adalah berkenaan isu kedudukan Bahasa Melayu ..Dalam bidang bahasa dan pendidikan, sudah terang bahawa bahasa Melayu menjadi bahasa penghantar. Namun, di luar sana, penggunaannya sudah kian lenyap dan semakin tergugat... memang tidak dinafikan peri pentingnya sains dan teknologi serta bahasa Inggeris dan bahasa asing yang lain, dalam pembinaan tamadun negara...Namun, dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan  jelas meyatakan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama perlu dikekalkan. Alhamdulillah...Isu PPSMI akhirnya telah berakhir... dan meletakkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa utama... Yang penting adalah memartabatkan Bahasa Melayu dan Memantapkan Bahasa Inggeris...



Petikan akhbar Utusan Melayu:
8 Julai 2009, Kabinet hari ini meluluskan cadangan strategi Kementerian Pelajaran untuk memartabatkan Bahasa Melayu dan memantapkan Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan.

Strategi ini dirangka berdasarkan hasil kajian dan pemantauan yang telah dilakukan oleh Kementerian Pelajaran mengenai pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sejak dasar ini mula dilaksanakan pada tahun 2003.

Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran ingin mengumumkan pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains di sekolah kebangsaan akan dilaksanakan dalam bahasa Malaysia.
Pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil pula akan dilaksanakan dalam bahasa ibunda masing-masing.

Keputusan Kabinet untuk pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik ini akan mula berkuatkuasa pada tahun 2012. Pelaksanaan akan diadakan secara bertahap di Tahun Satu dan Tahun Empat di sekolah rendah dan Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat di sekolah menengah bermula pada tahun 2012. Perubahan ini bagaimanapun tidak melibatkan Tingkatan Enam dan Matrikulasi.

Untuk memastikan pelaksanaan ini tidak menjejaskan pencapaian murid yang sedang mengikuti pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), pengajaran dan peperiksaan untuk kedua-dua mata pelajaran ini akan dibuat dalam dwi bahasa sehingga kohort terakhir PPSMI tamat pada tahun 2014.

Kerajaan mengambil keputusan ini setelah meneliti secara terperinci hasil kajian dan pemantauan mengenai PPSMI yang menunjukkan bahawa PPSMI tidak dapat dilaksanakan sebagaimana yang dihasratkan.
Apa yang dilaksanakan ialah PPSMI/BM, iaitu guru-guru mengajar pelajaran Sains dan Matematik dalam dwi bahasa, iaitu bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia. Pemantauan Kementerian Pelajaran pada tahun 2008 mendapati:
•Hanya sebahagian kecil guru menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik.
•Secara purata peratusan penggunaan bahasa Inggeris adalah antara 53–58 peratus daripada keseluruhan masa yang diperuntukkan bagi mata pelajaran Sains dan Matematik.
•Hanya sebahagian guru Matematik dan Sains di sekolah menengah dan rendah yang mengambil ujian Penilaian Tahap Profisiensi bahasa Inggeris pada tahun 2008 mencapai tahap profisiensi.
•Peratusan murid yang mendapat gred A, B dan C bagi mata pelajaran Sains dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 telah merosot daripada 85.1 peratus kepada 82.5 peratus bagi sekolah bandar dan daripada 83.2 peratus kepada 79.7 peratus bagi sekolah luar bandar. Bagi mata pelajaran Matematik, pencapaian murid bandar telah merosot daripada 84.8 peratus kepada 80.9 peratus manakala pencapaian murid luar bandar merosot daripada 80.9 peratus kepada 77 peratus.
•Jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik semakin melebar semasa PPSMI dilaksanakan.

Selain pemantauan yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran, Laporan Trends in Mathematics and Science Study 2007 menyatakan kedudukan murid Malaysia dalam mata pelajaran Sains telah merosot daripada tangga ke-20 pada tahun 2003 ke tangga ke-21 pada tahun 2007. Bagi mata pelajaran Matematik pula, kedudukan murid kita telah merosot daripada tangga ke-10 pada tahun 2003 ke tangga ke-20 pada tahun 2007.

Kajian universiti-universiti tempatan pula mendapati tahap peningkatan penguasaan bahasa Inggeris murid adalah nominal, iaitu tidak lebih 3 peratus sepanjang pelaksanaan PPSMI. Tahap penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan murid terutamanya di luar bandar masih rendah menyebabkan mereka sukar untuk memahami pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

Berdasarkan pengamatan ini, kerajaan yakin bahawa Sains dan Matematik perlu diajar dalam bahasa yang mudah difahami oleh murid, iaitu bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan, bahasa Cina di SJK(C) dan bahasa Tamil SJK(T).

Kerajaan juga telah memutuskan agar pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan dimantapkan.
Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran akan melaksanakan langkah-langkah berikut untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid.

•Menambah bilangan guru bahasa Inggeris seramai 13,933 orang untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid. Ini termasuklah 1000 orang guru luar negara, 600 orang guru bersara dan 12,333 guru tambahan daripada IPGM, IPTA dan IPTS. Keutamaan akan diberikan kepada sekolah luar bandar dan pedalaman untuk mendapatkan guru terbaik. Pihak Kementerian juga akan menyediakan guru penolong bahasa Inggeris gred DG 41 bagi kelas besar seperti kelas yang melebihi 35 murid di Tahun Satu dan Dua untuk meningkatkan ”contact time” antara guru dan murid.
•Peruntukan waktu bahasa Inggeris bagi SK Tahap I ditambah sebanyak 90 minit daripada 240 minit menjadi 330 minit seminggu manakala bagi Tahap II ditambah sebanyak 90 minit daripada 210 minit menjadi 300 minit seminggu.
•Peruntukan waktu bahasa Inggeris bagi SJKC/T Tahap I ditambah seratus peratus iaitu daripada 60 minit menjadi 120 minit seminggu manakala bagi Tahap II ditambah sebanyak 30 minit daripada 90 minit menjadi 120 minit seminggu.
•Peruntukan waktu bahasa Inggeris bagi Tingkatan Satu hingga Enam ditambah sebanyak 80 minit daripada 200 minit menjadi 280 minit seminggu.
•Peruntukan waktu bagi MUET untuk Tingkatan Enam ditambah sebanyak 80 minit daripada 320 minit menjadi 400 minit seminggu.
•Peruntukan waktu bahasa Inggeris bagi Matrikulasi ditambah seratus peratus iaitu daripada 3 jam menjadi 6 jam seminggu.
•Program Sastera Kontemporari Kanak-Kanak Bahasa Inggeris diperkenalkan kepada semua murid Tahap II untuk mengukuhkan minat membaca di kalangan murid di samping memperkenalkan unsur-unsur sastera.
•Makmal bahasa Inggeris akan diwujudkan di sekolah-sekolah untuk memudahkan murid mempelajari bahasa Inggeris dengan lebih berkesan.
•Teknologi maklumat akan dimanfaatkan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris melalui penggunaan perisian komputer yang sesuai.
•Pelajaran tatabahasa Inggeris akan diberikan penekanan dalam pengajaran dan pembelajaran BI.
•Untuk mendedahkan murid dengan istilah-istilah sains dan teknologi dalam bahasa Inggeris, elemen sains dan teknologi akan diserapkan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris.

Selaras dengan hasrat untuk memartabatkan Bahasa Malaysia, Kementerian Pelajaran akan melaksanakan transformasi kurikulum Bahasa Malaysia di sekolah rendah dan menengah dengan memberi fokus kepada penguasaan asas kemahiran berbahasa di kalangan murid melalui pendekatan modular yang bersepadu, seimbang dan holistik. Modul yang disediakan meliputi aspek kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis, serta penguasaan tatabahasa dan seni bahasa. Pendekatan didik hibur dan apresiasi bahasa diberi penekanan dalam kurikulum BM sekolah rendah.

Di peringkat sekolah menengah, transformasi kurikulum Bahasa Malaysia akan memberikan penekanan kepada penghayatan dan apresiasi aspek kesusasteraan Melayu di samping memantapkan kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis serta penguasaan tatabahasa dan seni bahasa. Penekanan terhadap aspek Kesusasteraan Melayu bertujuan untuk memperkayakan aspek kebahasaan di samping menonjolkan aspek pemikiran, nilai, budaya masyarakat Malaysia.
Dengan keputusan ini, kerajaan menawarkan pendekatan baru dalam pengajaran Sains, Matematik, Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia. Kerajaan percaya bahawa dengan pendekatan baru ini kita akan dapat memartabatkan Bahasa Malaysia, memantapkan penguasaan Bahasa Inggeris dan meningkatkan keupayaan murid untuk menguasai ilmu sains dan teknologi yang amat penting untuk masa depan negara.

Saya Sayang Cikgu BM Saya

 
Alhamdulillah…akhirnya selesai juga menanda kertas peperiksaan tepat jam 1.05 petang .. Seminggu bercuti ditemani skrip jawapan pelajar.. Memang banyak dugaan menanda di rumah berbanding di sekolah… Inilah cuti kali pertama terpaksa mengorbankan cuti dengan menanda sahaja..Sedih? Gembira? semua ada..
Habis dakwat pen merah sebatang untuk menanda kertas

Sedar tak sedar esok dah kena balik ke Perak. 2 minggu terasa sekejap sahaja.. Lepas ini kena bersedia untuk semester ke-2..Banyak perancangan yang perlu dilaksanakan awal semester ini untuk persiapan menghadapi PMR… Tinggal tidak sampai 4 bulan sahaja untuk membuat latih tubi dan gerak gempur bagi persiapan PMR.

Secara keseluruhan peperiksaan semester kali ini sederhana… Berdasarkan semester 1 kali ini bolehlah dapat menghasilkan mentor BM yang agak menguasai dalam ilmu Tatabahasa dan juga Karangan. Walaupun masih banyak yang perlu dikuasai namun, Insya-Allah mereka sudah boleh untuk membimbing pelajar-pelajar lain dalam subjek Bahasa Melayu. Sebenarnya tidaklah sukar untuk menguasai subjek Bahasa Melayu … Pelajar memerlukan latih tubi yang banyak , formula-formula yang mudah untuk mengingat .. dan juga teknik yang betul dalam penulisan. Teringat zaman sekolah dahulu… mata pelajaran bahasa Melayu antara mata pelajaran yang agak membosankan. Apa tidaknya, cikgu jarang masuk ke kelas dan apabila belajar, asyik membuat latihan karangan…"Karangan! Karangan! Karangan! Tatabahasa?? belajar juga tapi tak dapat dipraktikkan langsung.. Main tulis dan buat sahaja asalkan siap…

Namun, apabila menjejakkan kaki di KISAS.. aku dipertemukan dengan seorang guru yang sangat berdedikasi dan garang orangnya.. Sebut sahaja Cikgu Rosnaini pasti orang gerun mendengarnya.. Boleh dikatakan setiap hari pasti ada sahaja buah tangan yang perlu dibuat.. Apa dia? KARANGAN lah jawabnya... bukan sedikit..tapi 750 patah perkataan... Kalau tidak disiapkan mengaumlah jawabnya... Tidak tahan telinga mendengar setiap butiran patah perkataan yang keluar daripada mulutnya. Lenguh tangan kami kerana perlu menyiapkan karangannya dan sehingga buntu dibuatnya untuk mencari idea yang bernas dan kukuh... Apabila ada sesi pembentangan pula, habis anak muridnya menerima kutukan dan juga kritikan seandainya pembentangan tidak memuaskan. Oleh itu, untuk mengelakkan menerima kutukan atau kritikan yang sangat pedas. Maka persiapan rapi perlu dibuat sebelum memulakan sesi pembentangan..Pada mulanya memang teruk dikerjakan oleh Cikgu Rosnaini...menangis?? biasalah... Tapi, lama-kelamaan akhirnya pelajar-pelajarnya boleh berkomunikasi dengan baik dan boleh  berhujah apabila mengeluarkan pendapat... Walaupun nampak garang, namun Cikgu Rosnaini mesra dan dekat dengan pelajar... dan cikgu seumpama itulah yang sering diingat oleh pelajar kebiasaannya...Sejak itu aku mula mencintai subjek bahasa Melayu dan akhirnya "BM A" ...Alhamdulillah...

Kenangan bersama Cikgu Rosnaini...satu-satunya cikgu yang menganjurkan pertandingan bola jaring antara kelas BM yang diajarnya... semua ini untuk mengeratkan ukhuwah antara kami..
tidak pasti kelas mana yang menang...Namun apa yang penting "KERJASAMA"
"Saya Sayang Cikgu BM saya..
" TERIMA KASIH CIKGU!!!

Apabila di UPM pula... orang yang menyedarkan aku tentang pentingnya menguasai ilmu tatabahasa ialah Prof Dr. Awang Sariyan... setelah berada pada semester yang terakhir baru dapat belajar dengan  beliau.  Secara terus terang walaupun mengambil bidang Bac. Sastera Bahasa & Linguistik Melayu.. aku tidak menguasai tatabahasa sehinggalah bertemu dengan Prof Dr. Awang Sariyan.. Beliau menggunakan teknik menganalisis ayat untuk menguasai ilmu tatabahasa... Pada mulanya berpeluh jugalah apabila mendapat manuskrip daripada beliau untuk dianalisis kesalahan tatabahasanya.. Untuk mengenal pasti kesalahan memang boleh tetapi untuk memberi hujah kepada setiap kesalahan itu, memanglah tidak mampu untuk memberikannya... Rasa agak jahil dan malu juga waktu itu kerana setelah 5 semester belajar bidang itu tetapi masih belum menguuasai ilmu ini. Namun, masih belum terlewat waktu itu untuk mempelajarinya dengan baik.. Walaupun 3 bulan sahaja menuntut ilmu dengannya bukanlah bermakna habis di situ sahaja. Beliau ada menyarankan agar membeli 2 buah buku sebagai pedoman dan pegangan sebagai bakal  guru bahasa Melayu..  Bukunya bertajuk " Tertib Mengarang & Tuntunan Bahasa Asas Pegangan Pelajar ... Buku ini aku gunakan sehingga ke hari ini... Terima kasih Prof...atas tunjuk ajar yang diberikan sehingga hari ini.. Sekarang ini beliau berada di Beijing untuk mengajar pelajar yang menyambung pelajaran ke peringkat PHD..Sudah jarang menghubungi beliau.. Cuma, baru-baru ini beliau ada memberikan alamat blognya iaitu http://kembarabahasa.blogspot.com/

Alhamdulillah... setakat ini aku cuba untuk menjadikan pembelajaran Bahasa Melayu terutamanya "tatabahasa" antara pembelajaran yang sangat menarik dan menyeronokkan .. Penguasaan ilmu tatabahasa ini sangat penting dan membantu dalam penulisan karangan yang baik.  

Kuliah terakhir bersama Prof Dr. Awang Sariyan di Fakulti Bahasa Moden & Komunikasi UPM

Prof. Dr. Awang Sariyan ialah Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia – Republik Rakyat China di Beijing Foreign Studies University. Beliau memulakan kerjaya sebagai guru, kemudian sebagai editor dan ketua editor di firma penerbitan FEP International, pegawai penyelidik dan pegawai penyelidik kanan bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia, pensyarah di Universiti Pertanian Malaysia, penolong profesor di Universiti Islam Antarbangsa Malaysia, pensyarah kanan di Universiti Brunei Darussalam, Profesor Madya di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Pengarah Jabatan Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia, Profesor Bahasa di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia dan Profesor Bahasa di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

Beliau telah menghasilkan lebih 50 judul buku ilmiah, buku umum, buku teks dan kamus, ratusan makalah ilmiah dan lebih 1,000 makalah umum. Lebih 200 kertas kerja (termasuk ucap utama, kertas dasar, kertas kerja utama dan syarahan) telah dibentangkan di Malaysia dan di luar negara (Australia, Belanda, Indonesia, Jerman, Kampuchea, Korea, Perancis, Republik Rakyat China, Singapura, Sri Lanka, Thailand).

Dalam gerakan bahasa di peringkat negara, beliau menjadi Presiden Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) dari tahun 2000 hingga April 2008, anggota Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu (JKTBM) dan anggota Jawatankuasa Bahasa Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka. Di peringkat serantau, beliau sering mewakili negara dalam Majlis Bahasa Brunei Darussalam – Indonesia – Malaysia (MABBIM) dan di peringkat antarabangsa pernah menjadi anggota eksekutif Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM).

Petikan daripada akhbar Utusan
Awang Sariyan pemegang pertama Kursi Melayu di China


BEIJING 16 Nov. - Tokoh bahasa, Prof Dr Awang Sariyan, dilantik sebagai pemegang pertama Kursi Melayu di Universiti Pengajian Asing Beijing (BSFU) mulai tahun depan.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed yang kini berada di China mengesahkan pelantikan itu ketika melawat BSFU semalam.
“Dr Awang dijangka tiba di Beijing Januari depan dan ini akan memantapkan hubungan BSFU dengan dunia akademik Malaysia serta membantu perkembangan Bahasa Melayu di China,” kata Mustapa.
BSFU yang ditubuhkan 66 tahun lepas adalah pusat utama pengajian bahasa asing di China dan telah memulakan kursus Bahasa Melayu sejak 1961 dan Pusat Pengajian Melayu pada 2005.
“Kami menunggu-nunggu pelantikan ini selama 10 tahun. BSFU membuat cadangan Kursi Melayu kepada Datuk Seri Najib Tun Razak yang menjawat Menteri Pendidikan Malaysia pada tahun 1996,” kata pengarah Pusat Pengajian Melayu Prof Wu Zong Yu.

Pusat itu juga mempunyai seorang pakar dari Dewan Bahasa dan Pustaka, Norshabihah Ahmad, dan 47 penuntut tempatan yang mempelajari kursus empat tahun sebelum dianugerahi ijazah pengajian Melayu.
Ketika di BSFU, Mustapa juga bertemu dengan kumpulan perintis 10 pelajar Malaysia yang ditempatkan di BSFU untuk melanjutkan pelajaran dalam jurusan Bahasa Cina.Pelajar-pelajar lepasan Tingkatan Lima itu, terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India yang belajar di sekolah Cina ketika di Malaysia, ditempatkan di BSFU selama lima tahun.
“Kami akan menambah 10 pelajar setiap tahun sehingga 50 pelajar. Mereka akan pulang dan mengajar bahasa Cina,” kata Mustapa.
Beliau turut menyaksikan penyerahan sumbangan RM100,000 daripada syarikat Hai-O Enterprise Bhd dari Malaysia untuk pengajian Melayu di BSFU.

Mustapa tiba pada Isnin lalu untuk lawatan lima hari dan bertolak ke Shanghai hari ini sebelum pulang pada Ahad.

Dr Awang ketika dihubungi di Kuala Lumpur melahirkan rasa bangga dengan pelantikan itu dan dengan menyifatkan ia sebagai satu pengiktirafan kepada bangsa Melayu.

“Saya bangga dan terharu dengan pengiktirafan ini, di mana ia juga menunjukkan berlakunya satu pengangkatan darjat maruah dan tamadun Melayu,” katanya.

Beliau berkata, penubuhan Kursi Melayu di China itu merupakan satu agenda penting bukan sahaja melibatkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara malahan menarik minat orang asing terhadap ilmu kebudayaan dan tamadun Melayu.

“Di sana bukan saja pengajian mengenai ilmu Bahasa Melayu tetapi juga meliputi pelbagai aspek seperti sosial politik, sosioekonomi, agama dan budaya juga akan diberikan dan ini yang saya katakan satu pengangkatan darjat di Asia Timur,” katanya.
Beliau berharap pengisian kursi itu disokong kementerian-kementerian lain, dan berhasrat untuk membawa ramai pakar di Malaysia, seperti pakar ekonomi, untuk turut sama mencurahkan ilmu di China.

Isnin, 14 Jun 2010

TEKA KATA

Kalau ada masa terluang sewaktu cuti sekolah ni, bolehlah menyertai peraduan Teka Kata... Tidaklah ssesusah manapun... Cuma teka, rujuk kamus dan isikan kotak-kotak kosong tu... Sangat beruntung sebab boleh menambahkan kosa kata dan mempertajam minda kita... Kalau ada rezeki nak ditakdirkan memenangi peraduan ni tidak ke bertuah namanya tu... Oleh itu itu, sama-samalah kita memanfaatkan masa cuti kita dengan sebaiknya...
(Setiap Isnin - Jumaat)
(Inilah "kamus bijak" yang sering menjadi teman setia..)

TERUSKAN PERCUTIAN ANDA


Alhamdulillah...3hari di Pahang, akhirnya kembali di kampung halaman... terasa begitu pantas sungguh masa berlalu ...Namun, apabila direnung kembali adakah masa cuti ini digunakan dengan sebaiknya... Walau apapun, semoga kita dapat memanfaatkan masa dengan sebaiknya... Insya-Allah baki cuti yang tinggal akan dihabiskan dengan menanda skrip jawapan peperiksaan Tingkatan 4 dan bermesra bersama keluarga..

Musim cuti persekolahan ini ramai mengambil peluang untuk duduk di hadapan komputer... Bagi pelajar, inilah masa dan ruang yang ada untuk bersosial bersama-sama kawan di laman sosial... Tidak salah untuk menggunakannya...tetapi ada batas-batasnya...tidak leka sehingga mengabaikan waktu solat, tidak mengabaikan kerja sekolah, dan macam-macam lagi...Rata-rata ramai ibu bapa yang mengeluh apabila anak-anak mereka bercuti di rumah.. Mereka berkurung di dalam bilik dan tidak bergaul dengan ahli keluarga... Bangun pagi komputer, makan komputer, tidur pun dengan komputer,,sehingakan ada yang sanggup untuk tidur semata-mata melayan keinginan mereka itu... Itulah remaja sekarang... Namun, bukan sahaja remaja malah majoriti masyarakat sekarang... Pernah terbaca satu artikel tentang bahaya bermain komputer.. Tidak pasti pula kesahihan fakta itu..Namun, mungkin boleh dijadikan iktibar untuk kita semua...agar berwaspada..

BAHAYA BERMAIN KOMPUTER!
Hati-hati jika anda seorang yang gemar menggunakan komputer sepanjang hari! Anda boleh terdedah kepada bahaya Carpal Tunnel Syndrome.
Carpal Tunnel Syndrome ialah penyakit yang menyerang bahagian pergelangan tangan. Penyakit ini mampu menyebabkan tangan menjadi lumpuh. Risiko penyakit ini ialah sebanyak 10% untuk orang dewasa.



Gejala :
Rasa kebas, dan parasthesia (seakan-akan terbakar dan bergetar) di ibu jari, telunjuk, dan jari tengah, atau pada beberapa pasien terjadi di telapak tangan.
Susah menggenggam dan mengepalkan tangan.
Sering menjatuhkan barang
Sumber : http://www.fcucommunity.net/

Jumaat, 11 Jun 2010

berakhirnya Kem Cuti Sains


Syukur Alhamdulillah akhirnya selesai juga Kem Cuti Sains kali ini .. Semua MRSM berkampung di MRSM Pasir Salak dari 5-11 Jun 2010..Jangka masa yang agak lama mereka korbankan untuk menjayakan program ini. Tahniah kepada semua guru yang komited dalam melaksanakan program ini walaupun terpaksa mengorbankan cuti sekolah mereka. Bukan mudah untuk mereka berada di maktab untuk memastikan program ini berjalan lancar... Syabas diucapkan..terutamanya pada Cikgu Zurina sebagai penyelaras program.. Begitu juga dengan semua pelajar yang gigih mendengar ceramah dan mengikuti setiap aktiviti yang dijalankan..Semoga dapat mengaplikasikan ilmu yang diperoleh dalam mencipta kejayaan dalam bidang sains ini..



Sepatutnya Majlis Perasmian Penutupan dirasmikan oleh Tn. Hj. Shhaari Bin Hussein Pengarah Bahagian Pendidikan & Latihan Menegah MARA..namun beliau tidak dapat menghadiri majlis ini dan mewakilkan pengetua MRSM Kuala Kubu Bharu..
Peserta yang memenangi Johan dalam acara yang dipertandingkan
Para peserta khusyuk mendengar ucapan ayahanda pengetua MRSM Pasir Salak
 
Peserta daripada MRSM Taiping yang sentiasa mencintai MRSM Pasir Salak 
Inilah peserta daripada MRSM Pasir Salak..seorang lagi Adline..sibuk ditemu ramah kerana memenangi acara yang dipertandingkan

Rabu, 9 Jun 2010

Belajar Dari Alam


Segala puji bagi Allah yang telah memberikan pelbagai nikmat kepada seluruh umat di muka bumi ini…

Semalam bermula jam 2.00 petang sehingga tengah malam hujan turun dengan lebat tanpa henti.. diiringi percikan kilat dan dentuman guruh yang sungguh kuat..terasa kebesaran dan kekuasaan Allah S.W.T... kesejukan mencengkam dalam diri pagi ini sambil tangan tak henti menanda kertas yang masih bertimbun di atas meja.. Kedinginan pagi ini membuatkanku teringat artikel dalam Majalah Solusi yang baru tentang Belajar Dari Alam....
“Dialah yang menurunkan air hujan”

Dari langit untuk kamu, sebahagiannya menjadi minuman dan sebahagiannya (menyuburkan) tumbuh-tumbuhan, yang pada (tempat tumbuhnya) kamu mengembala binatang ternakan. Dia menumbuhkan bagi kamu dengan air hujan itu tanaman-tanaman, zaitun, kurma, anggur, dan segala macam buah-buahan. Sesungguhnya, pada yang demikian itu benar-benar ada tanda (kekuasaan Alla) bagi kaum yang memikirkan”

Memetik hasil tulisan UstazPahrol Bin Juoi (Majalah Solusi Isu No.20)



Alam ini adalah maha karya Tuhan, yan g sentiasa berbicara dengan manusia tentang kewujudan, kehebatan, keagungan Penciptanya. Hakikatnya alam ini adalah sekolah insan. sekolah inilah kita belajar setiap masa. Selagi manusia berada di alam ini, dia harus belajar daripada alam. Sayangnya, ramai manusia gagal belajar daripada alam. Lihat saja, betapa ramai manusia hanya melihat nikmat, tetapi melupakan Pemberi nikmat (Allah). Ramai memuji alam tetapi tidak memuji Penciptanya. Benarlah kalau dikatakan Allah itu sangat dekat, tetapi terasa jauh kerana manusialah yang sering menjauh!

Selasa, 8 Jun 2010

CAHAYA DI I-CITY SHAH ALAM


Alhamdulillah…semalam sehari suntuk bermesra bersama-sama keluarga… membeli-belah di Jackel Trading dan Jaya Jusco Shah Alam… Malam pula, walaupun kepenatan masih mampu untuk keluar pergi ke I-City Shah Alam.. Pada mulanya memang aku tak pasti apa yang ada di sana… Sekadar tahu ada CAHAYA lampu warna-warni..Tapi, apabila sampai di sana, rasa mengantuk dan penat hilang seketika melihat keindahan CAHAYA lampu… Sangat menarik dan menceriakan suasana… Macam biasalah riuh-rendah anak-anak buah bersama adik-adik bergurau senda…berposing mengambil gambar…

Tempat ni baru dibuka tahun ini.. Namun begitu, pembinaannya baru siap dalam 30% … Selamat menghayati keindahan panorama yang cantik ini..