Khamis, 28 Mei 2015

Selamat Bercuti


Alhamdulillah...hari ini hari terakhir sesi persekolahan untuk semester 1. Syukur dapat menutup cuti pertengahan semester dengan mengadakan Majlis Solat Hajat dan Bacaan Yaasin... Permulaan pengisian cuti yang cukup bermakna sekiranya kita sama-sama dapat memanfaatkan cuti dengan sebaik mungkin. Bajakan hati ini dengan keimanan dan ketaqwaan Insya-Allah mampu untuk melahirkan generasi yang mampu untuk membangunkan ummah...


Apabila masuknya musim cuti persekolahan, ibu bapa dan para pelajar akan memikirkan aktiviti-aktiviti yang bakal dilakukan bagi memenuhi waktu terluang. Pelbagai perancangan dan tentatif diaturkan bagi mengelakkan anak-anak meluangkan masa dengan perkara-perkara yang kurang berfaedah di samping mengelakkan mereka daripada terjerumus ke dalam aktiviti sosial yang boleh merosakkan moral dan juga akhlak. Antara aktiviti yang dilihat mampu memberikan faedah kepada kehidupan dan juga jiwa anak-anak pada musim cuti persekolahan ini adalah dengan menghidupkan dengan pendidikan al-Quran.

Oleh itu, antara pendekatan yang mampu ibu bapa lakukan dalam memastikan kehidupan anak-anak mereka terkawal adalah dengan memberikan pendidikan al-Quran yang sempurna kepada anak-anak mereka. Pendidikan al-Quran bukan sahaja boleh mengawal kanak-kanak dan remaja daripada anasir-anasir yang buruk, tetapi mampu menjadi pencetus kepada pemikiran yang intelek dalam kehidupan mereka. Semoga dengan pendikan al-Quran yang disediakan mampu menghasilkan golongan cerdik pandai atau disebut ‘ulul al-bab’ yang bukan sahaja unggul dalam ilmu keduniaan malah mereka lebih mengenali Pencipta mereka dan tunduk patuh atas segala suruhan dan larangan-Nya. Wallahu a’lam.



Selasa, 28 April 2015

Jaga Solat



Assalamualaikum... Alhamdulillah ala kulli hal, terasa tenang dan damai di hati selepas menunaikan solat, menghadap Allah Azza Wa Jalla , Subhanallah, maka benarlah firman Allah yang Agung “dan ketahuilah, hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenteram” (Ar Ra'du : 28) Teringat semula pesanan seseorang "Jika kita sedang melakukan sesuatu pekerjaan, apabila masuk waktu solat, solatlah dulu, selepas solat sambunglah semula pekerjaan tersebut, jika kualiti pekerjaan kita masih lagi pada tahap yang sama , semak kualiti solat kita" Masya-Allah, tersentap bukan? Pedas. Tapi kadang-kadang rasa pedas tu perlu untuk membuatkan makanan lebih sedap. Oleh itu, walau macam mana sibuk pun kita...utamakanlah solat... Insya-Allah akan dipermudah segala urusan kita... 


Ahad, 26 April 2015

Kembali Menulis


Ya Allah…
Berikan aku kekuatan pada saat aku rebah
Berikan aku ketenangan pada saat jiwa kupatah
Berikan aku kedamaian pada saat hati dan jiwaku kusut dan terbelah
Berikan aku seluhur kasih sayang-Mu…
Berikan aku semurni cinta-Mu
Berikan aku semua rasa – rasa itu…