Selasa, 31 Julai 2012

Tahniah kepada peserta MRSM Pasir Salak World Scholars Cup


Tahniah kepada pasukan menengah rendah MRSM Pasir Salak yang telah bertanding dalam World Scholars Cup(WSC) di Bangkok pada 21-24 April 2012 baru-baru ini kerana telah berjaya untuk bertanding ke peringkat Tournament of Champions di Yale University. Pasukan menengah rendah ini terdiri daripada pelajar Tingkatan 3 iaitu Alif Azizi Subardi, Muhammad Zuhair Ilyas dan Nurul Dalila Safiah Noor Azmi. Pertandingan yang berlangung di Bangkok ini melibatkan seramai 1002 orang peserta dari lebih 42 negara dan menguji pelajar berdasarkan 6 modul utama iaitu: Special Area, Scince, Current Affairs, History, The Arts dan juga Literature.

Kesungguhan pasukan MRSM Pasir telah membuahkan hasil apabila mereka berjaya ke Yale University di Newheaven yang akan berlangsung pada 30November - 2 Disember 2012. Semoga pasukan ini yang dibimbing oleh Cik Zahurin Ishak akan dapat mencipta kejayaan yang membanggakan... Selamat Berjuang!!

LATAR BELAKANG PERTANDINGAN

WSC merupakan pertandingan pasukan akademik antarabangsa yang melibatkan lebih 40 negara. WSC ini ditubuhkan oleh organisasi DemiDec yang diterajui oleh Daniel Berdichevsky, sebagai presiden pada 2006. Sebagai  "World's first and Premier Academic Competition", pertandingan ini telah mendapat perhatian daripada ramai pendidik dan institusi pendidikan.

Pertandingan ini bertujuan melahirkan pelajar pintar cerdas dan bakal pemimpin yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Bukan itu sahaja, WSC memberi peluang kepada peserta untuk mencungkil bakat dan kemampuan setiap individu agar lebih cemerlang. Peserta pertandingan juga digalakkan untuk berbincang isu-isu semasa setiap negara di samping membina keyakinan diri di atas platform yang begitu kompetitif.

Dua kategori diwujudkan iaitu "Junior Division" dan "Senior Division" bagi membezakan pencapaian pelajar mengikut umur. Sebanyak 5 subjek diuji dalam pertandingan ini iaitu Sains, Sejarah, Isu Semasa, Sastera dan Ekonomi. Empat acara utama ialah "team debate", "the scholar's Challenge", "Collaborative essay" dan "the scholar's bowl.'

Pertandingan ini bakal mewujudkan pelajar intelektual yang berketerampilan. Bukan itu sahaja, malah peluang untuk berinteraksi di platform antarabangsa bakal menghasilkan pemimpin muda yang mempunyai minda kelas pertama serta berfikiran terbuka. Ilmu dan pengalaman peserta dalam pertandingan WSC amat bernilai kepada agama, bangsa dan negara.

Rabu, 25 Julai 2012

Orang yang boleh membuat semua hal yang sukar menjadi mudah difahami,  yang rumit menjadi mudah dimengerti, atau atau yang sukar menjadi mudah dilakukan, itulah pendidik yang sejati.
~  R alph Waldo Emerson  ~

Isnin, 23 Julai 2012

Ramadan Dihati Jihadi Abadi



Ramadan kembali lagi... alhamdulillah...dapat jua untuk kembali bertemumu Ramadan..Rasanya belum terlewat untuk saya mengucapkan salam ramadan buat semua pembaca. Semoga Ramadan kali ini lebih baik daripada Ramadan sebelum ini....

Alhamdulillah... hati terasa begitu tenang apabila dapat duduk bersama-sama rakan seperjuangan bertadarus bersama... terasa ukhuwah antara kami semakin kukuh dan terasa kemanisan  nikmat bersaudara... Alhamdulillah program Ihya' Ramadan yang dijalankan di maktab semakin ada penambahbaikan..Semua warga di MRSM dilibatkan bersama.. pelajar, guru dan kakitangan bergabung tenaga dalam menjayakan program Ihya' Ramadan ini. Majlis Pelancaran Program Ihya' Ramadan telah berlangsung pada 20 Julai 2012(Jumaat) yang telah disempurnakan oleh Imam Muda Nazrul Izwan (Naib Juara musim Kedua Imam Muda) Imam Muda Nazrul  turut menyampaikan ceramah  kepada warga MRSM..Alhamdulillah sambutan yang hebat diberikan daripada pelajar, guru dan kakitangan maktab.. 2jam tempoh ceramah berlangsung tidak ada yang tidur. Semoga semua pelajar dapat mengambil mutiara-mutiara kata yang diberikan dan dapat mengaplikasikannya dalam menghidupkan Ramadan ini...

                                    Alunan zikir yang disampaikan oleh Imam Muda Nazrul Izwan
 

Tahniah juga diucapkan kepada Unit Amal Islami kerana banyak aktiviti yang telah dirancangkan antaranya:

1) Kempen sedekah 1 hari RM 1..(alhamdulillah..mendapat sambutan daripada semua)
2) Tadarus Al-Quran (pelajar..guru dan kakitangan)
3) Kuiz Ramadan
4) Tazkirah Ramadan
5) Sentuhan Sukma Zikir
6) Tafaquh Fi Deen
7) Tayangan Qamar Bani Hashim
8) Program Mini Ulul Albab
9) Kempen 5 S 
10) Tidur Qailulah
11) Solat berjamaah 5 waktu

Mudah-mudahan program yang dijalankan ini akan dapat berjalan dengan lancar dan mendapat keberkatan daripada Allah s.w.t...

Dalam aktiviti yang dirancangkan saya tertarik dengan aktiviti "Tidur Qailulah"...

Qailulah...

Sabda Rasulullah S.A.W :
"lakukanlah Qailulah, kerana sesungguhnya syaitan itu tidak berani untuk melakukan Qailulah", (Riwayat Al-Thabarani.)

Syaitan tidak melakukan Qailulah??? Apakah Qailulah? Mungkin inilah kali pertama kita mendengarnya. Mungkin juga frasa ini pernah didengari tetapi lupa maknanya. Qailulah ialah perbuatan tidur sejenak sebelum solat Zohor anggaran 10 hinggan 40 minit. Pada zaman Rasulullah S.A.W, hampir kesemua para sahabat melakukannya. Bahkan hal ini menjadi sunnah Baginda S.A.W. Orang mukmin yang melakukan Qailulah akan memperoleh kerehatan ibadat dengan sempurna sepanjang hari dan pertengahan malam.

Sekiranya kita hendak menjadi lebih segar, fokus dan produktif, cuba kita praktikkan sunnah Rasulullah S.A.W ini dengan istiqamah. Niatkan tidur ini kerana Allah S.W.T, maka syaitan tidak akan berani mendekati kita sepanjang waktu Qailulah itu. Hasilnya, tidur itu akan menjadi ibadah dan hikmahnya akan dapat diperoleh dengan maksimum. 

Khamis, 19 Julai 2012

Fikir dan Zikir

Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam yang telah mengurniakan pelbagai nikmat ke atas diri ini... Subhanallah..Walhamdulillah...Allahuakbar... Hati terasa begitu tenang tatkala melihat panaroma yang cukup indah..Tatkala bermunajat hati sentiasa berzikir,mengenang kebesaran dan keagungan Allah, tatkala itu juga kita akan berasa lemah dan mengharapkan kekuatan daripada Allah melalui alunan zikir dan tasbih yang sentiasa dibisik.Apa-apa jua zikir yang baik dibacakan dan dibisikkan di hati semuanya merupakan sesuatu yang baik bagi membentuk molikul air di dalam hati dan diri kita.Kuasa zikir sangat luar biasa jika  sentiasa diamalkan.Ingatkah kita kisah Nabi Yunus a.s yang bermunajat kepada Allah ketika dirinya ditelan ikan Paus,apakah kuasa zikir itu, itulah kalimah La ilaaha illa anta,subhanaka inni kuntu minal Zalimin. Setelah kalimah ini dibaca oleh baginda a.s, dengan izin Allah dirinya dikeluarkan daripada kesempitan dan kegelapan perut ikan paus.Hebatkan kuasa zikir ini. Begitu juga dengan kuasa selawat ke atas nabi SAW,hal seperti ini juga mampu mengeluarkan seseorang daripada masalah yang dihadapinya.





Tentu kita dapat membezakan antara fikir dan zikir fikir.Kata seorang penyair: Sesungguhnya terdapat banyak kekuasaan Allah sekalipun dengan melihat penciptaan Allah pada diri manusia, walau hanya dengan melihat matamu, 

katakanlah kepada perawat dan doktor, siapakah yang menyembuhkan sesuatu penyakit setelah mereka berikhtiar merawat pesakit, 
 Kepada orang yang sehat yang mati tanpa sebab, tanyalah siapa lagi yang berkuasa mematikan manusia.
 Bayi yang baru lahir, siapakah yang memberikan tangisan kepada bayi tersebut, 
 Setiap musim yang silih berganti, siapakah yang menjadikan musim-musim tersebut? 
 Pada bulan yang mengambang penuh, tanyalah siapakah yang menjadikan bulan itu begitu terang. 
Apabila engkau melihat bukit yang menjadi paku bumi, tanyalah siapa yang menjadikannya begitu.Segala pujian bagi Allah.



Rabu, 18 Julai 2012

Minggu Bahasa Zon Barat & Kuiz Sastera 2012



Syukur alhamdulillah...selesai sudah pertandingan Minggu Bahasa & Kuiz Sastera Zon Barat di MRSM Serting pada 13 -16 Julai 2012 (Jumaat - Isnin). Tahniah dan syabas diucapkan kepada kontinjen MRSM Pasir Salak kerana berjaya mengulangi semula kegemilangan yang pernah dicipta pada tahun 2007 di MRSM Serting juga... Berkat usaha gigih peserta dan guru-guru yang komited melatih pelajar dalam masa yang singkat dan juga berkat doa semua ..alhamdulillah.. kejayaan dapat dikecapi...Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi dan pembakar semangat kepada pelajar-pelajar lain untuk melakar kejayaan yang lebih gemilang dan penuh bermakna.. dan semoga kejayaan ini mendekatkan diri kita kepada-Nya kerana tanpa rezeki dan keizinan-Nya..kita tidak merasai nikmat kemanisan ini....

Penganjuran minggu bahasa ini bersifat serampang dua mata. Pelaksanaan program ini bukan sahaja dapat melahirkan serta meningkatkan penguasaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris pelajar. Sekali gus dapat membentuk pelajar yang berdaya saing dalam pelbagai bidang. Semoga program sebegini akan terus menjadi pentas yang penting dalam mencungkil kebolehan dan kemahiran berkomunikasi pelajar dalam melontarkan idea pemikiran yang kritis. Program yang bersulamkan budaya Melayu ini seiring dengan tema yang dipilih iaitu... BAHASA., WASILAH BUDAYA BANGSA.....

Majlis Penutupan disempurnakan oleh Prof. Madya Dato' Paduka Dr. Mohd Rosli Bin Saludin 
(Ketua Jabatan Bahasa & Kesusateraan Melayu, Fakulti Bahasa & Komunikasi UPSI)

Persembahan pelajar daripada MRSM Serting

Peserta MRSM Pasir Salak yang berjaya mengharumkan nama maktab

Johan bagi acara Sajak (P), Pidato Menengah Atas (P), Syair (L) dan Public Speaking Lower form (P)
Naib johan : Syair Perempuan dan Pidato Menengah Atas lelaki
 Peserta Kuiz Bahasa & Sastera anjuran DBP
 Kontinjen MRSM Pasir Salak

 Johan Syair Lelaki

Pidato Spontan Menengah ATas
Persembahan pelajar dari MRSM Serting

Sabtu, 14 Julai 2012


 
DBP: Tuntutan Dong Zong 'cauvinistik'

Sumber  ; Malaysia Kini
  • Ahmad Fadli KC
  • 1:48PM Jul 13 2012
 
Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Dr Awang Sariyan menyifatkan tuntutan Dong Zong agar pelbagai bahasa pengantar diperkenalkan dalam sistem pendidikan bersifat cauvinistik dan menyalahi Perlembagaan.

"Ini adalah satu cabaran (bahasa) yang bersifat cauvinistik. Inilah satu-satu negara yang ada kebebasan, kelenturan dengan aliran akademik.

NONE"Kalau ada suara, Dong Zong mengatakan bahasa Mandarin setara dengan bahasa Melayu sebagai perantara itu menyalahi Perlembagaan," katanya dalam satu sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta menjelaskan ucapannya terdahulu yang antara lainnya menyebut: "...kian nyaring suara yang mencabar kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa pengantar utama sistem pendidikan kebangsaan."
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di majlis pelancaran Pelan Tindakan Strategik DBP 2011-2015 yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di bangunan DBP.
Mengulas lanjut ucapannya itu, Awang (berbaju hijau) berkata tindakan beliau membangkitkan peruntukan perlembagaan berhubung kedudukan bahasa Melayu bukanlah satu kritikan kepada golongan Cina.

dewan bahasa dan pustaka building 250804"Saya bercakap tentang Perlembagaan bukan mengkritik orang Cina sebab rakan Cina saya pun ramai yang faham.

"Dari segi setara, bahasa Mandarin juga bahasa dunia tetapi negara ini bahasa utama bahasa Melayu yang merupakan milik orang Melayu, Cina, India, Kadazan milik semua," katanya.
Beliau seterusnya menggesa supaya Dong Zong mengakui kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara.

Menurutnya, Dong Zong perlu hormat dan patuh kepada Akta Pendidikan 1996 Perkara 13 (1) yang menetapkan bahasa kebangsaan sebagai pengantar utama sistem pendidikan.


"Jadi kita akurlah. Kedudukan bahasa-bahasa lain itu ada tempat-tempatnya," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Strategik DBP 2011-2015 di Kuala Lumpur pagi tadi.

Jelasnya, tuntutan untuk mengakui kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar itu tidak bermaksud menyekat pengajaran bahasa Mandarin dalam bahasa tersebut.

"Kalau mengajar Mandarin tentulah dalam bahasa Mandarin. Kita tidak suruh pun mengajar Mandarin dalam bahasa Melayu," katanya.
Sementara itu, Naib Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Profesor Datuk Dr Md Salleh Yaapar pula menyifatkan tuntutan Dong Zong itu sebagai "pelik" kerana kumpulan itu sepatutnya maklum bahawa ia bertentangan dengan Perlembagaan.

"Dia (Dong Zong) hendak supaya dasar monolingual menjadi multilingual yang jelas bertentangan dengan (dasar) bahasa kebangsaan.

"Perlembagaan meletakkan satu bahasa sebagai bahasa kebangsaan.

"Kita juga ada dasar pendidikan kebangsaan yang meletakkan satu bahasa sebagai bahasa kebangsaan," kata Salleh dalam sidang media sama.

Isnin, 9 Julai 2012

Guru oh guru



Guru adalah insan yang sangat besar jasanya kepada kita semua. Sebut sahaja perkataan guru, cikgu, mursyid dan apa jua yang sama dengannya, pasti akan terbayang difikiran seseorang yang mengajar ilmu, menunjukkan kesalahan, memberi nasihat, latihan dan panduan.
Pendek kata mereka adalah insan yang menunjukkan kita sesuatu ilmu yang membuatkan kita yang asalnya tidak tahu, menjadi tahu.  Tanpa guru siapalah kita pada hari ini. Jika kita bergelar doktor, peguam, jurutera dan saintis, itu semua adalah hasil daripada didikan guru-guru kita sejak kita tadika, sekolah dan universiti. Merekalah yang membentuk kita menjadi seperti sekarang.
Islam amat menitikberatkan adab seorang murid terhadap gurunya. Adalah menjadi suatu kewajiban bagi kita untuk hormat kepada guru meskipun mereka tidak lagi mengajar kita. Seorang guru sudah pasti mempunyai pengetahuan yang tinggi tentang sesuatu bidang sehingga mampu mengajar orang lain. Oleh sebab itulah menghormati mereka adalah dituntut oleh syarak sebagaimana firman Allah S.W.T :
"Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu." (An-Nisa' :59)
Pernah diceritakan tentang Imam Syafie menghormati gurunya. Pada suatu hari, sedang beliau memberi kuliah kepada ribuan pelajar-pelajarnya, masuklah seorang badwi yang amat comot serta amat busuk sekali.
Melihat sahaja badwi itu masuk, Imam Syafie lantas berhenti daripada memberi kuliah dan mendekati badwi itu serta memeluknya dengan erat. Tergamam anak muridnya melihat perlakuan Imam Syafie itu. Selesai sahaja memberi kuliah, maka bertanyalah anak muridnya kepada Imam Syafie mengapa beliau memeluk badwi tersebut.
Imam Syafie berkata bahawa walaupun badwi itu busuk dan comot, tetapi badwi itu ialah gurunya. Sebab itu dia memeluk badwi tersebut sebagai cara menghormati guru. Makin terpegun pelajar-pelajarnya apabila diberitahu tentang badwi yang jahil itu menjadi guru Imam Syafie.
Jawab Imam Shafie " Pada suatu hari, sedang aku menulis kitab fekah , aku mempunyai satu masalah iaitu bagaimanakan nak mengenali dan membezakan di antara anjing yang cukup umur dengan anjing yang belum cukup umur. Lalu aku fikir tentu badwi tau kerana badwi banyak memelihara anjing untuk mengawal kambing-kambing mereka.
Aku pun bertanya hal tersebut kepada badwi yang ku peluk tadi. Badwi itu menerangkan bahawa anjing yang cukup umur mengangkat sebelah kaki belakang apabila kencing, manakala anjing yang tidak cukup umur tidak mengangkat kakinya bila kencing. Dengan panduan badwi itulah, maka aku dapat menyiapkan kitabku itu" Begitulah ceritanya. Walaupun terlalu sedikit jasa badwi itu kepadanya, Imam Shafie amat menghargainya dan menghormati sehingga menggelarnya guru.
Rasulullah s.a.w bersabda:
" Tidak termasuk umatku, orang yg tidak hormat orang tua, tidak mengasihi orang muda dan tidak mengiktiraf orang alim di antara kami." (Riwayat Ahmad)
Kebelakangan ini, pelajar kurang mengambil berat soal hormat-menghormati dengan guru. Sudah menjadi sesuatu yang biasa bagi pelajar yang melawan guru malah ada yang berani mencederakan guru yang mengajarnya ilmu. Hal ini amat bercanggah dengan adab pelajar dalam Islam. Saidina Ali juga pernah berkata, "Barang siapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan kepada ku." Tuan yang dimaksudkan oleh Saidina Ali adalah gurunya.
Terdapat banyak cara menghormati guru kita. Jika ilmuan terdahulu yang terkenal dengan ketokohan ilmunya menghormati guru mereka, maka mengapa kita yang tidak menjadi tokoh dan ilmuan berani melanggar adab berguru.
Adab ulama salaf dan ilmuan terdahulu dengan guru mereka ialah Mereka merendah diri terhadap ilmu dan guru dan sentiasa menurut perintah serta nasihat guru dan sentiasa meminta pendapat serta pandangan  guru dalam setiap urusan mereka.
Mereka mentaati setiap arahan serta bimbingan guru umpama seorang pesakit yang tidak tahu apa-apa yang hanya mengikut arahan seorang doktor pakar yang mahir. Mereka juga sentiasa berkhidmat untuk guru-guru mereka dengan mengharapkan keredhaan dan balasan pahala serta kemuliaan di sisi Allah s.w.t.
Ulama terdahulu tidak pernah sama sekali menggelar guru mereka dengan nama yang buruk. Bahkan mereka juga tidak pernah memanggil guru dengan panggilan "engkau" dan "awak".  Al-Khatib berkata: Hendaklah dia berkata "Wahai guru, apakah pendapat kamu mengenai hal ini?" dan kata-kata seumpamanya. Dan tidak menggelarkannya dengan namanya kecuali disertakan dengan gelaran-gelaran yang menunjukkan penghormatan serta takzim kepadanya. Misalnya syeikh ataupun ustaz atau syeikh kami.
Mereka tidak sekali-kali berbantah-bantah ataupun berlawan cakap dengan guru. Sesungguhnya berbantah-bantah itu secara umumnya sudah merupakan suatu perbuatan yang keji dan terlarang, apatah lagi untuk berbantah-bantah dengan guru yang merupakan pembimbing serta qudwah. Perbuatan ini akan menjauhkan mereka sebagai pelajar daripada kebaikan dan merupakan penjerumus kepada kejahatan dan ianya adalah penyebab diharamkan ke atas mereka bermacam-macam bentuk kebaikan.
Jika mereka berhajat kepada guru mereka di luar waktu mengajar sedangkan guru tersebut sedang berehat ataupun tidur, maka guru itu tidak akan diganggu. Mereka akan menunggu sehingga guru tersebut terjaga dari tidur ataupun selesai dari berehat. Ibnu 'Abbas r.a pernah mendatangi salah seorang daripada sahabat Rasulullah s.a.w untuk bertanya kepadanya mengenai suatu hadith. Lalu dikatakan kepadanya: Dia sedang tidur. Maka duduklah Ibnu 'Abbas di muka pintu. Lalu dikatakan kepadanya: Tidak perlukah kita mengejutkannya? Ibnu 'Abbas pun menjawab: Jangan.
Begitulah hormatnya ulama' dan ilmuan Islam terdahulu. Disebabkan itulah mereka menjadi tokoh besar dan dihormati pula sehingga kini kerana mereka begitu menjaga adab dengan guru masing-masing. Semoga kita semua termasuk dalam kalangan mereka yang menghormati guru. insyaAllah.

Ahad, 8 Julai 2012

Assalamualaikum ...
Bacaan santai di waktu sunyi 
Buat muhasabah menyucikan diri
Hidup perlu sahabat di sisi
Peneman perjuangan hidup dan mati

Ahli Hukama pernah berkata, rupa manusia adalah dengan siapa dia bersahabat.kata-kata tersebut ada kebenarannya.Sahabat adalah manusia yang memberi pengaruh paling besar.Tarikan magnetnya sangat hebat dalam membentuk sikap dan peribadi seseorang.Betapa ramai manusia yang terperangkap dalam jaring kerosakan akhlak kerana dipengaruhi oleh sikap sahabatnya yang berperibadi buruk.Seseorang sahabat yang baik adalah menjadi pendorong dan pembakar semangat kepada seseorang untuk mendaki tangga kebaikan dan kejayaan.

Hargailah nilai murni dalam persahabatan.Jalinan persahabatan bermula daripada ikatan rasa sayang yang kukuh,keikhlasan dan kejujuran.Persahabatan yang suci adalah jalinan hati yang bukan didasari faktor ringgit dan kebendaan.Alangkah rendah nilai dan martabat manusia yang hidupnya berpaksikan duit, harta dan dunia semata-mata. Persahabatan yang dijalin sering didasari sebab-sebab tertentu seperti untuk mendapatkan projek atau keuntungan dalam perniagaan. Inilah realiti yang boleh ditatapi di dalam drama kehidupan manusia di atas muka bumi ini.Sukar untuk mencari sahabat yang sejati. Payah untuk memiliki sahabat yang sanggup bersusah payah demi kesenangan temannya. Sewaktu perhubungan di alam maya semakin mudah, rupa-rupanya merenggangkan jarak hati manusia.

Antara pengertian kebaikan di dunia yang dipinta manusia adalah mendapat anugerah sahabat atau tetangga yang baik.betapa indah kehidupan ini yang dipenuhi haruman kemesraan dalam jalinan persahabatan.