Jumaat, 22 Januari 2016

Kembali Terjalin 2016






Assalamualaikum w.b.t..
Salam Perjuangan, salam Kembali Terjalin...

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dirafa'kan ke hadrat Allah S.W.T atas limpah dan rahmatnya, kita masih lagi diberi kesempatan berada dalam nikmat Iman dan Islam... Tidak lupa juga, selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W , ahli keluarga, para sahabat serta penerus perjuangan baginda dalam membawa risalah Islam hingga hari Kiamat...

Jazakumullahu khairan kasiraa kepada pembaca setia blog ini kerana masih sudi untuk membaca bingkisan daripada srikandi idaman.. Mohon maaf atas kesibukan selama ini dan sekian lamanya menyepikan diri...Rindu...sangat merindui alunan bunyi instumental latar belakang blog ini. 

Alhamdulillah , telah memasuki tahun yang baharu dengan kehadiran orang baharu dalam diri ini. Lahir lagi seorang srikandi permata hati umi... Nur Aimi Hazirah... Walaupun masih berstatus perkahwinan PJJ namun kecekalan hati ini membesarkan cahaya mata membuatkan diri semakin matang dan menguatkan diri untuk terus menghadapi dugaan-Mu ini Ya Allah...

Alah bisa tegal biasa...Ungkapan ini begitu sinonim dan menjadi pembakar diri untuk terus kuat menempuh cabaran yang mendatang. Semoga anak-anak ini bakal menjadi mata rantai daripada suatu perjuangan yang panjang. 

Semoga dikau membesar dengan limpahan rahmat dan dilindungi Allah s.w.t ... dan bakal menjadi seorang srikandi dan pahlawan sejati... 
Ya Allah....
Didiklah anak-anakku menjadi insan yang Engkau redai...
Engkaulah pelindung iman dan taqwa mereka
Moga mereka ceria di dunia dan di akhirat....
Tiadalah daya upayaku
Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim
Biarlah wajah anak-anakku sentiasa tenang seperti mereka sedang tidur,
Pada hari mereka menghadap-Mu nanti,
Biarlah wajah mereka sebersih sesuci masa kecilnya...

Tidak seperti wajah-wajah mereka yang engkau ancam dengan neraka-Mu

Aisya Humaira'
Muhammad Aiman Haikal
Nur Aimi Hazirah






Khamis, 28 Mei 2015

Selamat Bercuti


Alhamdulillah...hari ini hari terakhir sesi persekolahan untuk semester 1. Syukur dapat menutup cuti pertengahan semester dengan mengadakan Majlis Solat Hajat dan Bacaan Yaasin... Permulaan pengisian cuti yang cukup bermakna sekiranya kita sama-sama dapat memanfaatkan cuti dengan sebaik mungkin. Bajakan hati ini dengan keimanan dan ketaqwaan Insya-Allah mampu untuk melahirkan generasi yang mampu untuk membangunkan ummah...


Apabila masuknya musim cuti persekolahan, ibu bapa dan para pelajar akan memikirkan aktiviti-aktiviti yang bakal dilakukan bagi memenuhi waktu terluang. Pelbagai perancangan dan tentatif diaturkan bagi mengelakkan anak-anak meluangkan masa dengan perkara-perkara yang kurang berfaedah di samping mengelakkan mereka daripada terjerumus ke dalam aktiviti sosial yang boleh merosakkan moral dan juga akhlak. Antara aktiviti yang dilihat mampu memberikan faedah kepada kehidupan dan juga jiwa anak-anak pada musim cuti persekolahan ini adalah dengan menghidupkan dengan pendidikan al-Quran.

Oleh itu, antara pendekatan yang mampu ibu bapa lakukan dalam memastikan kehidupan anak-anak mereka terkawal adalah dengan memberikan pendidikan al-Quran yang sempurna kepada anak-anak mereka. Pendidikan al-Quran bukan sahaja boleh mengawal kanak-kanak dan remaja daripada anasir-anasir yang buruk, tetapi mampu menjadi pencetus kepada pemikiran yang intelek dalam kehidupan mereka. Semoga dengan pendikan al-Quran yang disediakan mampu menghasilkan golongan cerdik pandai atau disebut ‘ulul al-bab’ yang bukan sahaja unggul dalam ilmu keduniaan malah mereka lebih mengenali Pencipta mereka dan tunduk patuh atas segala suruhan dan larangan-Nya. Wallahu a’lam.



Selasa, 28 April 2015

Jaga Solat



Assalamualaikum... Alhamdulillah ala kulli hal, terasa tenang dan damai di hati selepas menunaikan solat, menghadap Allah Azza Wa Jalla , Subhanallah, maka benarlah firman Allah yang Agung “dan ketahuilah, hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenteram” (Ar Ra'du : 28) Teringat semula pesanan seseorang "Jika kita sedang melakukan sesuatu pekerjaan, apabila masuk waktu solat, solatlah dulu, selepas solat sambunglah semula pekerjaan tersebut, jika kualiti pekerjaan kita masih lagi pada tahap yang sama , semak kualiti solat kita" Masya-Allah, tersentap bukan? Pedas. Tapi kadang-kadang rasa pedas tu perlu untuk membuatkan makanan lebih sedap. Oleh itu, walau macam mana sibuk pun kita...utamakanlah solat... Insya-Allah akan dipermudah segala urusan kita... 


Ahad, 26 April 2015

Kembali Menulis


Ya Allah…
Berikan aku kekuatan pada saat aku rebah
Berikan aku ketenangan pada saat jiwa kupatah
Berikan aku kedamaian pada saat hati dan jiwaku kusut dan terbelah
Berikan aku seluhur kasih sayang-Mu…
Berikan aku semurni cinta-Mu
Berikan aku semua rasa – rasa itu…

Isnin, 13 Oktober 2014

SUARA HATI

 
video
Saja duduk-duduk sambil membuat kerja-kerja hakiki mendengar lagu-lagu nostalgia mengimbau kenangan lama sewaktu alam persekolahan . Lagu dari SUARA HATI "Dedaun Kasih Yang Terlerai"...cukup puitis dan penuh tersirat untuk dihayati...
 
Bicara ini ku utus untukmu
Lahir dari lubuk hatiku
Kian membuak rasa mendalam
Ingin sekali tertumpah
Pada minda dan hatimu

Mengapakah terus begini
Bahagia yang mekar mewangi
Yang kian carik dan terkoyak
Dari rimbunan kasih sayang
Bukanlah kehendak kita
Untuk terus bertelagah
Tapi itulah yang terjadi
Melerai sayang yang bersemi
Menggugat kasih

Marilah kita kutip semula
Dedaun kasih yang terlerai
Kita kumpul semula mesra terurai
Kita tanam kembali bajai lagi

Jangan kita tergugah lagi
Walau suasana berubah
Cinta Ilahi itu abadi
Rindunya membawa mati
Dari situ kasih kita bersemi
 
 
 
 

Menyepi




 Pada kesempatan ini......
Menyepi dan terus menyepi.....
Kesibukan terus menjadi resepi hari-hari...
Namun kesempatan yang ada diselusuri,
Biar tajamnya tari pena ini terus terbukti....
Jika diikutkan hati,
Masa ini
Semakin hari semakin lari....
Puas dikejar, ia tetap lari.....dan pergi.......
Bak buih ombak yang meninggalkan pantai...

Rabu, 8 Oktober 2014

kembali terjalin


Alhamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran dirafa'kan ke hadrat Allah s.w.t yang masih lagi memberikan nikmat iman dan Islam ke atas diri ini... Semoga ditetapkan iman di dalam hati dan diberikan kekuatan untuk mengharungi setiap cabaran yang diberikan oleh-Nya..

Syukur syukur syukur... setelah 3 bulan menyepikan diri dalam arena ini akhirnya diberi kekuatan untuk menyerikan blog ini kembali... ada magnet dan kuasa yang menarik diri ini untuk menggagahkan diri saat kesibukan melanda diri.... alhamdulillah... Kembali terjalin.... penuh tersirat frasa ini... Insya-Allah blog ini akan sentiasa berwarna-warni...





Sabtu, 12 Julai 2014

Kuatnya Umat Islam

 
Subhanallah...segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam... Syukur masih diberi keizinan untuk terus menjalankan tanggungjawab sebagai hamba-Mu Ya Allah... masih diberikan kesempatan untuk menghirup udara segar sambil disapa angin yang menghembus di pipi ini... Mata ini terpaku melihat keindahan ciptaan-Mu... Maha suci Allah...
 
 
Seusai sahur pagi tadi mata ini memandang panaroma menerusi jendela bilik..memang itulah rutin harian ...sentiasa memerhati anak-anak di asrama dari kejauhan.. Alhamdulillah dapat melihat sekumpulan kecil anak-anak berada di tengah kawasan asrama kemudian berjalan mengelilingi maktab bersama-sama mungkin sambil memuja-muji ciptaan Allah... Lantas hati ini terlalu rindu untuk berjamaah Subuh di surau.. Suatu ketika dulu sewaktu menjadi warden Ya..sentiasa berjamaah di surau.. pengalaman itu memang terlalu manis untuk diingati.. itulah kekuatan yang dirasa dan dapat mendidik anak-anak agar dapat menunaikan Solat Subuh secara berjamaah.. Alhamdulillah..pagi ini Allah memberi kesempatan itu untuk bersama-sama mereka...
 
Sampai kaki ini di hadapan surau...sejuk hati apabila datang anak-anak Tingkatan 3 menjemput kehadiranku... Alhamdulillah...bersyukur sangat-sangat Ya Allah..kerana Kau memberikan kekuatan kepada mereka untuk bangun berqiamullail dan mengulang kaji di surau...  Semoga Engkau akan terus memberikan kekuatan kepada mereka dan mencampakkan cahaya keimanan dalam diri mereka..Lantas ingatan ini mengimbau kenangan sewaktu berada di KISAS... setiap pagi jam 4.30 pagi akan sentiasa mendengar suara dan rintihan-rintihan bermunajat kepada-Mu... Ya Allah rindu...rindu saat itu... terasa kerdil benar diri ini kerana tidak mampu untuk istiqamah.. "Fastaqim Kama Umirta" itulah frasa yang sentiasa dipegang sewaktu di KISAS dahulu... sentiasa teguh berdiri di atas jalan yang betul ...
 
Berlegar-legar cebisan ayat ini di dalam fikiran.... Mengingati sejarah dari ayat ini, yang menyebabkan rambut Nabi s.a.w beruban (tua) memikirkan betapa beratnya untuk istiqamah...Istiqamah atau sinonim dengan konsisten dalam bahasa moden iaitu teguh berdiri di jalan Allah, taat dan patuh di jalan Allah.. Sesedap ayat dan semudah yang boleh kita tafsirkan, tapi realitinya  tidaklah semudah yang kita sangkakan...
''Aku telah diubankan (dituakan) oleh Surah Hud....'' - Hadis direkodkan oleh Ibn Abbas r.a. 
 
Begitu sukar sekali Rasulullah memandang bebanan istiqamah ini... Sedangkan baginda sendiri adalah kekasih Allah, sebaik-baik dan sesempurna iman, pemberi syafaat sekalian alam, tetap memikirkan bebanan istiqamah sedemikian rupa...


Sedang kita, selemah-lemah iman yang telah dipahatkan pada seketul daging bernama qalbun, yang bersifat berbolak balik. Siang beriman, malam kufur, pagi memperjuangkan kebenaran, malam menjadi juara kebatilan. Hidup memperjuangkan kebaikan, mati di atas jalan kejahatan.... Nauzubillah...~

 

Solat Subuh merupakan pengukur nilai sebuah umat. Umat yang melalaikan solat Subuh berjamaah ialah umat yang tidak berhak untuk mendapat kejayaan, akan tetapi berhak untuk digantikan dengan umat yang lain.

Umat yang menjaga solat Subuh secara berjamaah adalah umat yang berhak untuk tegak kukuh di muka bumi.

Pernah salah seorang pemimpin Yahudi menyatakan bahawa mereka tidak takut dengan orang Islam kecuali pada satu hal, iaitu apabila jumlah jamaah solat Subuh menyamai jumlah jamaah solat Jumaat.

Sabda Rasulullah S.A.W, "Sesungguhnya solat yang paling berat untuk orang munafik adalah solat Isyak dan solat Subuh. Sekiranya mereka mengetahui apa yang terkandung di dalamnya, nescaya mereka akan datang kepada keduanya sekalipun dalam keadaan merangkak." (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Sesuci dan semurni ajaran agama Islam, begitulah juga sejernih dan semulia ajaran yang telah diajarkan kepada kita..  Berbaliklah kepada akar umbi pemula kehidupan kita, bagaimana dan kemana akhirnya kita ditempatkan dan ditemukan...
 
 
Didiklah hati untuk terus bermujahadah sehingga makam muthmainnah iaitu hati yang damai, sentiasa merindui syurga Allah dan seterusnya istiqamahlah dengan sebenar-benarnya di jalan Allah yang luas ini.... 

Ya Allah... Bantulah kami semua... Tetapkanlah kami di atas jalan-Mu ini... Berikanlah kami kekuatan daripada-Mu dan kekalkanlah kami sebagai penolong-penolong di jalan agama-Mu...
Aminnn....

 
 

Sabtu, 5 Julai 2014

senjata orang Islam



Alhamdulillah masih diberi keizinan untuk bertemumu ya Ramadan... Setiap hari Allah s.w.t mencoretkan setiap orang berlainan takdirnya... Kita hamba yang lemah lagi daif, tidak harus leka dalam menjalankan amanah untuk hidup. Peranan doa sekiranya diaplikasikan seiring dan sama hebatnya dengan zat ilmu, natijahnya pasti sesuatu yang luar biasa.

Hari ini..masyarakat Islam secara umumnya memandang doa terlalu rendah nilainya, sedangkan ilmu diangkat tinggi pula oleh sesetengah pihak. Kita tidak berupaya menyalurkan ilmu itu ke tempat yang sepatutnya. Bukan tangan tidak sampai, bukan juga kaki tidak jejak...namun, hati yang jadi buta lantaran keberkatan yang menyepi dan membiarkan manusia sendiri tergapaigapai dalam cerah.

Ingatlah, setinggi manapun menara yang kita daki, seluas kota yang kita terokai, Allah s.w.t tetap ada bersama-sama kita... Jangan lupa, semua percaturan dan perjalanan kita adalah dengan kehendak dan izin daripada-Nya. Tanpa Dia, siapalah kita... Berdoalah seperti setianya nabi-nabi kita meminta pertolongan dan reda Allah s.w.t dulu..



Jumaat, 4 Julai 2014

Kuatnya Kita di Bulan Ramadan

Alhamdulillah, kini kita telah berada pada hari ketujuh Ramadan...  Syukur kehadrat Ilahi kerana kita diberi kesihatan dan kekuatan untuk menjalankan rukun Islam ketiga ini dengan sempurna. 

Alhamdulillah hari ini apabila kita berpuasa di bulan Ramadan, sebenarnya kita menjadi lebih kuat sama ada rohani mahu pun jasmani. Kekuatan iman akan meningkat memberikan satu tenaga baru kepada minda dan jasad. Ketahuilah... sejarah telah membuktikannya! Banyak peperangan yang berlaku semasa Bulan Ramadhan dan sungguh menakjubkan apabila setiap peperangan ini di menangi oleh kaum muslimin tanpa perlu meninggalkan ibadat berpuasa ini.

Selain itu beberapa peristiwa penting dalam sejarah agama Islam juga berlaku di bulan Ramadan. Saya kongsikan di bawah ini peristiwa peristiwa yang berlaku di Bulan Ramadan  untuk pengetahuan kita bersama...



Oleh itu jangan jadikan alasan berpuasa itu untuk kita bermalas-malas dan menjadi lemah. Kualiti dan produktiviti kerja menjadi kurang. Menjadi seorang yang pasif dan tiada upaya. Tunjukkan kekuatan kita sebagai umat muslimin agar kaum dan penganut agama lain merasa kagum dan malu dengan umat Islam. Jadikan puasa itu bukan satu halangan atau kekurangan tapi satu pemangkin untuk menjadikan kita lebih kuat dan berkebihan. 
 
Biar mereka lihat dan rasai akan keagungan dan keistimewaan ibadah puasa ini. Kita sebenarnya mampu menjadikan hal ini sebagai satu tarikan buat mereka untuk mendekati dan ingin mengetahui lebih tentang kebenaran agama yang di bawa oleh Nabi Muhammad SAW ini yang mungkin seterusnya memberikan hidayah untuk mereka mengenali agama Islam yang indah ini. Buktikan juga bahawa berpuasa itu satu kewajipan yang memberi kelebihan yang tiada tandingannya...


Hanya anda yang mampu melakukannya. Jangan tunjukkan kelemahan kerana dengan kelemahan itulah akan menjadikan kita ini pandang rendah dan hina. Daripada kelemahan inilah terbukanya peluang untuk musuh-musuh Islam mengambil kesempatan menjahanamkan kita. 

Semoga Ramadan kali ini dapat menjadikan kita lebih kuat, rohani dan jasmani. Memperkukuh iman dengan memperbanyakkan amal dan ibadat. Membuktikan keistimewaan dan hikmah berpuasa yang tiada tolok tandingannya. Membawa diri ke satu aras baru dalam membentuk seorang umat muslimin dan muslimat yang sejati dan seterusnya bergerak menegakkan syiar Islam!

Insya-Allah... Semoga kita mampu melakukannya. Lakukan dengan Yakin dan Ikhlas hanya kerana Allah SWT.





 

Ahad, 29 Jun 2014

daripada Allah kita datang kepada-Nya jua kita kembali


Dan sesungguhnya Kami akan memberikan dugaan kepada kalian, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa (nyawa) dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. Iaitu mereka yang apabila ditimpakan dengan musibah, mereka mengucapkan;
“Sesungguhnya dari Allah kita datang dan sesungguhnya kepada-Nya jua kita kembali.” [Al-Baqarah: 155-156

Alhamdulillah...hari ini dipertemukan dengan Ramadan dan berkesempatan mengunjungi pusara ayahanda & kekanda dan menghadiahkan bacaan yaasin... Semoga roh arwah dibebaskan daripada azab kubur...Pada awal atau sebelum Ramadan para ahli kubur gembira kerana akan melalui bulan Ramadan yang dibukakan pintu syurga, ditutup pintu neraka dan dihentikan azab kubur... Apabila pada akhir Ramadan , maka akan bergundah gulanalah mereka, arakian mengetahui berakhirnya bulan keampunan dan pembebasan azab kubur.... Moga-moga mer3sap juga rasa keinsafan ke dalam hati ini untuk mengingati Mati yang pasti menjemput kita entah esok entah bila....


Rabu, 25 Jun 2014

Diam-diam Ubi....




Ada kalanya manusia memang memerlukan perhatian, pujian dan rangsangan positif untuk mengekalkan momentum dan kecemerlangan diri. Galakan dan dorongan sangat berperanan untuk mempersiapkan diri untuk langkah seterusnya.  Namun, kita perlu berhati-hati dengan pujian. Kemungkinan pujian boleh mendatangkan keburukan. Pujian rasa gembiranya hanya bersifat sementara. Rasulullah pernah mengingatkan: "Berwaspadalah kamu dengan pujian kerana pujian boleh menyembelih kamu". (Riwayat Ibnu Majah).
 
Maksud menyembelih di sini ialah seseorang mungkin  terpedaya dengan pujian yang diberikan. Jadikanlah pujian sebagai bonus untuk memajukan diri, bukannya habuan yang mesti kita peroleh setelah melakukan sesuatu tugasan. Tidak perlu menunggu menunggu perhatian atau pujian barulah mahu memulakan dan mempertingkatkan usaha. Pesanlah kepada diri : Janganlah menunggu ucapan terima kasih!...
 
Jadilah seperti ubi....
 
Ketahuilah...apabila menagih perhatian insan, barangkali kita masih belum sempurna melakukan sesuatu.. Niat tampaknya tidak seharmoni dengan usaha. Namun, hakikatnya yang tersembunyi itu lebih bermakna di sisi Tuhan... 

Apabila menerima kritikan, kita perlu besarkan hati
 

Sabtu, 14 Jun 2014

Allahurabbi.. dugaan... untuk seketika tidak dapat membuat kerja-kerja disebabkan laptop fujitsu rosak....

Rabu, 11 Jun 2014

Malam Nisfu Syaaban




Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kita rafa’kan kepada Allah Subhanahu waTa'ala kerana dengan rahmat-Nya kita dipertemukan lagi dengan bulan Sya'ban pada tahun ini iaitu bulan yang penuh dengan keberkatan dan kerahmatan. Pada bulan ini, kita digalakkan untuk meningkatkan segala amal ibadat yang berkebajikan. Bulan Sya'ban adalah antara bulan yang mulia dan mempunyai keistimewaan tersendiri, maka seharusnyalah kita sebagai kaum Muslimin menyambut dengan rasa syukur dan memuliakannya dengan memperbanyak amal ibadat kepada Allah Subhanahu waTa'ala.

Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wasallam ada mengajarkan dan menyarankan umatnya tentang amalan-amalan yang Baginda sering dilakukan pada bulan tersebut. Antaranya ialah memperbanyak puasa sunat,


Dalam kita memperkatakan kelebihan bulan Sya'ban, terdapat satu malam pada bulan tersebut yang dikenali dengan 'Nisfu Sya'ban'. Tanpa kita sedari ,hari ini merupakan 14 Syaban 1435 h. Adapun malam Nisfu Sya'ban ini mempunyai keistimewaan dan merupakan salah satu malam yang paling mustajab (doa dimakbulkan), malam pengampunan dan merupakan malam yang penuh dengan rahmat, sebagaimana hadith Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wasallam diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majjah

 
"Dari Yahya ibni Abi Khasir, dari Irwah dari Aisyah Radiallahu 'anha berkata: Bersabda Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wasallam: Sesungguhnya Allah Subhanahu waTa'ala menurunkan rahmat-Nya (memakbulkan doa) pada malam Nisfu Sya'ban ke langit bawah (langit dunia), maka Allah Subhanahu waTa'ala mengampunkan hamba-hamba-Nya lebih banyak bilangannya daripada bulu kambing Kabilah Bani KaliB"
 
Oleh itu sama-samalah kita menghidupkan malam Nisfu Sya’ban dengan memperbanyak membuat perkara sunat yang bertepatan mengikut apa-apa yang telah diajarkan kepada kita. Semoga amalan dan ibadah yang kita kerjakan mendapat rahmat dan pengampunan daripada Allah Subhanahu waTa’ala.. Amin.. 

Gelincir matahari hari ini dan selepas azan Maghrib maka kita memasuki 15 Syaaban… Hari buku catatan amalan kita diangkat dan buku catatan baharu diberikan. Marilah kita sama-sama membanyakkan catatan amalan kebaikan kita. Mohon keampunan kepada Allah dan sesama kita. Biarlah kita menutup dan membuka buku amalan kita dengan kebaikan……

 Faedah amalan pada Nisfu Sya’ban

Disunatkan menghidupkan dan menghidupkan malam Nisfu sya’ban dengan beribadah seperti sembahyang sunat tasbih, Baca Alquran, Berzikir, Selawat, dan Berdoa dengan niat:

1. Panjang umur sihat wal’afiat dalam taat dan ibadah kepada Allah.
2. Selamat dari pada musibah, bala, penyakit, wabak penyakit.
3. Minta rezeki yang halal dan kaya hati dari sekalian makhluk dan mati dalam keadaan husnul khatimah baik kesudahan.

4. Dan sekurang-kurangnya pada malam Nisfu Sya’ban beribadah dengan mengerjakan Solat Isya’ berjamaah dan Solat Subuh berjamaah.
Ya Allah,Ya Rahman,Ya Rahim..
Jika Engkau takdirkan panjang usiaku
Tetapkanlah aku di jalan-Mu
Agar aku istiqamah menjejaki keredaan-Mu
Teguh menjalankan perintahMu,tunduk pada ketentuan-Mu.
Jadikanlah diri ini orang yang selalu menjauhi larangan-Mu.
Agar tidak sia-sia sisa umurku berlalu…

Amin

Jumaat, 6 Jun 2014

MRSM oh MRSM !


Alhamdulillah selamat sampai di Meru Klang... lima hari meluangkan masa bersama-sama keluarga di Pahang. Penat ! tetapi berbaloi dapat memanfaatkan masa dengan sebaiknya. Banyak perkara yang Aiman dan Aisya peroleh. Benarlah...Jauh perjalanan luas pemandangan. Waktu inilah masa yang sesuai untuk Aiman dan Aisya mempelajari ilmu alam... Subhanallah...Maha Suci Allah...
 
Dalam perjalanan pergi dan balik saya sentiasa akan melihat perkembangan MRSM Bentong..macam itu jugalah keadaannya tidak berubah... Setakat ini bangunan MRSM ini tidak selamat kerana terdapat aliran air berhampiran tapak bangunan tersebut yang boleh menyebabkan tanah di kawasan itu boleh runtuh bila-bila masa. Dalam kejadian 6 Disember 2009, runtuhan cerun di lereng bukit di kawasan itu menyebabkan tangki septik dan padang hoki sekolah itu tertimbus dengan tanah. Sayang... berjuta-juta ringgit membazir begitu sahaja. Apabila "tiang" sesuatu "binaan" itu tidak kukuh, itulah jadinya..Oleh itu, pengajarannya, kita kenalah bina basement yang kukuh dulu baru boleh membina IMPIAN yang setinggi gunung! Tiang kita, apa dia???

AGAMA!
Dan tiang agama, apa dia??
sudah pasti, SOLAT!!!



Berbalik cerita MRSM Bentong ... Sewaktu saya memohon pertukaran MRSM Bentong agak sedih kerana permohonan saya tidak berjaya. Namun saya terima keputusan itu dengan reda dan yakin semua itu pasti ada hikmahnya. Setahun selepas MRSM itu beroperasi MRSM itu ditutup ekoran kejadian Tanah runtuh. Ya itulah hikmahnya. Kita hanya mampu merancang dan Allah sebaik-baik perancang. Kemudian saya meneruskan khidmat saya di MRSM Pasir Salak dan Alhamdulillah telah 8 tahun rupanya saya berada di Pasir Salak. Hati saya telah terpahat di situ. Namun apabila MRSM Kuala Kangsar akan dibuka, maka saya telah menghantar borang permohonan.. Moga-moga kali ini dipermudah segala urusan. Aminn.
 
Cerita tentang MRSM Kuala Kangsar . Lain pula kisahnya. Sepatutnya MRSM ini dijangka siap Disember 2013. Kini telah masuk Jun 2014. Masih belum siap sepenuhnya. Sewaktu bercuti di Taiping sempat jugalah menyinggah untuk meninjau kawasan tersebut. Boleh kira hampir 70% siap. Namun apa yang dikesalkan sepatutnya bulan Jun 2014 ini boleh beroperasi namun tidak juga dapat beroperasi. Inilah masalah yang berlaku apabila kita mendapatkan khidmat kontraktor Melayu. Janji tinggal janji.
 

 
Satu lagi MRSM yang sepatutnya dibuka Jun 2014 namun masih belum lagi boleh beroperasi ialah MRSM Sungai Besar . MRSM ini telah siap namun baru-baru ini dikatakan berlaku pemendapan tanah yang menyebabkan terpaksa ditangguh pada tahun hadapan. MRSM Sungai Besar ini merupakan MRSM Ulul Albab.  Setakat ini hanya baru 2 buah MRSM sahaja yang ada di Selangor iaitu  MRSM Kuala Kubu Bharu dan MRSM Sungai Besar. Berbanding Perak telah ada sebanyak 9 buah MRSM tidak silap. Menunggu MRSM Meru atau MRSM Klang dibuka. Beruntunglah kalau dapat buka di situ. senyum sampai ke telingalah jawabnya. Mudah-mudahan mana tahu satu hari nanti akan termakbul doa ini.
 
 

Selasa, 3 Jun 2014

Mohon Restu

Bismillahirrahmanirrahim... saja mengambil kesempatan untuk menenangkan minda yang sedang penuh kekusutan dek skrip yang masih menimbun ini... cuti sekolah kali ini agak ber3manfaat..penuh dengan pelbagai aktiviti sehinggakan jadual penuh dan terpaksa mencuri ruang untuk menanda... alhamdulillah.... semalam dapat pesanan sms daripada seorang pelajar... ingin meminta restu untuk menghadapipeperiksaan... walaupun telah meninggalkan alam persekolahan namun dia tidak pernah lupa untuk bertanya khabar dan juga meminta restu setiap kali ingin menghadapi peperiksaan atau ujian... budaya seumpama ini tidak perlu diajar tetapi lahir daripada hati.... kadangkala pelajar sering lupa akan kepentingan memohon restu daripada guru atau kedua ibu bapa. Di situ akan wujudnya keberkatan dalam kehidupan.... kadangkala sedih juga apabila ada dalam kalangan mereka langsung tidak mengucapkan terima kasih atau meminta restu ...  Namun ... biarlah mereka sendiri akan tahu peri pentingnya budaya ini dan tidak perlu diajar.... Guru mana yang tidak lembut hatinya apabila ungkapan ini dilafazkan..... 
" terima kasih cikgu"
"halalkan ilmu kami cikgu"
"doakan kami cikgu"
"kami sayang cikgu"
sedang mencari kekuatan untuk meneruskan perjuangan ini.... Ya Allah semoga Kau permudah segala urusanku...

Jumaat, 30 Mei 2014

Mari Ikhlas



Bismillahirrahmanirrahim...

Ramai manusia tertipu dalam beramal kerana mengharapkan pujian orang. Padahal kata pujian daripada orang-orang itu tidak akan memberi manfaat pun kepadanya pada hari akhirat. Malah, mengharap pujian daripada manusia hanya akan menyebabkan diri terseksa kerana terpaksa hidup dalam keadaan yang bermuka-muka. Rugi benar orang yang tidak ikhlas, terseksa di dunia, terseksa di akhirat. Ada suatu kisah tentang Ikhlas... Artikel daripada Ustaz Pahrol Mohamad Juoi bertajuk Mari Belajar Ilmu Ikhlas.


“Mari kuajarkanmu tentang ikhlas,” kata seorang guru kepada muridnya.
“Nanti saya ambilkan buku dan pena untuk menulisnya.”
“Tak payah, bawa sahaja karung guni.”
“Karung guni?” soal anak muridnya, seperti tidak percaya.
“Mari kita ke pasar!”

Dalam perjalanan ke pasar mereka berdua melalui jalan yang berbatu-batu.
“Kutip batu-batu yang besar dan masukkan ke dalam guni yang kau bawa itu,” kata guru itu memberi arahan.
Tanpa soal, anak muridnya memasukkan batu-batu besar yang mereka temui sepanjang jalan.
“Cukup?”
“Belum, isi sampai penuh karung guni itu. Lebih banyak lebih baik.”
Sampai di pasar, mereka berdua tidak membeli apa-apa pun. Gurunya hanya berlegar-legar, melihat-lihat dan kemudiannya mula beredar ke luar.
“Tok guru, kita tidak beli apa-apa kah?”
“Tidak. Bukankah karung gunimu telah penuh?”
“Ya, ya…” kata murid itu sambil memikul guni yang berat itu kelelahan.
“Banyak beli barang,” tegur seorang kenalan apabila melihat anak murid itu memikul guni yang berisi penuh dengan batu-batu.
“Wah, tentu mereka berdua ini orang kaya. Banyak sungguh barang yang mereka beli,” bisik orang lalu-lalang apabila melihat guru dan anak murid tersebut.
“Agaknya, mereka hendak buat kenduri dengan barang-barang yang banyak itu,” kata orang yang lain.
Sampai sahaja di tempat tinggal mereka, murid tadi meletakkan guni yang berisi batu-batu tadi.
“Oh, letih sungguh… apa yang kita nak buat dengan batu-batu ni Tok?”
“Tak buat apa-apa.”
“Eh, kalau begitu letih sahajalah saya,” balas anak murid.
“Letih memang letih, tapi kamu dah belajar tentang ikhlas…”
“Bagaimana?” tanya anak murid itu kehairanan.
“Kamu dah belajar apa akibatnya tidak ikhlas dalam beramal.”
“Dengan memikul batu-batu ini?”
“Ya. Batu-batu itu umpama amalan yang riyak. Tidak ikhlas. Orang memujinya seperti orang-orang di pasar tadi memuji banyaknya barang yang kamu beli. Tapi, kamu sendiri tahu itu bukan barang makanan atau keperluan tetapi hanya batu-batu…”
“Amal yang tidak ikhlas umpama batu-batu ini?”
“Ya, hanya beratnya sahaja yang terpaksa ditanggung. Dipuji orang, tetapi tidak ada nilainya di sisi Allah. Yang kamu dapat, hanya penat…”
“Ya, sekarang saya sudah faham apa akibat jika beramal tetapi tidak ikhlas!” ujar murid itu. Sekarang dia sudah faham apa akibatnya RIYAK dalam beramal.

 
 

 

Khamis, 29 Mei 2014

Tanpa Tiang, Runtuhlah Rumah

 
Alhamdulillah segala puji bagi Allah Tuhan Sekalian Alam... Masih diberikan ruang untuk menumpang teduh di bumi Allah ini... Memuja-muji pada hari Yaumul Jumuaah ini. Alhamdulillah pagi ini kita telah menunaikan tanggunjawab dengan mengerjakan solat subuh. Masih ramai lagi di luar sana yang gagal untuk melaksanakan tuntutan mengerjakan solat lima waktu. Ya masih ramai! tidak kira dalam kalangan orang  muda mahupun dewasa. Agak sukar melihat generasi hari ini yang mampu untuk duduk sujud mengabdikan diri kepada Yang Maha Esa.   Itulah realitinya. Apabila saya membuat tinjauan kepada pelajar-pelajar , tidak sampai 10% pun yang mampu untuk menunaikan solat lima waktu. Ya mungkin di sekolah atau di asrama cukup, Namun mengapa apabila berada di rumah kita sanggup untuk meninggalkannya. Alah Bisa Tegal Biasa... Apabila tidak biasa melakukannya memang terasa berat hati untuk mengerjakannya. Kalau tidak memaksa diri , pasti tidak akan melaksanakannya .... Ya memang pada permulaan kita perlu memaksa diri.. perlu gigih untuk melaksanakannya... namun, apabila sudah terbiasa... kita pasti akan rasa resah gelisah apabila tidak menunaikannya...   Assolatu imaduddin... Solat itu tiang agama... Tanpa solat tidak lengkaplah agama kita... sama saja kita dengan orang yahudi... Kita sibuk membicarakan isu halal haram namun, tiang kita??? Tepuk dada Tanya iman kita....
 

Di mana kekuatan sesebuah rumah? Adakah di seni binaan rumahnya? Adakah pada keluarga yang hidup di dalamnya? Tentu sekali tidak. Kekuatan sesuatu binaan manusia terletak pada penyokongnya. Dalam bahasa yang lebih mudah, tiang merupakan komponen asas untuk mengukuhkan sesuatu binaan.

 

“Solat itu tiang agama. Sesiapa yang mengerjakannya, dia akan menegakkan agamanya. Sesiapa yang meninggalkannya, dia akan meruntuhkan agamanya.”
(Riwayat Baihaqi)

 
Kata-kata peringatan hamba Allah S.W.T yang dipilih menjadi pesuruh-Nya lebih 1400 tahun dahulu. Penekanan aspek solat oleh baginda menunjukkan seolah-olah solat adalah tiang bagi agama seseorang. Adakah solat satu perkara yang logik? Bagi saya, tidak logik. Bagaimana titik yang tertinggi pada seseorang manusia iaitu dahi, yang ketika solat, dahinya diletakkan separas tapak kaki? Kenapa titik yang tertinggi diletakkan pada titik yang paling rendah? Bukankah ini seperti melakukan kezaliman dengan meletakkan sesuatu tidak kena pada tempatnya?
Ini bukanlah kezaliman!
Inilah hakikat manusia dan penciptaannya!
Inilah pengabdian sebenar seorang hamba. Hamba kepada Yang Esa, Yang Pengasih lagi Mengasihani. Bukan hamba kepada perkataan “Allah”. Hamba ini berbangga dengan meletakkan dahinya separas dengan tapak kaki, dengan membesarkan Yang Maha Besar
Anggaplah Islam itu seperti sebuah rumah. Lantainya lafaz syahadah (rukun islam pertama), tingkat satu adalah puasa (rukun islam ketiga), tingkat kedua adalah zakat (rukun islam keempat) dan tingkat ketiga dan terakhir adalah ibadat haji (rukun islam kelima). Rumah ini pula ditiangi dengan solat sebagai rukun islam yang kedua.
Tanpa tiang (baca:solat), mana mungkin kita mendapat tingkat satu (baca:puasa) dan seterusnya. Tanpa tiang, kita cuma akan mendapat lantai (foundation) sahaja. Dengan lantai sahaja, kita boleh sahaja jadikannya gelanggang badminton, sepak takraw ataupun petanque. Bukannya rumah!
Solat adalah tunjang kepada semua amal ibadat di dalam Islam. Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud...
 
“Amal pertama akan dihisab bagi seseorang hamba pada hari akhirat ialah solatnya. Jika solatnya baik, maka baiklah segala amalannya yang lain. Dan jika solatnya rosak, maka binasalah segala amalannya yang lain.”
(Riwayat Thabrani)

Tanpa solat, tidak berguna berpuasa di bulan Ramadhan. Tanpa solat, habuklah yang kita dapat apabila mengeluarkan zakat. Tanpa solat, ibadat haji kita akan menjadi pelancongan yang lagha!



 
Akhir kata, tiang adalah penyokong yang ampuh kepada sesebuah rumah untuk dibuat tempat berteduh. Jika kita berjaya menyiapkan pintu, tingkap, dinding dan bumbung dan terlupa akan tiang, maka hasilnya adalah gelanggang badminton, sepak takraw ataupun petanque. Kerana Tanpa Tiang, Rumah Bukanlah Rumah!
 
 

 

 

Rabu, 28 Mei 2014

Jam 1.00 pagi

 
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang... Tepat jam 1.00 pagi mata ini walaupun masih belum sihat namun masih gagah untuk meneruskan perjuangan menanda skrip jawapan anak-anak... Apabila dikurniakan waktu sebegini akan terus berusaha untuk menanda ditambah pula dengan ditemani srikandiku Aisya Humaira'... Seakan-akan memahami untuk menemaniku saat ini. Terima kasih Aisya Humaira'.... Alhamdulillah masih diberikan nikmat kesihatan atas diri ini. Walaupun mata ini masih belum baik namun masih tetap bersyukur kerana masih beruntung daripada orang-orang di luar sana... Segala puji bagi Allah...
 
Saja malam ini melayan perasaan... emmm...  melihat pen dan jam yang berada di atas kertas yang berserakan itu timbul rasa kasih dan sayang yang amat mendalam... MENGAPA???

Jawapannya : Melihat dengan pandangan MATA HATI...

Sebenarnya, manusia memandang apa-apa sahaja di dunia dengan empat jenis pandangan:
• Pandangan mata.
• Pandangan akal.
• Pandangan nafsu.
• Pandangan mata hati.

 Katalah, apabila saya melihat Jam dan Pen itu… Kita boleh melihatnya dengan empat pandangan. Kalau jam dipandang dengan pandangan mata, kita akan tahu jenama jam itu, warna dan bentuknya. Itu pandangan mata biasa. Bagaimana pula jika jam ini  dipandang dengan pandangan akal? Mereka ini memandang dengan penuh kajian dan penelitian. Dengan itu mereka mampu menganalisis. Misalnya apakah jam itu asli atau tiruan... adakah jam itu mahal harganya atau tiada nilainya...
Lain pula keadaannya dengan orang yang memandang jam itu dengan pandangan nafsu. Mereka ini tidak ambil pusing langsung jam itu kepunyaan siapa-siapa terus dirembatnya ... Yang penting, dia dapat! Hinggakan dengan kegelojohan itu dia tidak sempat bertanya pun siapa yang empunya. Inilah buruknya pandangan nafsu. Yang dipentingkan hanya mahu bergaya dan kemewahan.
 
 Bagaimana melihat jam itu dengan pandangan mata hati?
Melihat dengan pandangan mata hati akan menyebabkan kita seolah-olah dapat melihat wajah pemberi jam itu.
Ya, kerana saya melihat wajah orang yang menghadiahkan jam itu. Saya terkenang akan kasih sayang, keprihatinan, kelembutan dan segala-gala yang baik daripadanya. Pandangan itu menjangkau sesuatu yang lebih bererti, bukan sekadar pada tulang, daging dan urat tetapi kepada yang lebih maknawi, yakni budi, kasih dan sayangnya. Tanyakan hati kita, manakah pandangan yang lebih tepat dan murni? Pastinya hati kita akan menjawabnya, itulah pandangan mata hati!
 
 
Satu analogi tentang diri yang ditulis oleh Ustaz Pahrol Mohamad Juoi (ustaz kegemaran saya)
 
Diri pada Pandangan Mata Hati
 
Sebenarnya diri kita juga boleh dilihat dengan empat pandangan. Cuba bayangkan, kita di hadapan cermin. Apabila kita memandang dengan pandangan biasa (hari-hari kita memandangnya begitu), kita akui itulah diri kita. Kemaskan rambut, betulkan tudung atau rapikan baju, lalu kita berlalu. Itulah pandangan mata biasa.
 
Tetapi ada orang yang melihat dirinya dengan pandangan akal.
Bagaimana? Dengan akal fikiran, berlakulah analisis diri sendiri terhadap wajah yang dipantulkan oleh cermin. Ah, semakin tembam aku ini. Semakin putih wajahku. Oh, sudah ada garis-garis kedut di pelipis mata. Begitulah hasil analisa akal menerusi pandangannya. Hasil pandangan itu, kita pun bertindak mengurangkan berat badan, membetulkan kedudukan pakaian, menggunakan bahan kosmetik untuk merawat wajah dan berazam untuk memulakan diet atau senaman.
 
 Diri kita juga boleh dilihat dengan pandangan nafsu.
Katalah, kita masih pada usia muda (remaja). Muda hanya sekali, begitu bisik pandangan nafsu. Jangan disia-siakan peluang yang datang hanya sekali ini. Maka nafsu yang sentiasa merangsang kepada kejahatan ini akan memberi “nasihat” jahatnya. Mana lagi disko, dangdut dan tempat-tempat pelesiran yang belum didatangi. Tunggu apa lagi, ayuh pergi!
Begitulah pandangan nafsu oleh orang muda. Bagi orang yang telah tua pula, pandangan nafsu ada helahnya tersendiri. Eh, engkau belum tua lagi. Apakah kau lupa, ‘Life begin at forty. Man is like wine… Akibatnya, orang tua tidak merasa tua lagi – miang-miang keladi, makin tua makin jadi. Maksiat terus diratah sebanyak-banyak dan secepat-cepatnya, seolah-olah pasukan bola yang memburu gol pada waktu kecederaan.
Bila diingatkan, datuk dah senja ni… Dia tidak akan menerimanya bahkan istilah orang tua kerap ditukar menjadi “orang lama”. Ya, mungkin si tua yang didominasi pandangan nafsunya ini, sudah pencen dalam kerjayanya tetapi belum pencen dalam melakukan dosa.
 
 Bagaimana pula orang yang melihat dirinya dengan pandangan mata hati? Orang muda akan menghargai umurnya dengan melakukan ketaatan kepada Allah. Muda bukan sekali, tetapi dua kali. Begitu bisik hatinya.
Kali pertama ialah umur muda di dunia yang bersifat sementara. Manakala muda kali kedua ialah muda di dalam syurga yang abadi selamanya (menurut sesetengah ulama umur ahli syurga sekitar 30-an). Orang muda yang dipengaruhi oleh pandangan mata hati ini insaf bawa muda adalah saat terbaik untuk mendekatkan diri kepada Allah. Mereka ini sedar bahawa antara soalan yang akan ditanyakan di padang Mahsyar nanti ialah, ke mana umur mudamu sudah kamu habiskan?
Allah tidak bertanyakan umur tua, ini kerana umur muda adalah ‘prime time’ (masa yang sangat berharga) untuk seseorang manusia, dan alangkah baiknya jika ‘aset’ yang sangat berharga ini diserahkan kepada Allah? Bukankah itu petanda kita benar-benar mencintai-Nya?
Lalu hati orang muda itu pun berazam, jika demikian aku akan gunakan umur muda yang sementara ini untuk mendapat umur muda yang kekal abadi di syurga. Demikianlah azam orang muda yang memandang dengan pandangan mata hati. Lalu dia akan menyegerakkan amalan kebaikan, tidak bertangguh-tangguh taubat dan segera meninggalkan kejahatan. Usia muda dianggap sebagai satu kesempatan bukan satu penangguhan. Rasulullah s.a.w bersabda: “Allah suka orang yang bertaubat, tetapi Allah lebih suka orang muda yang bertaubat.”  88462094
Pandangan Mata Hati Imam Syafii
Orang tua yang melihat dengan pandangan mata hati akan bertambah serius dalam melaksanakan kebaikan dan ‘berpatah arang’ dengan kejahatan. Masa telah begitu suntuk. Entah sempat, entahkan tidak. Itulah rasa hati mereka.
Mereka tidak sudi lagi berpaling kepada yang mengganggu dan menggugat. Tumpuan utama hanyalah mengejar masa. Imam Syafii misalnya, pada usia empat puluh tahun sudah pun berjalan dengan memakai tongkat. Orang keliling kehairanan, justeru Imam Syafii masih tegap dan sihat. Bukankah beliau seorang pemanah yang tepat dan penunggang kuda yang cekap?
Ketika menjawab soalan orang tentang mengapa dia bertongkat, Imam Syafii berkata, “Tongkat ini untuk mengingatkan bahawa aku telah tua. Cukuplah semua hadiah dan sanjungan yang telah ku terima selama ini. Aku tidak perlukan lagi. Tumpuan sepenuh hati ku sekarang ialah menuju Allah!” Demikian “orang tua” yang memandang dirinya dengan pandangan mata hati. Sayangnya, kebanyakan kita yang mendakwa pengikut setia Imam Syafii tidak pula bersikap begitu. Kita tidak mencari tongkat “pengingat” seperti beliau, sebaliknya mencari tongkat “penggiat” – tongkat Ali!
 
Kesimpulan:
Sekarang bagaimana? Setiap kali kita memandang wajah di cermin, kita melihat dengan pandangan yang mana? Pandangan mata, akal, nafsu atau hati? Sebagai seorang Islam, kita diajar supaya setiap kali bercermin muka kita disunatkan membaca doa berikut: “Ya Allah, sepertimana Kau telah sempurnakan ciptaan wajahku, maka Kau sempurnakanlah pekertiku.” Ini menunjukkan bahawa menerusi doa ini Islam mengajar kita, jangan sekali-kali hanya melihat wajah lahir (muka) tetapi perlu melihat wajah batin kita (pekerti). Pekerti kita itulah hakikat diri kita yang sebenar.
Jasad yang tercipta dari tanah, bukanlah hakikat diri kita. Ia akan kedut, reput bahkan hancur akan dimamah ulat, cacing dan tanah. Tetapi diri kita yang hakiki ialah budi pekerti kita, yang tidak akan hancur selama-lamanya. Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Apa yang dilihat dengan pandangan mata hati inilah yang dikenang oleh manusia dan diberi ganjaran oleh Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w bersabda: “Allah tidak menilai rupa lahir kamu tetapi Allah menilai amalan dan hati kamu.”
Demikianlah apa yang dikatakan celik mata hati atau kesedaran. Tegasnya, mata hati akan celik hanya apabila kita melihat kehidupan ini sejajar dengan kehendak atau ketetapan Pencipta hidup – Allah. Inilah pandangan hidup (worldview) yang paling jelas tepat. Bermula dengan pandangan yang tepat inilah kita boleh menjalani hidup dengan sebaik-baiknya.
Jika tidak, terjadilah apa yang ditegaskan oleh Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami sediakan bagi neraka jahanam itu golongan jin dan manusia yang mereka itu mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya, dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya; mereka itu ibarat binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.” (Surah al-A’raaf 7:179).
 
 
1. Pandangan Mata
Pandangan mata, sifatnya selalu menipu. Contohnya, menerusi pandangan mata, kita melihat rel kereta api semakin jauh semakin menirus. Tetapi itu sebenarnya salah. Realitinya, rel itu tetap sama. Mata kita yang tertipu. Begitu juga kayu lurus yang dimasukkan separuh ke dalam air – kelihatan bengkok (sebenarnya ia tetap lurus). Bulan dilihat indah dari jauh tetapi kita tahu sebenarnya permukaan bulan penuh dengan lopak-lopak, lubang-lubang dan benjolan-benjolan yang tidak rata seolah-olah muka seorang yang berjerawat. Ya, begitulah, ramai manusia yang tertipu dengan pandangan mata.
2. Pandangan Akal
Pandangan akal (fikiran) pula sifatnya boleh tersalah. Berdasarkan kajian Ciaudius Ptolemy (saintis terkemuka pada zamannya), bentuk bumi adalah mendatar. Dunia ini ada hujungnya, yang mana jika sesiapa belayar sampai ke hujung dunia, dia akan terjatuh di penjuru itu. Manusia zaman itu sangat percaya kepada “pandangan akal” Ptolemy hinggakan tidak ada siapa yang berani belayar jauh, takut-takut terjerlus ke hujung dunia. Manusia pada zaman pertengahan pula percaya bahawa bumi adalah pusat edaran jagatraya (Centre of Universe).
Tetapi kepercayaan mereka disalahkan kemudiannya oleh Galileo Galilei dan Nicholas Copernicus yang menjelaskan bumi bukanlah pusat edaran bagi jagatraya tetapi matahari. Begitulah pandangan akal manusia yang saling salah menyalah antara satu sama lain. Penemuan orang terdahulu dibatalkan oleh kajian orang sekarang. Kajian orang sekarang dibatalkan pula oleh kajian orang akan datang. Akal bersifat terbatas, maka begitulah pandangannya, juga terbatas. Justeru, pandangan akal boleh tersalah.
3. Pandangan Nafsu
Pandangan ketiga ialah pandangan nafsu. Pandangan ini sifatnya melulu. Jika pandangan akal terbatas, nafsu pula selalu terbabas. Tidak ada yang dilihat oleh nafsu melainkan peluang dan ruang untuk melampiaskan kejahatannya. Sesuatu yang sudah cantik pada pandangan orang lain dipandang sebagai buruk dan keji kerana tidak mengikut selera nafsunya.
4. Pandangan Mata Hati
Pandangan yang keempat ialah pandangan mata hati. Ini adalah pandangan yang paling tepat dan hakiki. Hati pada asalnya adalah bersih dan baik. Apa sahaja yang dilihatnya akan sentiasa memberi kebaikan dengan syarat kebersihan dan kesucian hati itu terjaga.