Khamis, 29 Mei 2014

Tanpa Tiang, Runtuhlah Rumah

 
Alhamdulillah segala puji bagi Allah Tuhan Sekalian Alam... Masih diberikan ruang untuk menumpang teduh di bumi Allah ini... Memuja-muji pada hari Yaumul Jumuaah ini. Alhamdulillah pagi ini kita telah menunaikan tanggunjawab dengan mengerjakan solat subuh. Masih ramai lagi di luar sana yang gagal untuk melaksanakan tuntutan mengerjakan solat lima waktu. Ya masih ramai! tidak kira dalam kalangan orang  muda mahupun dewasa. Agak sukar melihat generasi hari ini yang mampu untuk duduk sujud mengabdikan diri kepada Yang Maha Esa.   Itulah realitinya. Apabila saya membuat tinjauan kepada pelajar-pelajar , tidak sampai 10% pun yang mampu untuk menunaikan solat lima waktu. Ya mungkin di sekolah atau di asrama cukup, Namun mengapa apabila berada di rumah kita sanggup untuk meninggalkannya. Alah Bisa Tegal Biasa... Apabila tidak biasa melakukannya memang terasa berat hati untuk mengerjakannya. Kalau tidak memaksa diri , pasti tidak akan melaksanakannya .... Ya memang pada permulaan kita perlu memaksa diri.. perlu gigih untuk melaksanakannya... namun, apabila sudah terbiasa... kita pasti akan rasa resah gelisah apabila tidak menunaikannya...   Assolatu imaduddin... Solat itu tiang agama... Tanpa solat tidak lengkaplah agama kita... sama saja kita dengan orang yahudi... Kita sibuk membicarakan isu halal haram namun, tiang kita??? Tepuk dada Tanya iman kita....
 

Di mana kekuatan sesebuah rumah? Adakah di seni binaan rumahnya? Adakah pada keluarga yang hidup di dalamnya? Tentu sekali tidak. Kekuatan sesuatu binaan manusia terletak pada penyokongnya. Dalam bahasa yang lebih mudah, tiang merupakan komponen asas untuk mengukuhkan sesuatu binaan.

 

“Solat itu tiang agama. Sesiapa yang mengerjakannya, dia akan menegakkan agamanya. Sesiapa yang meninggalkannya, dia akan meruntuhkan agamanya.”
(Riwayat Baihaqi)

 
Kata-kata peringatan hamba Allah S.W.T yang dipilih menjadi pesuruh-Nya lebih 1400 tahun dahulu. Penekanan aspek solat oleh baginda menunjukkan seolah-olah solat adalah tiang bagi agama seseorang. Adakah solat satu perkara yang logik? Bagi saya, tidak logik. Bagaimana titik yang tertinggi pada seseorang manusia iaitu dahi, yang ketika solat, dahinya diletakkan separas tapak kaki? Kenapa titik yang tertinggi diletakkan pada titik yang paling rendah? Bukankah ini seperti melakukan kezaliman dengan meletakkan sesuatu tidak kena pada tempatnya?
Ini bukanlah kezaliman!
Inilah hakikat manusia dan penciptaannya!
Inilah pengabdian sebenar seorang hamba. Hamba kepada Yang Esa, Yang Pengasih lagi Mengasihani. Bukan hamba kepada perkataan “Allah”. Hamba ini berbangga dengan meletakkan dahinya separas dengan tapak kaki, dengan membesarkan Yang Maha Besar
Anggaplah Islam itu seperti sebuah rumah. Lantainya lafaz syahadah (rukun islam pertama), tingkat satu adalah puasa (rukun islam ketiga), tingkat kedua adalah zakat (rukun islam keempat) dan tingkat ketiga dan terakhir adalah ibadat haji (rukun islam kelima). Rumah ini pula ditiangi dengan solat sebagai rukun islam yang kedua.
Tanpa tiang (baca:solat), mana mungkin kita mendapat tingkat satu (baca:puasa) dan seterusnya. Tanpa tiang, kita cuma akan mendapat lantai (foundation) sahaja. Dengan lantai sahaja, kita boleh sahaja jadikannya gelanggang badminton, sepak takraw ataupun petanque. Bukannya rumah!
Solat adalah tunjang kepada semua amal ibadat di dalam Islam. Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud...
 
“Amal pertama akan dihisab bagi seseorang hamba pada hari akhirat ialah solatnya. Jika solatnya baik, maka baiklah segala amalannya yang lain. Dan jika solatnya rosak, maka binasalah segala amalannya yang lain.”
(Riwayat Thabrani)

Tanpa solat, tidak berguna berpuasa di bulan Ramadhan. Tanpa solat, habuklah yang kita dapat apabila mengeluarkan zakat. Tanpa solat, ibadat haji kita akan menjadi pelancongan yang lagha!



 
Akhir kata, tiang adalah penyokong yang ampuh kepada sesebuah rumah untuk dibuat tempat berteduh. Jika kita berjaya menyiapkan pintu, tingkap, dinding dan bumbung dan terlupa akan tiang, maka hasilnya adalah gelanggang badminton, sepak takraw ataupun petanque. Kerana Tanpa Tiang, Rumah Bukanlah Rumah!
 
 

 

 

Tiada ulasan: