Rabu, 1 Ogos 2012

Tadarus

 

Alhamdulillah...hari ini masuk hari ke-13 umat Islam berpuasa.. Insya-Allah, cuba untuk menghabiskan 30 juzuk.. sewaktu bersembang-sembang dengan rakan-rakan jabatan.. timbul persoalan bolehkah apabila kita bertadarus, kita membahagikan juzuk atau ayat kepada setiap orang dan membacanya tanpa didengari oleh yang lain?.. maka..ini jawapan kepada persoalan itu... 

PENGERTIAN TADARUS AL-QURAN

Membaca al-Quran berkumpulan secara tadarus (yakni saling membaca dan menyemak bacaan al-Quran) adalah sabit dari Nabi s.a.w. dalam hadisnya (bermaksud); “Apabila berhimpun sekumpulan manusia di suatu rumah Allah (masjid) kerana membaca kitab Allah (al-Quran) dan saling mempelarinya antara sesama mereka, maka turunlah ke atas mereka ketenteraman, mereka dilimpahi oleh rahmat, dikelilingi oleh para malaikat dan Allah menyebut nama mereka di hadapan malaikat-malaikat yang berada di sisiNya”. (Riwayat Abu Daud)[1]

Menurut ulamak; maksud tadarus ialah saling mempelajari al-Quran iaitu seorang membaca dan yang lain mendengar dan memerhati bacaannya. Setelah ia selesai membaca, di sambung pula oleh orang lain. Berkata Imam al-Minawi; maksud “membaca kitab Allah (al-Quran) dan saling mempelarinya antara sesama mereka” ialah mereka saling mengikuti bacaan sesama mereka, kerap mempelajarinya dan berusaha menjaga/menghafalnya sesama mereka kerana takut lupa” (Faidhul-Qadier, hadis no. 7776).

Dari sudut pahala, apabila kita membaca dan mempelajari al-Quran secara bersama –yakni seorang membaca dan yang lain mendengar-, semua yang terlibat akan mendapat pahala. Yang membaca akan mendapat pahala tilawah sekalipun bacaannya tidak lancar. Ini sebagaimana disebut oleh Nabi s.a.w. dalam hadisnya (bermaksud); “Orang yang mahir membaca al-Quran dia akan bersama dengan malaikat safarah (pembawa wahyu) yang mulia dan taat/berbuat kebajikan. Manakala seorang yang membaca al-Quran dalam keadaan tergagap-gagap (yakni tidak lancar) di mana ia menghadapi kesukaran dan kepayahan ketika membacanya, maka dia akan memperolehi dua ganjaran” (Riwayat Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Ibnu Majah dari Aisyah r.a.).[2]

Yang mendengar pula akan mendapat pahala istima’ (mendengar tilawah/bacaan orang lain) dan pahala menegur (jika sahabat yang membaca tersalah). Firman Allah (bermaksud); “Dan apabila dibacakan al-Quran, maka dengarkanlah (baik-baik) dan perhatikanlah dengan tenang, agar kamu mendapat rahmat” (Surah al-A’raf, ayat 204). Sabda Nabi s.a.w.; (bermaksud); “Sesiapa yang mendengar dengan teliti satu ayat dari kitab Allah (al-Quran), ditulis baginya dengan kebaikan yang berganda-ganda dan sesiapa yang membacanya maka ia akan menjadi cahaya untuknya di hari kiamat”. (Riwayat Imam Ahmad dari Abu Hurairah r.a.)[3]

Adapun kaedah yang saudara sebutkan di atas iaitu setiap orang membaca bahagiannya tanpa didengar dan diperhati orang lain, maka itu –pada pandangan saya- tidaklah dapat dinamakan tadarus kerana tadarus membabitkan dua pihak iaitu pihak yang membaca dan pihak yang mendengar serta menyemak. Setiap orang yang membaca dalam kumpulan itu -Insya Allah- ia akan mendapat pahala dari tilawahnya. Namun adakah ia turut akan mendapat pahala dari bacaan kawan-kawannya yang lain (tanpa ia mendengar dan menyemak bacaan mereka), maka itu memerlukan penegasan dari nas yang lain. Jika ada nas, dapatlah kita mengiyakannya. Namun jika tanpa nas, tidak ada hak untuk kita mereka-reka pahala tanpa sebarang kenyataan dari Allah dan RasulNya. Pada pandangan saya, biarlah kita mengekalkan kaedah tadarus yang disebut oleh Nabi s.a.w. dalam hadis di atas. Sekalipun kita tidak berkesempatan mengkhatam al-Quran –kerana mungkin kaedah tadarus itu memakan masa-, namun melalui kaedah itu kita dapat membaca dengan teliti, kesalahan kita ditegur dan kita juga akan mendapat segala kelebihan yang dijanjikan Nabi s.a.w. dalam hadis tersebut.

Wallahu a’lam.