Rabu, 11 Jun 2014

Malam Nisfu Syaaban




Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kita rafa’kan kepada Allah Subhanahu waTa'ala kerana dengan rahmat-Nya kita dipertemukan lagi dengan bulan Sya'ban pada tahun ini iaitu bulan yang penuh dengan keberkatan dan kerahmatan. Pada bulan ini, kita digalakkan untuk meningkatkan segala amal ibadat yang berkebajikan. Bulan Sya'ban adalah antara bulan yang mulia dan mempunyai keistimewaan tersendiri, maka seharusnyalah kita sebagai kaum Muslimin menyambut dengan rasa syukur dan memuliakannya dengan memperbanyak amal ibadat kepada Allah Subhanahu waTa'ala.

Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wasallam ada mengajarkan dan menyarankan umatnya tentang amalan-amalan yang Baginda sering dilakukan pada bulan tersebut. Antaranya ialah memperbanyak puasa sunat,


Dalam kita memperkatakan kelebihan bulan Sya'ban, terdapat satu malam pada bulan tersebut yang dikenali dengan 'Nisfu Sya'ban'. Tanpa kita sedari ,hari ini merupakan 14 Syaban 1435 h. Adapun malam Nisfu Sya'ban ini mempunyai keistimewaan dan merupakan salah satu malam yang paling mustajab (doa dimakbulkan), malam pengampunan dan merupakan malam yang penuh dengan rahmat, sebagaimana hadith Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wasallam diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majjah

 
"Dari Yahya ibni Abi Khasir, dari Irwah dari Aisyah Radiallahu 'anha berkata: Bersabda Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wasallam: Sesungguhnya Allah Subhanahu waTa'ala menurunkan rahmat-Nya (memakbulkan doa) pada malam Nisfu Sya'ban ke langit bawah (langit dunia), maka Allah Subhanahu waTa'ala mengampunkan hamba-hamba-Nya lebih banyak bilangannya daripada bulu kambing Kabilah Bani KaliB"
 
Oleh itu sama-samalah kita menghidupkan malam Nisfu Sya’ban dengan memperbanyak membuat perkara sunat yang bertepatan mengikut apa-apa yang telah diajarkan kepada kita. Semoga amalan dan ibadah yang kita kerjakan mendapat rahmat dan pengampunan daripada Allah Subhanahu waTa’ala.. Amin.. 

Gelincir matahari hari ini dan selepas azan Maghrib maka kita memasuki 15 Syaaban… Hari buku catatan amalan kita diangkat dan buku catatan baharu diberikan. Marilah kita sama-sama membanyakkan catatan amalan kebaikan kita. Mohon keampunan kepada Allah dan sesama kita. Biarlah kita menutup dan membuka buku amalan kita dengan kebaikan……

 Faedah amalan pada Nisfu Sya’ban

Disunatkan menghidupkan dan menghidupkan malam Nisfu sya’ban dengan beribadah seperti sembahyang sunat tasbih, Baca Alquran, Berzikir, Selawat, dan Berdoa dengan niat:

1. Panjang umur sihat wal’afiat dalam taat dan ibadah kepada Allah.
2. Selamat dari pada musibah, bala, penyakit, wabak penyakit.
3. Minta rezeki yang halal dan kaya hati dari sekalian makhluk dan mati dalam keadaan husnul khatimah baik kesudahan.

4. Dan sekurang-kurangnya pada malam Nisfu Sya’ban beribadah dengan mengerjakan Solat Isya’ berjamaah dan Solat Subuh berjamaah.
Ya Allah,Ya Rahman,Ya Rahim..
Jika Engkau takdirkan panjang usiaku
Tetapkanlah aku di jalan-Mu
Agar aku istiqamah menjejaki keredaan-Mu
Teguh menjalankan perintahMu,tunduk pada ketentuan-Mu.
Jadikanlah diri ini orang yang selalu menjauhi larangan-Mu.
Agar tidak sia-sia sisa umurku berlalu…

Amin

Tiada ulasan: