Ahad, 1 Ogos 2010

Tidak semua perkara yang kita nak, kita akan dapat


Setelah berakhirnya prapercubaan PMR baru-baru ini..datang beberapa orang pelajar menangis ekoran keputusan yang tidak membanggakan... "Saya dah tak tahu nak buat apa cikgu...saya dah cuba usaha, tapi tak dapat juga..." begitulah antara luahan yang sering diluahkan oleh pelajar-pelajar.
Dalam dunia ini, bukan semua benda yang kita hajatkan akan kita capai. Banyak perkara, dalam pelbagai situasi, kita tidak mendapat apa-apa yang kita hajati. Walaupun kadangkala telah berusaha bersungguh-sungguh, walaupun kadangkala telah bermati-matian memikirkan strategi. Tetap tidak berjaya kita mendapatkannya. Hakikatnya itulah lumrah. Persoalannya, bagaimanakah kita merasionalkan diri kita dalam menerimanya?

Kita tidak tahu
Pertama sekali, kita perlu melihat kembali betapa hakikatnya kita tidak mengetahui apakah pilihan yang baik atau pilihan yang buruk pada kita.



Tetapi Allah mengetahui.
“Telah diwajibkan kepada kamu berperang, padahal (perang)itu tidak menyenangkan bagimu. Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah itu Maha Mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui apa-apa” Surah Al-Baqarah 216.



Boleh jadi apa-apa yang kita hajatkan, kita mahukan, bakal memberikan keburukan kepada kita. Apabila tidak mendapat apa-apa yang kita hajatkan, boleh jadi hakikatnya kita sedang diselamatkan oleh Allah SWT atas keburukan yang bakal kita hadapi.
Perkara ini tersimpan di dalam HIKMAH.
Dan hikmah tidak semestinya kita ketahui pada masa hal ini terjadi.
“Allah itu Maha Mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui apa-apa”

Belum bersedia
Ada kemungkinan juga, kita belum bersedia atas apa-apa yang kita hajati itu. Kemungkinan yang kita hajati itu datangnya bersama tanggungjawab yang besar. Contohnya, hajat hendak berkahwin, tetapi Allah tidak izinkan pada waktu yang kita hajati. Ada kemungkinan Allah tidak izin itu kerana kita belum bersedia untuk memikul tanggungjawab itu.

Begitulah juga dengan kejayaan-kejayaan dalam kehidupan. Biasanya, kejayaan akan datang bersama tanggungjawab. Kemungkinan besar, Allah tidak mengizinkan kita mencapai kejayaan itu, kerana diri kita masih tidak mampu memikul tanggungjawab yang hadir bersamanya.



Dosa
Kadangkala, hajat kita tidak tercapai adalah kerana kita ada perkara yang belum selesai dengan Allah SWT. Maka Allah tidak memenuhi hajat kita kerananya.
Sebab yang hendak memberikan segala perkara terjadi adalah Allah SWT. Dan Dia berkuasa untuk tidak membenarkannya.PERKARA inilah kebiasaannya kita sering lakukan sebagai seorang pelajar. Tidak menunaikan SOLAT, menipu, tidak menghormati guru, membuat maksiat dan macam-macam lagi. Namun, jarang untuk kita menyedarinya... dan akhirnya menyalahkan takdir...Nauzubillahi minzalik...



Berusaha untuk positif dengan Allah
Allah Maha Mengetahui. Dia tahu kita siapa. Dia yang paling kenal kita. Dia yang paling mencintai kita. Oleh itu, sekiranya ada perkara-perkara yang kita rasakan buruk menimpa kita, sepatutnya kita perlu kembali memuhasabah diri.

Mengapakah kita tidak dapat apa-apa yang kita hajati? Jangan sekadar memandang secara teknikal. Ada kemungkinan lain selain hal teknikal yang menyebabkan hajat kita itu tidak tercapai, usaha kita itu tidak berhasil.Dan sepatutnya, perkara ini kita patut pandang pada sudut kasih sayang Allah.



Ada kemungkinan Allah hendak menyelamatkan kita dari sesuatu yang kita tidak tahu, sebab itu Dia menghalang daripada hajat kita tercapai. Ada kemungkinan kita masih belum mampu, lantas Allah tahan dahulu kita dari mendapat apa yang kita hajati, agar kita tidak terkapai-kapai di kemudian hari. Ada kemungkinan Allah hendak mendidik kita, agar lebih dekat denganNya, sebab itu kerana dosa kita Dia tidak membenarkan kita mendapat apa yang kita hajati.



Allah itu Maha Penyayang.
Jika kita tidak mendapat apa yang kita hajati pun, itu adalah sebahagian dari kasih sayangNya.



“Sesungguhnya apa-apa yang akan Aku lakukan terhadap hambaKu adalah mengikut sangkaan hambaKu terhadap-Ku…”(Hadith Riwayat Imam Ahmad, Bukhari, Muslim dan lain-lain)



Penutup: Memang dalam hidup, bukan semua benda kita nak, kita dapat
Dan sentiasalah memahami bahawa di dalam kehidupan, bukan semua perkara yang kita hajati akan berjaya kita capai.



Jangan kecewa apabila tidak mendapat apa yang dihajatkan. Pandang dari sudut yang positif. Fikir jauh ke hadapan. Jika kita manusia yang punya keterikatan dengan Allah SWT, maka kita akan berlapang dada, bersangka baik dengan aturan-aturanNya kepada kita.
Sekiranya kita mampu memahami perkara ini, lumrah ini, hakikat ini, insyaAllah jiwa itu akan tidak terbeban. Hal ini demikian kerana, kita sentiasa positif.
Positif, sentiasa membuahkan positif yang lain, Insya-Allah Taala....




Tiada ulasan: