Sabtu, 19 Disember 2009

Buat Kaum Hawa



Pada awal 90-an, bilangan orang bertudung semakin ramai. Di mana-mana sahaja kita boleh bersua dengan wanita yang bertudung. Sama ada di kilang, di sekolah, di stesen bas, di pejabat, di universiti dan di politeknik malah beberapa pengacara televisyen dan radio pun sudah memakai tudung. Alhamdulillah. Tetapi...

Tetapi yang menyedihkan, kalau dahulu wanita bertudung tidak akan ditemui di taman-taman bunga, di tempat-tempat hiburan, berpegangan tangan dengan teman lelaki, di panggung wayang atau kalau dahulu wanita bertudung bersih mukanya daripada calaran alat-alat make up, tetapi kini dengan mudah kita boleh jumpa wanita bertudung berpeleseran dengan teman lelaki di tempat-tempat sedemikian.

Tudung berwarna warni mengikut fesyen sesuai dengan aliran zaman dan fesyen baju. Kadang-kadang pakai tudung pun tidak sempurna mengikut syariat. Kadang-kadang macam nak terlondeh. Antara hendak tutup dan hendak buka. Akhlak dan tutur katanya kasar, malah kadang-kala lebih buruk daripada mereka yang tidak memakai tudung atau buka aurat.

Sesetengahnya bertudung tetapi tidak sembahyang. Imej wanita bertudung telah tercemar dengan wanita-wanita yang menjadikan tudung sebagai fesyen atau terpaksa pakai kerana mengikut peraturan. Kalau dahulu bila wanita itu bertudung, automatik dia sudah malu ke panggung wayang, malu untuk berasmara, malu untuk ke tempat hiburan dan sebagainya.

Tetapi kini tudung sudah tidak mempunyai peranan untuk mencegah manusia dari terjerumus ke dalam lembah maksiat.

Apabila direnung-renung sebab hal ini boleh terjadi, maka jelaslah wanita-wanita yang bertudung pada hari ini jahil tentang tujuan dan peranan pemakaian tudung. Ramai wanita yang memakai tudung pada hari ini kerana terikut-ikut dengan suasana. Mereka lihat adik-beradik, teman sekolah, teman pejabat atau jiran telah ramai memakai tudung, maka timbul rasa malu kerana mereka sahaja yang masih tidak bertudung. Lantaran itu mereka mengambil keputusan untuk memakai tudung, walaupun hati tidak berapa menyetujuinya.

Kini masyarakat telah menerima wanita yang pakai tudung. Ujian sudah tidak besar. Kadang-kala orang lelaki yang hendak berkahwin pun memberi syarat, wanita yang hendak dikahwininya mestilah bertudung.

Setengahnya apabila mereka melihat wanita lain memakai tudung lebih cantik dan manis, mereka pun hendak memakainya, tanpa mengetahui tentang ilmunya, mengapa mesti pakai tudung. Ada juga yang terpaksa memakai tudung kerana desakan keluarga atau suami. Ada yang mahu menjadikan tudung macam fesyen. Sekejap pakai, sekejap buka. Lantaran itulah nilai orang yang bertudung pada hari ini sudah menurun.

Sudah tidak semahal wanita yang bertudung awal-awal dahulu. Hanya wanita yang berpurdah yang belum kelihatan berjalan-jalan di taman bunga atau di tempat-tempat hiburan. Mungkin taraf berpurdah sama dengan wanita yang memakai tudung diperingkat awal dahulu.

Sesuatu amalan yang dilakukan kalau bukan atas dasar ilmu dan yakin serta faham apa yang mereka perbuat akan nampak ganjil dan pincang hasilnya. Sesuatu yang dibuat bukan dari hati yang ikhlas, walaupun nampak hebat tetapi semuanya kosong. Tiada nilai di sisi Allah.

Wanita yang pakai tudung selain daripada keinginan untuk menutup aurat, tidak akan dapat berbohong dengan Allah walaupun di dunia mereka berjaya membohongi mata manusia mengatakan mereka juga sudah menutup aurat. Tetapi di akhirat nanti, niat sebenar dan apa yang ada di dalam hati mereka akan diselongkar dan didedahkan oleh Allah dipadang Mahsyar di hadapan jutaan umat manusia.

Rasulullah S.A.W pernah ditanya oleh seorang sahabat:
"Ya Rasulullah, dengan apakah manusia mencapai keselamatan kelak?"
Jawab Nabi S.A.W :
"Jangan menipu Allah."
Orang itu bertanya lagi:
"Bagaimana menipu Allah?"
Jawab baginda:
"Iaitu mengerjakan apa yang diperintahkan oleh Allah, tetapi tidak kerana Allah."

Di samping tiada niat untuk menutup aurat.




Tiada ulasan: