Ahad, 18 Oktober 2009

MATA HATI KITA...

Hari ini saya teringat satu artikel yang ditulis oleh Ustaz Pahrol Mohamad Juoi (orang kuat Fitrah Perkasa) tentang pandangan Mata Hati...Saya bersetuju benar dengan konsep pandangan mata hati...Sekiranya kita mengamalkan dalam kehidupan seharian kita ..Insya-Allah kehidupan kita akan lebih aman dan tenang..Cuba anda hayati tafsiran daripada kisah Metafora Kuih...




                                                                  Metafora Kuih

Supaya mudah difahami mari kita lihat metafora ini. Katalah, melihat kuih… Kita boleh melihatnya dengan 4 pandangan. Kalau kuih dipandang dengan pandangan mata, kita akan tahu apa nama kuih, warna dan bentuknya. Itu pandangan mata biasa. Bagaimana pula jika kuih dipandang dengan pandangan akal? Ini adalah pandangan pakar-pakar pembuat kuih (chef atau pakar masakan). Mereka ini memandang dengan penuh kajian dan penelitian. Dengan itu mereka mampu menganalisis. Misalnya apakah kuih itu seimbang dari segi bahan-bahannya, ketepatan mengadunnya, kemahiran menguli dan membakarnya?


Pakar-pakar masakan ini mempunyai ilmu yang cukup untuk mengkaji apakah kesilapan (jika ada) dan ketepatan pembuatan kuih tersebut. Inilah kelebihan pandangan akal berbanding pandangan mata biasa. Lain pula keadaannya dengan orang yang memandang kuih dengan pandangan nafsu. Mereka ini tidak ambil pusing langsung apakah bentuk, nama atau cara pembuatan kuih itu.


Yang penting, makan dulu. Hinggakan dengan kegelojohan itu dia tidak sempat bertanya pun siapa yang empunya. Inilah buruknya pandangan nafsu. Yang dipentingkan hanya kesedapan dan keseronokan. Bagaimana melihat kuih dengan pandangan mata hati?


Melihat dengan pandangan mata hati akan menyebabkan kita seolah-olah dapat melihat pembuat kuih tersebut. Katalah, anda sedang berada di luar negara. Bila musim Hari Raya tiba, anda mendapat kiriman bungkusan dari kampung. Bila bungkusan itu dibuka dan anda melihat kuih di dalamnya, dengan tidak semena-mena air mata anda mengalir. Bila terlihat sahaja kuih, hati anda sedih. Kenapa?


Ya, kerana anda melihat wajah ibu (pembuat kuih) di sebalik kuih itu. Anda terkenang kasih-sayang, keprihatinan, kelembutan dan segala-gala yang baik daripada ibu anda. Pandangan itu menjangkau sesuatu yang lebih bererti, bukan sekadar pada tulang, daging dan urat ibu kita tetapi kepada yang lebih maknawi, yakni budi, kasih dan sayangnya. Tanyakan hati kita, manakah pandangan yang lebih tepat dan murni? Pastinya hati kita akan menjawabnya, itulah pandangan mata hati!

Sekarang saya minta anda untuk melihat gambar di bawah ini dengan pandangan mata hati... Apakah jawapan anda???



Tahniah!!! anda mampu untuk melihat gambar ini dengan pandangan mata hati... Tegasnya, mata hati akan celik hanya apabila kita melihat kehidupan ini sejajar dengan kehendak atau ketetapan Pencipta hidup – Allah. Inilah pandangan hidup (worldview) yang paling jelas tepat. Bermula dengan pandangan yang tepat inilah kita boleh menjalani hidup dengan sebaik-baiknya.


Jika tidak, terjadilah apa yang ditegaskan oleh Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami sediakan bagi neraka jahanam itu golongan jin dan manusia yang mereka itu mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya, dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya; mereka itu ibarat binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.” (Surah al-A’raaf 7:179)



Tiada ulasan: