Ahad, 21 Oktober 2012

Sambutan Bulan Bahasa MRSM Pasir Salak 2012




Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh…… Salam Satu Bahasa, Satu Bangsa dan Satu Negara

 Alhamdulillah, terlebih dahulu ,marilah kita memanjatkan rasa syukur kehadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia-Nya,kita dapat menjayakan program Bulan Bahasa Kebangsaan 2012.Sesungguhnya program ini merupakan satu inisiatif yang amat baik dalam usaha kita untuk menyemarakkan semangat cinta akan bahasa kebangsaan dalam segenap lapisan masyarakat di negara kita.

                 Bulan Bahasa Kebangsaan yang kita raikan saban tahun bukan sekadar satu acara tahunan.Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan adalah sebahagian daripada rantaian perjuangan yang panjang dalam memartabatkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan,bahasa rasmi,bahasa ilmu dan bahasa perpaduan di negara kita.Saya katakan satu perjuangan kerana Bahasa Melayu tidak akan berada pada darjat yang semulia ini tanpa perjuangan para pejuang bangsa kita yang terdahulu.

Dengan cara sambutan ini,semangat cinta akan Bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat 1Malaysia akan terserlah bahkan mendidik mereka mencintai Bahasa Melayu.Bahasa Melayu sebagai bahasa kedamaian jiwa perlu diterapkan dalam kalangan anak pascamerdeka sedari kecil agar mereka mampu untuk membudayakan tanpa sebarang perasaan waham.Pemupukan semangat bahasa Melayu dalam kalangan generasi baharu perlu dilaksanakan secara serius lantaran mereka merupakan pewaris kepimpinan negara pada masa akan datang bak kata pujangga bestari,melentur buluh biarlah dari  rebungnya. Semoga bahasa Melayu akan terus mekar sepanjang zaman


                                      “BAHASA AKAR WARISAN BANGSA”

 Tingkap papan kayu bersegi,
Sampan sakat di Pulau angsa,
Indah tampan kerana budi,
Tinggi bangsa kerana bahasa.




Sepanjang Program Bulan Bahasa ini pelbagai acara telah dijalankan antaranya mengadakan pertandingan melukis poster, membina kamus KOMSAS mini, mencipta pantun, melukis komik KOMSAS dan Koleksi Wacana Ilmu, Kempen Membaca dan Pelancaran Program Bulan Bahasa dan Pelancaran Laman Ilmu/ Letters Lane. Alhamdulillah, para pelajar dapat memberikan kerjasama dan menjayakan Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat MRSM Pasir Salak.

Tiada ulasan: