Sekiranya doa yang kita panjatkan hampir setiap hari lambat dimakbulkan atau tidak dimakbulkan, jangan mengeluh! Jangan berasa allah tidak mendengar kelu-kesah hati kita dan permintaan kita sia-sia. Namun, cuba kita "scan" hati kita sama ada bersih daripada segala kekotoran dosa?
Antara penyebab doa tidak mustajab berpunca daripada hati yang kotor. Apabila kita berasa doa kita tidak memberi kesan, kita harus mula mengenal pasti dosa-dosa yang telah kita lakukan kerana dosa-dosa tersebut yang telah menggelapkan hati kita lalu menjadi penghijab kepada doa daripada termakbul.
Terdapat tiga aspek yang perlu diamalkan bagi mendapatkan hati yang bersih semula dan menguatkan cahaya iman iaitu, ilmu, mujahadah dan disiplin.
Sesungguhnya makanan hati ialah ilmu. Bagi menyucikan hati, adalah perlu untuk kita mempelajari ilmu-ilmu agama. Seperti kata Imam Al-Ghazali, apabila seseorang itu tidak mendengar majlis ilmu selama tujuh hari, maka hatinya akan menjadi keras.
Kita juga harus mendidik diri supaya mencintai majlis-majlis ilmu, mengamalkan zikir, ISTIQAMAH membaca Al-Quran, selain memilih sahabat yang beragama agar dapat memimpin kita berada di landasan yang benar.
Ilmu umpama "antivirus" ..kita perlu mengemas kininya setiap masa agar komputer kita mampu mengesan dan menghalang virus-virus baru yang cuba menyerang,"
Begitu juga dengan ilmu, ilmu semasa di sekolah rendah tidak lagi mampu menjadi tembok penghalang godaan-godaan syaitan. Tetapi, kita harus menambahkan diri kita dengan ilmu yang lebih tinggi agar kita lebih kuat menghadapi apa-apa jua bentuk serangan hawa nafsu dan bisikan syaitan.
Mujahadah atau menundukkan hawa nafsu pula merupakan aspek kedua yang perlu dititikberatkan dalam proses penyucian hati. Hal ini bermaksud melatih diri melakukan sesuatu yang berlawanan dengan sifat-sifat yang mendatangkan keseronokan. Sebagai contoh ramai dalam kalangan kita yang malas hendak melaksanakan solat lima waktu , kita kena mujahadah untuk mendirikan solat cukup lima waktu tersebut. Buang perasaan malas yang ada pada diri kita. Kita kena kuat melawan perasaan malas dan merasakan allah sentiasa melihat kita dan melihat segala perkara yang kita lalukan. Insya-Allah apabila kita berasa Allah hadir dan ada dalam hati kita, pasti kita tidak akan melakukan perkara-perkara yang dilarang.
Disiplin merupakan aspek ketiga yang perlu ditekankan dalam setiap individu bagi menjamin kesucian hati. Disiplin bermaksud memasukkan sifat-sifat baik ke dalam diri secara beransur-ansur.
Maka, adalah sangat penting untuk difahami bahawa untuk mengubah diri tidak wajar dilakukan secara drastik. "kita harus pandai memanipulasi diri sendiri. Apabila perubahan yang diambil secara perlahan-lahan, insya-Allah akan bertukar menjadi satu tabiat dan amalan. Amin
Wallahu a'lam bissawab..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan