Ahad, 2 Januari 2011

TAHUN BARU 2011



TAHUN baru ini, sama ada masihi atau hijrah meninggalkan catatan sejarah yang terukir dalam diari kehidupan setiap insan. Masa untuk kita bertafakur meraba nilai diri yang dicalit oleh tinta yang penuh noda.


Hitam dan putih, dosa dan pahala, kebaikan dan kejahatan, untung dan rugi, kegagalan dan kejayaan, semua itu mematangkan peribadi.


Rasanya baru sekejap anak dilahirkan, merangkak dan berlari, kini sama tinggi dengan ayah dan ibu mereka. Melihat cermin, nampak kulit semakin kedut, uban tumbuh di sana sini, hari-hari semakin sibuk melayari dunia yang mencabar keimanan.

Ada satu amalan paling sesuai dilakukan malam ini, bukalah album kenangan masa lalu dan letakkan ia di hati. Singkap lembaran demi lembaran yang mengandungi gambar mengenai kehidupan kita. Kemudian cuba fikirkan beberapa persoalan mengenai takdir yang anda lalui sepanjang tahun ini.


Betapa lemahnya daya ingatan kita, apatah lagi mahu menjawab beberapa soalan yang menjadi rahsia Tuhan ke atas diri kita. Mungkin ada yang menolak takdir ke atas dirinya, tapi selepas dijalani akhirnya Tuhan membuka matanya melihat bahawa takdir itu baik dan membawa kebahagiaan dalam hidupnya.


Apa saja pencapaian yang kita peroleh atas hasil usaha di dunia ini hanyalah setitis daripada rahmat-Nya yang dituang dalam hati kita. Begitu juga kegagalan dan musibah yang berlaku adalah supaya kita lebih dekat kepada Allah dan bergantung sepenuh pengharapan setelah sebelumnya kita berasa gagah dan hebat menguasai medan kehidupan.


Ketika membuka album hati yang menyimpan rahsia diri, seorang hamba Allah akan menjumpai kecacatan dan aib diri yang apabila tersingkap pasti sungguh memalukan. Tetapi Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, akan benar-benar membuka segala-galanya pada hari penghisaban nanti


Sesungguhnya amalan muhasabah diri lebih baik daripada ibadat sepanjang malam dalam keadaan hati dibiarkan lalai. Bagaimanakah cara kita mengetahui adakah hati kita lalai atau tidak? Rasulullah SAW menilai kelalaian hati dengan jauhnya seseorang daripada membaca al-Quran dan merenungi dirinya.


Sesuai dengan sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Barang siapa yang melakukan qiyam dengan membaca sepuluh ayat, maka dia tidak akan dicatat sebagai orang yang lalai. Barang siapa yang membaca seratus ayat, maka dia dicatat sebagai orang yang khusyuk. Dan barang siapa yang membaca seribu ayat maka dia dimasukkan ke dalam golongan orang yang memperoleh pahala yang melimpah-limpah.” - (Hadis riwayat Abu Daud)


Tanda-tanda kelalaian berkait rapat dengan sengatan hawa nafsu ke atas hati kita. Rasulullah SAW sentiasa berdoa sebelum memulakan khutbahnya yang bermaksud: “Segala puji bagi Allah, kami memohon pertolongan, petunjuk dan ampunan kepada-Nya dan kami memohon perlindungan daripada keburukan hawa nafsu dan dosa-dosa kami.”

Hawa nafsu pada hakikatnya adalah bekalan bagi manusia untuk menjalani kehidupan. Ia bersifat tercela melainkan bagi mereka yang dirahmati Allah sesuai dengan perkataan Nabi Yusuf dalam al-Quran yang bermaksud: “Kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” - (Surah Yusuf, ayat 53)


Saat bermuhasabah, kita boleh merasai apakah kekuatan yang selama ini menunggangi keperibadian kita? Apakah kekuatan hawa nafsu atau keimanan? Dalam diri kita hanya ada dua kekuatan itu, silih berganti yang satu memenangi perlawanan terhadap yang lain.


Perlawanan itu berlangsung sepanjang hayat kita hingga akhirnya. Firman Allah yang bermaksud: “Adapun orang yang melampaui batas, dan lebih mengutamakan kehidupan dunia, maka sesungguhnya nerakalah tempat tinggalnya. Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya, maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggalnya.”


Selepas beribu batu perjalanan ditempuhi, eloklah berhenti sejenak sambil bertafakur untuk memastikan adakah jalan itu betul dan lurus sesuai dengan matlamat asal kita. Dari mana kita datang, untuk apa kita berjalan dan ke mana kita kita tuju? Kembalilah kepada Allah sebelum segala berakhir dengan kesengsaraan abadi.


Firman Allah yang bermaksud: “Dan peliharalah dirimu daripada (azab yang terjadi pada) hari yang pada waktu itu kamu semua dikembalikan kepada Allah. Kemudian masing-masing diri diberi balasan yang sempurna terhadap apa yang telah dikerjakannya, sedang mereka sedikitpun tidak dianiaya (dirugikan).”


Tidak ada ucapan selamat kepada mereka yang mensia-siakan hidupnya walaupun setiap tahun mereka menyambut perayaan tahun baru dengan gilang-gemilang. Yang sepatutnya diberi ucapan itu adalah orang yang cekal dan gigih memperjuangkan imannya hingga menemui Tuhannya dengan hati yang reda.


Tiada ulasan: