Selasa, 9 Februari 2010

Sedih rasa di hati...


Malam tadi pertama kali aku bertugas memantau prep malam...sebelum ini tak dapat bertugas kerana menghantar pelajar ke hospital sehingga jam 12.00 malam..Agak bersemangat pada mulanya untuk melihat anak-anak membuat kerja sekolah dan membuat ulang kaji.. Namun, apabila melangkah ke kelas , hati menjadi sedih dan geram apabila melihat anak-anak duduk berdua-duan dengan alasan untuk study... Adakah matlamat menghalalkan cara? Ramai dalam kalangan anak-anak yang tidak memahami konsep belajar  berkumpulan. Adakah salah untuk kita memilih rakan sejantina kita untuk menanyakan soalan atau belajar bersama...Namun, itulah yang agak sukar dilaksanakan oleh mereka. Mereka lebih suka bertanya soalan pada rakan berlainan jantina secara berdua-duaan.. Sesungguhnya Rasulullah saw telah bersabda: janganlah seorang lelaki berdua-duaan dengan wanita, sesungguhnya yang ketiga di antara mereka berdua adalah syaitan-(riwayat imam Ahmad). Satu lagi perkara yang agaknya boleh kita katakan rukun bagi sesetengah coupling adalah dating, iaitu bertemu antara sepasang pasangan. Biasanya temu janji atau dating ini dilakukan berdua-duaan, tanpa ada mahram dalam erti kata yang sebenar.Tidak syak lagi bahawa berdua-duaan satu perkara yang amat besar bahayanya. Nafsu shahwat akan memungkinkan segalanya, ditambah lagi syaitan yang akan berusaha kuat untuk menjerumuskan manusia ke jalan kemaksiatan. Apabila sudah berada di landasan keseronokan nafsu, seseorang baik lelaki mahupun wanita akan lupa kekuasaan Allah, kemurkaan dan azabNya. Mereka juga akan melupakan nilai kesucian diri dan kemuliaan sifat terpuji. Dalam keadaan berdua-duaan amatlah mudah untuk terjatuh ke dalam jenayah yang besar. Bahkan hal ini merupakan satu peringkat yang paling menghampirkan diri kepada zina, dan terbukti dengan kes-kes penangkapan khalwat, dan muqaddimah zina serta zina itu sendiri yang majoritinya melibatkan pasangan couple.Rasulullah saw bersabda: jauhilah daripada berdua-duaan dengan perempuan, Demi diriku yang berada dalam tangan-Nya, tidaklah berkhalwat dua orang leleki perempuan kecuali ada syaitan di antara mereka. dan jika sekiranya seorang lelaki berhimpit dengan seekor babi yang berlumuran lumpur dan kotoran itu lebih baik baginya dari berhimpit bersentuhan bahu dengan perempuan yang tidak halal baginya. Hadis di atas jelas mengharamkan khalwat dan duduk berdua-duan bersama, kalau pada zaman kita ini termasuklah duduk berdua-duaan bersebelahan di dalam bas, wayang dan sebagainya.Satu alasan yang popular bagi mereka yang ingin berdua-duaan adalah untuk mengulang kaji pelajaran.menuntut ilmu itu memanglah satu perkara yang dituntut, tapi apakah sudah tidak ada pelajar lain di atas muka bumi ini untuk belajar bersama-sama. Atau sudah tiada pelajar yang sama jantina yang boleh membantu dalam pelajaran.Cuba kita renungi kata-kata Imam Hasan al-Basri: jangan kamu berdua-duaan dengan perempuan, walaupun kamu berkata: aku mengajarkannya al-Quran. Demikianlah beberapa hujah dari baginda Rasulullah sendiri serta para ulama tentang larangan dan bahaya khalwah atau berdua-duaan dengan orang yang bukan mahram.Teringat sebuah kisah yang mungkin boleh dijadikan iktibar kita bersama..

Ada seorang pemuda soleh yang sangat patuh kepada perintah agamanya dan sentiasa menjaga diri daripada segala rupa maksiat dan keburukan,sehingga pada suatu malam terlintas di dalam hatinya hendak berzina dengan seorang gadis jelita kerana terpesona dengan kejelitaannya.

Kebetulan pada ketika itu, disampingnya ada sebuah pelita yang sedang baru dinyalakan untuk menerangi rumah pemuda soleh itu. Maka dia pun terus menajamkan pandangannya kepada api yang sedang bernyala-nyala pada sumbu pelita itu. Kemudian dia berbisik pada dirinya sendiri:

''Engkau mengajak aku melakukan perbuatan terkutuk dengan wanita itu? Baiklah, aku akan letakkan jariku ini di atas sumbu pelita yang menyala itu. Kiranya ia tahu panasnya, nescaya aku akan turutkan kemahuanmu itu.''

Maka pemuda soleh itu pun meletakkan jarinya di atas sumbu tadi. Dan dia cuba menahan diri daripada kepanasannya, sehingga hampir-hampir nyawanya akan tercabut kerana tidak tahan panas yang dideritanya itu. Lalu dia berteriak:

''Wahai diriku,tahniahlah engkau! Rupanya engkau tidak tahan,padahal api dunia itu tersangatlah sejuk berbanding api neraka. Kalau hanya menghadapi api dunia, engkau sudah tidak tahan,apatah lagi menghadapi api neraka yang panasnya berkali-kali ganda lebih dasyat dari api dunia ini."

Lalu orang soleh itu pun berpaling daripada niatnya yang mula-mula tadi. Sejak peristiwa itu hatinya tidak pernah diganggu lagi oleh lintasan buruk seperti itu.
Surah An-nisa,ayat 31:
"Jika kamu menjauhkan dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, Kami akan ampunkan kesalahan-kesalahan (dosa kecil) kamu dan kami akan masukkan kamu ke tempat yang mulia (Syurga)."
Surah Al-Israak,ayat 32:
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)."\

Sama-sama kita renungkan...



Tiada ulasan: