Sabtu, 30 Mac 2013



Bismillahi walhamdulillah.

Keputusan SPM 2012 telah diumumkan pada minggu lepas...Maaf kerana sedikit terlewat mengucapkan tahniah kepada yang berjaya memperoleh kejayaan cemerlang. Kepada yang kurang cemerlang, janganlah terlalu sedih dan berduka cita, yakinlah setiap sesuatu itu ada hikmahnya. Ya, semua yang berlaku ada hikmahnya untuk semua orang.
Kepada yang berjaya, syukurilah nikmat kejayaan tersebut dengan lebih menghampirkan diri kepada Allah, melaksanakan perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Yakinlah bahawa kurniaan Ilahi berbentuk kejayaan ini adalah salah satu ujian, untuk melihat adakah anda seorang yang bersyukur dan kembalikan puja puji sebenar kepada Allah. Bukan kepada diri sendiri semata-mata.


Kepada yang kurang cemerlang, yakinlah bahawa ini juga adalah ujian Allah untuk melihat adakah anda sabar dan reda dengan keputusan tersebut. Kita mungkin rendah di sisi manusia kerana mendapat keputusan yang kurang cemerlang, tetapi kita akan tetap tinggi dan mulia di sisi Allah jika kita terima keputusan itu dengan reda dan sabar. Terima dengan reda setiap perkara yang Allah tentukan untuk kita. Juga tidak terlalu mengikut perasaan seperti meraung kesedihan, lama menyendiri apatah lagi membunuh diri. Na’uzubillah…

Usaha dan natijah


Keputusan peperiksaan adalah hasil daripada usaha yang kita kerjakan. Kita tidak mampu menentukan keputusan peperiksaan, kerana  di luar bidang kuasa kita. Tetapi kita mampu untuk berusaha ke arah mencapai kejayaan. Sebagai seorang beriman kita wajib meyakini bahawa peranan kita sebagai hamba Allah adalah berusaha sedaya usaha, kemudian serahkan natijahnya kepada Allah.

Kita dipertanggungjawabkan atas usaha bukan atas keputusan. Kalaulah semua orang dipertanggungjawabkan atas keputusan, maka ramailah yang gagal dalam hidup mereka. Begitu juga kita tidak wajar menyalahkan para nabi, kononnya gagal memastikan anggota keluarga mereka sendiri menerima hidayah Allah.

Berbanggalah…
Kita layak berbangga jika kita berusaha, kemudian berjaya. Juga layak untuk berbangga, jika telah berusaha bersungguh-sungguh, kemudian gagal- atas keyakinan telah menunaikan tanggungjawab. Justeru, kita tidak layak berbangga jika beroleh kejayaan cemerlang tanpa usaha yang sepatutnya!

Itu untuk murid yang menduduki peperiksaan, begitu juga dengan guru, ibu bapa dan penjaga yang anaknya memperoleh kejayaan cemerlang. Anda tidak layak berbangga jika anda tidak menyumbang kepada kejayaan tersebut…

Terima kasih
Wallahu a’lam





Tiada ulasan: