Sabtu, 10 April 2010

Permata Srikandi Perjuangan


Rasa rindu dengan Program Untukmu Srikandi... Kalau nak diikutkan memanglah masa 2 hari satu malam itu  terlalu singkat dan tidak mencukupi... banyak lagi mesej yang ingin disampaikan kepada mereka.. Cerita tentang srikandi... Sejarah membuktikan srikandi turut berjuang dalam mempertahankan kedaulatan Islam. Nama-nama srikandi seperti Saidatina Khadijah r.a, Rabiatul Adawiyah, Sumayyah, Saidatina Aisyah r.a sanggup berkorban apa-apa sahaja untuk Islam yang tercinta. Srikandi sebeginilah yang didambakan kehadirannya.
Wujudnya mereka sebagai memberi sokongan kepada pejuang-pejuang lelaki. Namun, bagi diri mereka kerana Islam adalah tujuan terutama. Sejarah Saidatina Khadijah menunjukkan harta kekayaan diserahkan untuk membangunkan Islam. Tiada kepentingan diri diperutamakan. Sokongan demi sokongan diberikan kepada suami tercinta yang juga utusan Allah, Rasulullah Nabi Muhammad S.A.W. Tiada berbelah bagi ketaatan diserlahkan melalui kasih sayang dan kecintaan.
Rabiatul Adawiyah srikandi yang sering mendambakan kasih sayang dan kecintaan hanya kerana Allah. Kehormatan dan maruah diri sering diperlihara. Dunia dinyatakan dalam diri sebagai sementara dan syurga yang kekal abadi menjadi dambaan hati. Kesucian diri sering diutamakan. Segala perintah Allah ditunaikan dan laranganNya dijauhi. Tiada kesangsian dalam diri untuk berjuang di jalan Allah.
Sumayyah perlu dicontohi ketabahan dan kecekalan dalam memepertahankan keislaman diri serta keluarga. Tiada ketakutan ke atas peristiwa yang berlaku walaupun pelbagai seksaan dikenakan. Hanya Allah sahajalah bagi dirinya berserah. Syurga tetap menjadi idaman. Tiada kekesalan untuk mempertahankan keislamannya walaupun diseksa teruk.
Peristiwa fitnah yang berlaku ke atas Saidatina Aisyah selepas pulang dari perang Musthalik menguji kesabarannya. Bukan sahaja Aisyah, bahkan turut menguji Rasulullah dan para sahabat ketika itu. Pelbagai cacian dan tohmahan berlaku. Namun kesabaran Aisyah dalam mempertahankan maruah Islam dikagumi. Tetap bersabar demi membela maruah diri dan Islam.
Perhatikanlah kisah-kisah srikandi yang sentiasa cekal dan tabah dalam mengharungi kehidupan yang penuh pancaroba. Dugaan demi dugaan perlu ditempuhi dan digagahi. Namun diri tetap kepada pendirian kerana rasa cinta yang teguh kepada Islam.
Adakah masih ada srikandi yang menyerupai akhlak-akhlak srikandi Islam terdahulu. Srikandi yang sanggup berkorban apa-apa sahaja demi Islam. Yang sentiasa tabah, cekal dalam mengharungi dugaan serta cabaran.

Percayalah bahawasanya sifat itu pasti ada dalam diri srikandi masa kini. Hal ini dipamerkan dan dibuktikan sekiranya Islam tetap menjadi landasan utama dalam diri. Maruah sentiasa dipelihara, perintah Allah dituruti larangan dijauhi. Tindak tanduk berlandaskan Al-Quran As-Sunnah. Keimanan dalam diri diserlahkan melalui cara berkata-kata, berpakaian dan bergaul.

Bahagialah sekiranya wanita berusaha menjadi srikandi Islam. Dalam erti kata lain adalah wanita solehah. Inilah perjuangan utama yang perlu ada dalam diri. Setiap perbuatan diteliti dengan jelas.

Sesungguhnya inilah permata yang dicari yang menjadi srikandi dalam perjuangan. Berjuang kerana bahagia dunia dan akhirat.

Tiada ulasan: