Jumaat, 14 September 2012

Kita merancang allah juga merancang



Sebaik-baik perancangan ialah di atas kekuasaan Allah SWT jua. Maka apalah daya yang dapat diperkatakan jika setiap perkara yang kita rancang pada awalnya tidak dapat diterjemahkan menjadi sebuah kenyataan. Reda di atas ketentuan Ilahi yang lebih arif dalam mentadbir seluruh alam kepunyaan-Nya.

Maka benarlah apa-apa yang dinyatakan di dalam kitab suci Al-Quran yang berbunyi:


"Mereka merancang (tipu daya), dan Allah juga merancang (membalas tipu daya), Dan Allah sebaik-baik perancangan." (Surah Ali Imran, 3:54)
 
Baru sebentar tadi saya mendapat kiriman sms daripada anak yang sedang diuji Allah ini yang menyatakan bahawa dia tidak dapat bersama-sama menduduki SPM pada tahun ini..Terasa sebak pula apabila membacanya.. dan penyakitnya pun sudah berada pada tahap 4. Doktor menasihatinya agar menangguhkan peperiksaannya disebabkan dia perlu membuat rawatan kimoterapi.. berat mata memandang berta lagi bahu yang memikul.. Walau apapun..semoga dikau tabah mengharungi semua ini.. setiap perkara yang berlaku pasti ada hikmahnya..Semoga kita dapat mendekatkan diri kita dengan Allah s.w.t....

 AKU CINTA ALLAH..
Andaikan diri ku bisa
Seperti yang lain
Yang Kau sayang
Yang Kau rindukan
Yang Kau cintai

Aku lemah tanpa Mu aku lelah
Aku sungguh tak berdaya
Tolongku
Tolongku
Yaaa Allah
Setiap air mataku mengalir
Allah aku lemah dan tak berarti
Setiap derai tangis membasahi
Allah jangan tinggalkan aku lagi
Aku sayang Allah
Aku rindu Allah
Aku Cinta Allah
Aku lemah tanpa Mu aku lelah
Aku sungguh tak berdaya
Tolongku
Tolongku
Yaaa Allah
Setiap air mataku mengalir
Allah aku lemah dan tak berarti
Setiap derai tangis membasahi
Allah jangan tinggalkan aku lagi
Aku sayang Allah
Aku rindu Allah
Aku Cinta Allah
Setiap air mataku mengalir
Allah aku lemah dan tak berarti
Setiap derai tangis membasahi
Allah jangan tinggalkan aku lagi
Aku sayang Allah
Aku rindu Allah
Aku Cinta Allah
Aku sayang Allah
Aku rindu Allah
Aku Cinta Allah

Khamis, 13 September 2012

Kuatkan semangat


Alhamdulillah..saat ini Allah masih mengurniakan nikmat kesihatan kepada kami sekeluarga.. Syukur..mudah-mudahan agar nikmat ini dapat dirasai sentiasa... Bagi mereka yang diuji oleh Allah tidak dapat merasai nikmat ini, agar mereka cekal dan tabah mengharungi..

Alhamdulillah..akhirnya hari ini dapat juga diberi ruang untuk meziarahi anak homeroom yang sedang diuji oleh Allah dengan penyakit yang agak kritikal. Apabila sampai di rumahnya..anak ini menyambut kami di depan pintu dengan wajah tersenyum namun nampak jelas kesakitan yang ditanggungnya dalam dua bulan ini.. Tubuhnya sangat kurus..sehingga nampak tulang, dan perutnya agak sedikit buncit akibat penyakit yang dihidapinya..Kasihan anak ini..namun,  dia sedang cuba untuk menerima semua dugaan itu..Pada mulanya doktor mengesahkan anak ini mendapat penyakit kanser lyphoma, namun setelah beberapa kali rawatan, dia telah disahkan menghidap kanser desmoplastic... Penyakit ini agak jarang berlaku di hospital Ipoh..sehingga doktor tidak dapat mengenal pasti penyakit ini  dan  terpaksa merujuk pakar onkologi dari Hospital Kuala Lumpur...

Apa yang membuatkan hati ini agak kagum dengan anak ini.. dia bersungguh-sungguh untuk menduduki peperiksaan SPM pada tahun ini walaupun keadaan fizikal dia tidak mengizinkan... Walau apapun semua warga maktab sentiasa mendoakan anak ini agar kembali sembuh dan dapat bersama-sama meneruskan perjuangan di medan peperiksaan nanti... Buat pembaca blog ini sama-samalah kita mendoakan kesihatan anak ini dan mendoakan kejayaannya...


Selasa, 11 September 2012

Reda atas ujian yang berlaku


Agak lama menyepikan diri... entahlah.. sibuk? atau tidak berkeinginan untuk berbloging.. Malam ini tidak seperti malam-malam selalu.. Diberikan kekuatan untuk duduk menghadap laptop menyiapkan tugasan-tugasan yang masih belum diselesaikan..sambil sesekali jari ini rancak untuk menanda skrip jawapan percubaan yang masih lagi bersih tanpa contengan...

Letih menaip..menanda..letih menanda..duduk sambil merehatkan minda.. Fuh.. sukar juga untuk memfokuskan fikiran.. Macam-macam bermain di minda..Saja ingin berkongsi cerita atas perkara yang berlaku pada hari ini... Reda atas setiap ujian  yang berlaku atas diri kita...

Setiap manusia yang Allah cipta sentiasa akan diberi musibah,ujian atau masalah hidup di dunia yang sementara ini.Tipu jika seseorang itu berkata yang dia tidak pernah ditimpa musibah. Setiap orang ada masalahnya tersendiri,Allah uji dengan berbagai-bagai ujian tetapi sebabnya adalah sama. Allah menguji seseorang itu kerana Allah swt mempunyai rahsianya tersendiri,sama ada Allah hendak tambah iman kita atau hendak uji sejauh mana keimanan kita. Dan kerana sesuatu ujian itulah yang membuka mata hati kita,yang mendidik kita supaya jangan mudah putus asa dalam kehidupan yang bagaikan bahtera dil autan yang penuh dengan onak duri,ujian juga dapat mematangkan kita.

Kadang-kadang kita tertanya-tanya, mempersoalkan kepada Allah swt kenapa kita diberi ujian yang berat sebegitu sekali sehingga kita terlupa pada siapa yang perlu kita mengadu segala masalah kita, pada siapa kita harus minta kembali kekuatan kita. Astaghfirullah, lemahnya dan rendahnya iman kita. Tidak reda dalam menghadapi ujian yang Allah beri terhadap kita. Jika kita anggap diri kita ditimpa musibah yang besar kita hendaklah ingat bukan kita sahaja yang mengalaminya,mungkin ada sahabat-sahabat kita @ saudara seakidah kita yang lain menghadapi musibah yang sama bahkan lebih teruk atau lebih besar daripada kita.

Bukankah,Allah telah berkata dengan jelas di dalam Al-Quran yang Allah tidak akan sekali-kali menguji hambaNya diluar kemampuan hambaNya. Allah tahu kita kuat dalam menghadapi ujianNya jadi Allah berikan ujian itu ke atas diri kita. Di sini kita dapat lihat betapa sayang dan kasihnya Allah kepada kita sebagai hambaNya.
Allah menguji seseorang bukan kerana Allah benci kepada kita tetapi percayalah yang Allah sangat kasih kepada kita. Cuma kita sebagai hambaNya tidak pernah hendak bersabar dalam menghadapi ujian-Nya. Pasti Allah telah aturkan yang terbaik buat kita kerana setiap yang berlaku ada hikmahnya.

Jadi seharusnya apa yang perlu kita lakukan? berdoalah kepada Allah, Allah lah tempat kembali segala masalah yang sering membelenggu diri kita. Jangan malu untuk merayu-rayu, meminta-minta, memohon-mohon kepada Allah swt.Selalu diingatkan yang Allah tidak pernah jemu mendengar rintihan hambaNya, Allah itu Maha Mendengar.


Kita perlu tahu selepas ujian itu selesai, satu lagi ujian akan datang, maka bersedialah dalam menghadapi ujian yang seterusnya. Untung bagi mereka yang selalu diberi ujian tanda Allah swt sayang padanya. Semoga kita sentiasa menjadi hambaNya yang sentiasa reda atas ujian dan ketentuan Allah swt. Apa yang ditetapkan untuk kita itulah yang terbaik! Smile

Rabu, 1 Ogos 2012

Tadarus

 

Alhamdulillah...hari ini masuk hari ke-13 umat Islam berpuasa.. Insya-Allah, cuba untuk menghabiskan 30 juzuk.. sewaktu bersembang-sembang dengan rakan-rakan jabatan.. timbul persoalan bolehkah apabila kita bertadarus, kita membahagikan juzuk atau ayat kepada setiap orang dan membacanya tanpa didengari oleh yang lain?.. maka..ini jawapan kepada persoalan itu... 

PENGERTIAN TADARUS AL-QURAN

Membaca al-Quran berkumpulan secara tadarus (yakni saling membaca dan menyemak bacaan al-Quran) adalah sabit dari Nabi s.a.w. dalam hadisnya (bermaksud); “Apabila berhimpun sekumpulan manusia di suatu rumah Allah (masjid) kerana membaca kitab Allah (al-Quran) dan saling mempelarinya antara sesama mereka, maka turunlah ke atas mereka ketenteraman, mereka dilimpahi oleh rahmat, dikelilingi oleh para malaikat dan Allah menyebut nama mereka di hadapan malaikat-malaikat yang berada di sisiNya”. (Riwayat Abu Daud)[1]

Menurut ulamak; maksud tadarus ialah saling mempelajari al-Quran iaitu seorang membaca dan yang lain mendengar dan memerhati bacaannya. Setelah ia selesai membaca, di sambung pula oleh orang lain. Berkata Imam al-Minawi; maksud “membaca kitab Allah (al-Quran) dan saling mempelarinya antara sesama mereka” ialah mereka saling mengikuti bacaan sesama mereka, kerap mempelajarinya dan berusaha menjaga/menghafalnya sesama mereka kerana takut lupa” (Faidhul-Qadier, hadis no. 7776).

Dari sudut pahala, apabila kita membaca dan mempelajari al-Quran secara bersama –yakni seorang membaca dan yang lain mendengar-, semua yang terlibat akan mendapat pahala. Yang membaca akan mendapat pahala tilawah sekalipun bacaannya tidak lancar. Ini sebagaimana disebut oleh Nabi s.a.w. dalam hadisnya (bermaksud); “Orang yang mahir membaca al-Quran dia akan bersama dengan malaikat safarah (pembawa wahyu) yang mulia dan taat/berbuat kebajikan. Manakala seorang yang membaca al-Quran dalam keadaan tergagap-gagap (yakni tidak lancar) di mana ia menghadapi kesukaran dan kepayahan ketika membacanya, maka dia akan memperolehi dua ganjaran” (Riwayat Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Ibnu Majah dari Aisyah r.a.).[2]

Yang mendengar pula akan mendapat pahala istima’ (mendengar tilawah/bacaan orang lain) dan pahala menegur (jika sahabat yang membaca tersalah). Firman Allah (bermaksud); “Dan apabila dibacakan al-Quran, maka dengarkanlah (baik-baik) dan perhatikanlah dengan tenang, agar kamu mendapat rahmat” (Surah al-A’raf, ayat 204). Sabda Nabi s.a.w.; (bermaksud); “Sesiapa yang mendengar dengan teliti satu ayat dari kitab Allah (al-Quran), ditulis baginya dengan kebaikan yang berganda-ganda dan sesiapa yang membacanya maka ia akan menjadi cahaya untuknya di hari kiamat”. (Riwayat Imam Ahmad dari Abu Hurairah r.a.)[3]

Adapun kaedah yang saudara sebutkan di atas iaitu setiap orang membaca bahagiannya tanpa didengar dan diperhati orang lain, maka itu –pada pandangan saya- tidaklah dapat dinamakan tadarus kerana tadarus membabitkan dua pihak iaitu pihak yang membaca dan pihak yang mendengar serta menyemak. Setiap orang yang membaca dalam kumpulan itu -Insya Allah- ia akan mendapat pahala dari tilawahnya. Namun adakah ia turut akan mendapat pahala dari bacaan kawan-kawannya yang lain (tanpa ia mendengar dan menyemak bacaan mereka), maka itu memerlukan penegasan dari nas yang lain. Jika ada nas, dapatlah kita mengiyakannya. Namun jika tanpa nas, tidak ada hak untuk kita mereka-reka pahala tanpa sebarang kenyataan dari Allah dan RasulNya. Pada pandangan saya, biarlah kita mengekalkan kaedah tadarus yang disebut oleh Nabi s.a.w. dalam hadis di atas. Sekalipun kita tidak berkesempatan mengkhatam al-Quran –kerana mungkin kaedah tadarus itu memakan masa-, namun melalui kaedah itu kita dapat membaca dengan teliti, kesalahan kita ditegur dan kita juga akan mendapat segala kelebihan yang dijanjikan Nabi s.a.w. dalam hadis tersebut.

Wallahu a’lam.
 
 

Selasa, 31 Julai 2012

Tahniah kepada peserta MRSM Pasir Salak World Scholars Cup


Tahniah kepada pasukan menengah rendah MRSM Pasir Salak yang telah bertanding dalam World Scholars Cup(WSC) di Bangkok pada 21-24 April 2012 baru-baru ini kerana telah berjaya untuk bertanding ke peringkat Tournament of Champions di Yale University. Pasukan menengah rendah ini terdiri daripada pelajar Tingkatan 3 iaitu Alif Azizi Subardi, Muhammad Zuhair Ilyas dan Nurul Dalila Safiah Noor Azmi. Pertandingan yang berlangung di Bangkok ini melibatkan seramai 1002 orang peserta dari lebih 42 negara dan menguji pelajar berdasarkan 6 modul utama iaitu: Special Area, Scince, Current Affairs, History, The Arts dan juga Literature.

Kesungguhan pasukan MRSM Pasir telah membuahkan hasil apabila mereka berjaya ke Yale University di Newheaven yang akan berlangsung pada 30November - 2 Disember 2012. Semoga pasukan ini yang dibimbing oleh Cik Zahurin Ishak akan dapat mencipta kejayaan yang membanggakan... Selamat Berjuang!!

LATAR BELAKANG PERTANDINGAN

WSC merupakan pertandingan pasukan akademik antarabangsa yang melibatkan lebih 40 negara. WSC ini ditubuhkan oleh organisasi DemiDec yang diterajui oleh Daniel Berdichevsky, sebagai presiden pada 2006. Sebagai  "World's first and Premier Academic Competition", pertandingan ini telah mendapat perhatian daripada ramai pendidik dan institusi pendidikan.

Pertandingan ini bertujuan melahirkan pelajar pintar cerdas dan bakal pemimpin yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Bukan itu sahaja, WSC memberi peluang kepada peserta untuk mencungkil bakat dan kemampuan setiap individu agar lebih cemerlang. Peserta pertandingan juga digalakkan untuk berbincang isu-isu semasa setiap negara di samping membina keyakinan diri di atas platform yang begitu kompetitif.

Dua kategori diwujudkan iaitu "Junior Division" dan "Senior Division" bagi membezakan pencapaian pelajar mengikut umur. Sebanyak 5 subjek diuji dalam pertandingan ini iaitu Sains, Sejarah, Isu Semasa, Sastera dan Ekonomi. Empat acara utama ialah "team debate", "the scholar's Challenge", "Collaborative essay" dan "the scholar's bowl.'

Pertandingan ini bakal mewujudkan pelajar intelektual yang berketerampilan. Bukan itu sahaja, malah peluang untuk berinteraksi di platform antarabangsa bakal menghasilkan pemimpin muda yang mempunyai minda kelas pertama serta berfikiran terbuka. Ilmu dan pengalaman peserta dalam pertandingan WSC amat bernilai kepada agama, bangsa dan negara.

Rabu, 25 Julai 2012

Orang yang boleh membuat semua hal yang sukar menjadi mudah difahami,  yang rumit menjadi mudah dimengerti, atau atau yang sukar menjadi mudah dilakukan, itulah pendidik yang sejati.
~  R alph Waldo Emerson  ~

Isnin, 23 Julai 2012

Ramadan Dihati Jihadi Abadi



Ramadan kembali lagi... alhamdulillah...dapat jua untuk kembali bertemumu Ramadan..Rasanya belum terlewat untuk saya mengucapkan salam ramadan buat semua pembaca. Semoga Ramadan kali ini lebih baik daripada Ramadan sebelum ini....

Alhamdulillah... hati terasa begitu tenang apabila dapat duduk bersama-sama rakan seperjuangan bertadarus bersama... terasa ukhuwah antara kami semakin kukuh dan terasa kemanisan  nikmat bersaudara... Alhamdulillah program Ihya' Ramadan yang dijalankan di maktab semakin ada penambahbaikan..Semua warga di MRSM dilibatkan bersama.. pelajar, guru dan kakitangan bergabung tenaga dalam menjayakan program Ihya' Ramadan ini. Majlis Pelancaran Program Ihya' Ramadan telah berlangsung pada 20 Julai 2012(Jumaat) yang telah disempurnakan oleh Imam Muda Nazrul Izwan (Naib Juara musim Kedua Imam Muda) Imam Muda Nazrul  turut menyampaikan ceramah  kepada warga MRSM..Alhamdulillah sambutan yang hebat diberikan daripada pelajar, guru dan kakitangan maktab.. 2jam tempoh ceramah berlangsung tidak ada yang tidur. Semoga semua pelajar dapat mengambil mutiara-mutiara kata yang diberikan dan dapat mengaplikasikannya dalam menghidupkan Ramadan ini...

                                    Alunan zikir yang disampaikan oleh Imam Muda Nazrul Izwan
 

Tahniah juga diucapkan kepada Unit Amal Islami kerana banyak aktiviti yang telah dirancangkan antaranya:

1) Kempen sedekah 1 hari RM 1..(alhamdulillah..mendapat sambutan daripada semua)
2) Tadarus Al-Quran (pelajar..guru dan kakitangan)
3) Kuiz Ramadan
4) Tazkirah Ramadan
5) Sentuhan Sukma Zikir
6) Tafaquh Fi Deen
7) Tayangan Qamar Bani Hashim
8) Program Mini Ulul Albab
9) Kempen 5 S 
10) Tidur Qailulah
11) Solat berjamaah 5 waktu

Mudah-mudahan program yang dijalankan ini akan dapat berjalan dengan lancar dan mendapat keberkatan daripada Allah s.w.t...

Dalam aktiviti yang dirancangkan saya tertarik dengan aktiviti "Tidur Qailulah"...

Qailulah...

Sabda Rasulullah S.A.W :
"lakukanlah Qailulah, kerana sesungguhnya syaitan itu tidak berani untuk melakukan Qailulah", (Riwayat Al-Thabarani.)

Syaitan tidak melakukan Qailulah??? Apakah Qailulah? Mungkin inilah kali pertama kita mendengarnya. Mungkin juga frasa ini pernah didengari tetapi lupa maknanya. Qailulah ialah perbuatan tidur sejenak sebelum solat Zohor anggaran 10 hinggan 40 minit. Pada zaman Rasulullah S.A.W, hampir kesemua para sahabat melakukannya. Bahkan hal ini menjadi sunnah Baginda S.A.W. Orang mukmin yang melakukan Qailulah akan memperoleh kerehatan ibadat dengan sempurna sepanjang hari dan pertengahan malam.

Sekiranya kita hendak menjadi lebih segar, fokus dan produktif, cuba kita praktikkan sunnah Rasulullah S.A.W ini dengan istiqamah. Niatkan tidur ini kerana Allah S.W.T, maka syaitan tidak akan berani mendekati kita sepanjang waktu Qailulah itu. Hasilnya, tidur itu akan menjadi ibadah dan hikmahnya akan dapat diperoleh dengan maksimum. 

Khamis, 19 Julai 2012

Fikir dan Zikir

Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam yang telah mengurniakan pelbagai nikmat ke atas diri ini... Subhanallah..Walhamdulillah...Allahuakbar... Hati terasa begitu tenang tatkala melihat panaroma yang cukup indah..Tatkala bermunajat hati sentiasa berzikir,mengenang kebesaran dan keagungan Allah, tatkala itu juga kita akan berasa lemah dan mengharapkan kekuatan daripada Allah melalui alunan zikir dan tasbih yang sentiasa dibisik.Apa-apa jua zikir yang baik dibacakan dan dibisikkan di hati semuanya merupakan sesuatu yang baik bagi membentuk molikul air di dalam hati dan diri kita.Kuasa zikir sangat luar biasa jika  sentiasa diamalkan.Ingatkah kita kisah Nabi Yunus a.s yang bermunajat kepada Allah ketika dirinya ditelan ikan Paus,apakah kuasa zikir itu, itulah kalimah La ilaaha illa anta,subhanaka inni kuntu minal Zalimin. Setelah kalimah ini dibaca oleh baginda a.s, dengan izin Allah dirinya dikeluarkan daripada kesempitan dan kegelapan perut ikan paus.Hebatkan kuasa zikir ini. Begitu juga dengan kuasa selawat ke atas nabi SAW,hal seperti ini juga mampu mengeluarkan seseorang daripada masalah yang dihadapinya.





Tentu kita dapat membezakan antara fikir dan zikir fikir.Kata seorang penyair: Sesungguhnya terdapat banyak kekuasaan Allah sekalipun dengan melihat penciptaan Allah pada diri manusia, walau hanya dengan melihat matamu, 

katakanlah kepada perawat dan doktor, siapakah yang menyembuhkan sesuatu penyakit setelah mereka berikhtiar merawat pesakit, 
 Kepada orang yang sehat yang mati tanpa sebab, tanyalah siapa lagi yang berkuasa mematikan manusia.
 Bayi yang baru lahir, siapakah yang memberikan tangisan kepada bayi tersebut, 
 Setiap musim yang silih berganti, siapakah yang menjadikan musim-musim tersebut? 
 Pada bulan yang mengambang penuh, tanyalah siapakah yang menjadikan bulan itu begitu terang. 
Apabila engkau melihat bukit yang menjadi paku bumi, tanyalah siapa yang menjadikannya begitu.Segala pujian bagi Allah.



Rabu, 18 Julai 2012

Minggu Bahasa Zon Barat & Kuiz Sastera 2012



Syukur alhamdulillah...selesai sudah pertandingan Minggu Bahasa & Kuiz Sastera Zon Barat di MRSM Serting pada 13 -16 Julai 2012 (Jumaat - Isnin). Tahniah dan syabas diucapkan kepada kontinjen MRSM Pasir Salak kerana berjaya mengulangi semula kegemilangan yang pernah dicipta pada tahun 2007 di MRSM Serting juga... Berkat usaha gigih peserta dan guru-guru yang komited melatih pelajar dalam masa yang singkat dan juga berkat doa semua ..alhamdulillah.. kejayaan dapat dikecapi...Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi dan pembakar semangat kepada pelajar-pelajar lain untuk melakar kejayaan yang lebih gemilang dan penuh bermakna.. dan semoga kejayaan ini mendekatkan diri kita kepada-Nya kerana tanpa rezeki dan keizinan-Nya..kita tidak merasai nikmat kemanisan ini....

Penganjuran minggu bahasa ini bersifat serampang dua mata. Pelaksanaan program ini bukan sahaja dapat melahirkan serta meningkatkan penguasaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris pelajar. Sekali gus dapat membentuk pelajar yang berdaya saing dalam pelbagai bidang. Semoga program sebegini akan terus menjadi pentas yang penting dalam mencungkil kebolehan dan kemahiran berkomunikasi pelajar dalam melontarkan idea pemikiran yang kritis. Program yang bersulamkan budaya Melayu ini seiring dengan tema yang dipilih iaitu... BAHASA., WASILAH BUDAYA BANGSA.....

Majlis Penutupan disempurnakan oleh Prof. Madya Dato' Paduka Dr. Mohd Rosli Bin Saludin 
(Ketua Jabatan Bahasa & Kesusateraan Melayu, Fakulti Bahasa & Komunikasi UPSI)

Persembahan pelajar daripada MRSM Serting

Peserta MRSM Pasir Salak yang berjaya mengharumkan nama maktab

Johan bagi acara Sajak (P), Pidato Menengah Atas (P), Syair (L) dan Public Speaking Lower form (P)
Naib johan : Syair Perempuan dan Pidato Menengah Atas lelaki
 Peserta Kuiz Bahasa & Sastera anjuran DBP
 Kontinjen MRSM Pasir Salak

 Johan Syair Lelaki

Pidato Spontan Menengah ATas
Persembahan pelajar dari MRSM Serting

Sabtu, 14 Julai 2012


 
DBP: Tuntutan Dong Zong 'cauvinistik'

Sumber  ; Malaysia Kini
  • Ahmad Fadli KC
  • 1:48PM Jul 13 2012
 
Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Dr Awang Sariyan menyifatkan tuntutan Dong Zong agar pelbagai bahasa pengantar diperkenalkan dalam sistem pendidikan bersifat cauvinistik dan menyalahi Perlembagaan.

"Ini adalah satu cabaran (bahasa) yang bersifat cauvinistik. Inilah satu-satu negara yang ada kebebasan, kelenturan dengan aliran akademik.

NONE"Kalau ada suara, Dong Zong mengatakan bahasa Mandarin setara dengan bahasa Melayu sebagai perantara itu menyalahi Perlembagaan," katanya dalam satu sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta menjelaskan ucapannya terdahulu yang antara lainnya menyebut: "...kian nyaring suara yang mencabar kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa pengantar utama sistem pendidikan kebangsaan."
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di majlis pelancaran Pelan Tindakan Strategik DBP 2011-2015 yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di bangunan DBP.
Mengulas lanjut ucapannya itu, Awang (berbaju hijau) berkata tindakan beliau membangkitkan peruntukan perlembagaan berhubung kedudukan bahasa Melayu bukanlah satu kritikan kepada golongan Cina.

dewan bahasa dan pustaka building 250804"Saya bercakap tentang Perlembagaan bukan mengkritik orang Cina sebab rakan Cina saya pun ramai yang faham.

"Dari segi setara, bahasa Mandarin juga bahasa dunia tetapi negara ini bahasa utama bahasa Melayu yang merupakan milik orang Melayu, Cina, India, Kadazan milik semua," katanya.
Beliau seterusnya menggesa supaya Dong Zong mengakui kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara.

Menurutnya, Dong Zong perlu hormat dan patuh kepada Akta Pendidikan 1996 Perkara 13 (1) yang menetapkan bahasa kebangsaan sebagai pengantar utama sistem pendidikan.


"Jadi kita akurlah. Kedudukan bahasa-bahasa lain itu ada tempat-tempatnya," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Strategik DBP 2011-2015 di Kuala Lumpur pagi tadi.

Jelasnya, tuntutan untuk mengakui kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar itu tidak bermaksud menyekat pengajaran bahasa Mandarin dalam bahasa tersebut.

"Kalau mengajar Mandarin tentulah dalam bahasa Mandarin. Kita tidak suruh pun mengajar Mandarin dalam bahasa Melayu," katanya.
Sementara itu, Naib Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Profesor Datuk Dr Md Salleh Yaapar pula menyifatkan tuntutan Dong Zong itu sebagai "pelik" kerana kumpulan itu sepatutnya maklum bahawa ia bertentangan dengan Perlembagaan.

"Dia (Dong Zong) hendak supaya dasar monolingual menjadi multilingual yang jelas bertentangan dengan (dasar) bahasa kebangsaan.

"Perlembagaan meletakkan satu bahasa sebagai bahasa kebangsaan.

"Kita juga ada dasar pendidikan kebangsaan yang meletakkan satu bahasa sebagai bahasa kebangsaan," kata Salleh dalam sidang media sama.

Isnin, 9 Julai 2012

Guru oh guru



Guru adalah insan yang sangat besar jasanya kepada kita semua. Sebut sahaja perkataan guru, cikgu, mursyid dan apa jua yang sama dengannya, pasti akan terbayang difikiran seseorang yang mengajar ilmu, menunjukkan kesalahan, memberi nasihat, latihan dan panduan.
Pendek kata mereka adalah insan yang menunjukkan kita sesuatu ilmu yang membuatkan kita yang asalnya tidak tahu, menjadi tahu.  Tanpa guru siapalah kita pada hari ini. Jika kita bergelar doktor, peguam, jurutera dan saintis, itu semua adalah hasil daripada didikan guru-guru kita sejak kita tadika, sekolah dan universiti. Merekalah yang membentuk kita menjadi seperti sekarang.
Islam amat menitikberatkan adab seorang murid terhadap gurunya. Adalah menjadi suatu kewajiban bagi kita untuk hormat kepada guru meskipun mereka tidak lagi mengajar kita. Seorang guru sudah pasti mempunyai pengetahuan yang tinggi tentang sesuatu bidang sehingga mampu mengajar orang lain. Oleh sebab itulah menghormati mereka adalah dituntut oleh syarak sebagaimana firman Allah S.W.T :
"Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu." (An-Nisa' :59)
Pernah diceritakan tentang Imam Syafie menghormati gurunya. Pada suatu hari, sedang beliau memberi kuliah kepada ribuan pelajar-pelajarnya, masuklah seorang badwi yang amat comot serta amat busuk sekali.
Melihat sahaja badwi itu masuk, Imam Syafie lantas berhenti daripada memberi kuliah dan mendekati badwi itu serta memeluknya dengan erat. Tergamam anak muridnya melihat perlakuan Imam Syafie itu. Selesai sahaja memberi kuliah, maka bertanyalah anak muridnya kepada Imam Syafie mengapa beliau memeluk badwi tersebut.
Imam Syafie berkata bahawa walaupun badwi itu busuk dan comot, tetapi badwi itu ialah gurunya. Sebab itu dia memeluk badwi tersebut sebagai cara menghormati guru. Makin terpegun pelajar-pelajarnya apabila diberitahu tentang badwi yang jahil itu menjadi guru Imam Syafie.
Jawab Imam Shafie " Pada suatu hari, sedang aku menulis kitab fekah , aku mempunyai satu masalah iaitu bagaimanakan nak mengenali dan membezakan di antara anjing yang cukup umur dengan anjing yang belum cukup umur. Lalu aku fikir tentu badwi tau kerana badwi banyak memelihara anjing untuk mengawal kambing-kambing mereka.
Aku pun bertanya hal tersebut kepada badwi yang ku peluk tadi. Badwi itu menerangkan bahawa anjing yang cukup umur mengangkat sebelah kaki belakang apabila kencing, manakala anjing yang tidak cukup umur tidak mengangkat kakinya bila kencing. Dengan panduan badwi itulah, maka aku dapat menyiapkan kitabku itu" Begitulah ceritanya. Walaupun terlalu sedikit jasa badwi itu kepadanya, Imam Shafie amat menghargainya dan menghormati sehingga menggelarnya guru.
Rasulullah s.a.w bersabda:
" Tidak termasuk umatku, orang yg tidak hormat orang tua, tidak mengasihi orang muda dan tidak mengiktiraf orang alim di antara kami." (Riwayat Ahmad)
Kebelakangan ini, pelajar kurang mengambil berat soal hormat-menghormati dengan guru. Sudah menjadi sesuatu yang biasa bagi pelajar yang melawan guru malah ada yang berani mencederakan guru yang mengajarnya ilmu. Hal ini amat bercanggah dengan adab pelajar dalam Islam. Saidina Ali juga pernah berkata, "Barang siapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan kepada ku." Tuan yang dimaksudkan oleh Saidina Ali adalah gurunya.
Terdapat banyak cara menghormati guru kita. Jika ilmuan terdahulu yang terkenal dengan ketokohan ilmunya menghormati guru mereka, maka mengapa kita yang tidak menjadi tokoh dan ilmuan berani melanggar adab berguru.
Adab ulama salaf dan ilmuan terdahulu dengan guru mereka ialah Mereka merendah diri terhadap ilmu dan guru dan sentiasa menurut perintah serta nasihat guru dan sentiasa meminta pendapat serta pandangan  guru dalam setiap urusan mereka.
Mereka mentaati setiap arahan serta bimbingan guru umpama seorang pesakit yang tidak tahu apa-apa yang hanya mengikut arahan seorang doktor pakar yang mahir. Mereka juga sentiasa berkhidmat untuk guru-guru mereka dengan mengharapkan keredhaan dan balasan pahala serta kemuliaan di sisi Allah s.w.t.
Ulama terdahulu tidak pernah sama sekali menggelar guru mereka dengan nama yang buruk. Bahkan mereka juga tidak pernah memanggil guru dengan panggilan "engkau" dan "awak".  Al-Khatib berkata: Hendaklah dia berkata "Wahai guru, apakah pendapat kamu mengenai hal ini?" dan kata-kata seumpamanya. Dan tidak menggelarkannya dengan namanya kecuali disertakan dengan gelaran-gelaran yang menunjukkan penghormatan serta takzim kepadanya. Misalnya syeikh ataupun ustaz atau syeikh kami.
Mereka tidak sekali-kali berbantah-bantah ataupun berlawan cakap dengan guru. Sesungguhnya berbantah-bantah itu secara umumnya sudah merupakan suatu perbuatan yang keji dan terlarang, apatah lagi untuk berbantah-bantah dengan guru yang merupakan pembimbing serta qudwah. Perbuatan ini akan menjauhkan mereka sebagai pelajar daripada kebaikan dan merupakan penjerumus kepada kejahatan dan ianya adalah penyebab diharamkan ke atas mereka bermacam-macam bentuk kebaikan.
Jika mereka berhajat kepada guru mereka di luar waktu mengajar sedangkan guru tersebut sedang berehat ataupun tidur, maka guru itu tidak akan diganggu. Mereka akan menunggu sehingga guru tersebut terjaga dari tidur ataupun selesai dari berehat. Ibnu 'Abbas r.a pernah mendatangi salah seorang daripada sahabat Rasulullah s.a.w untuk bertanya kepadanya mengenai suatu hadith. Lalu dikatakan kepadanya: Dia sedang tidur. Maka duduklah Ibnu 'Abbas di muka pintu. Lalu dikatakan kepadanya: Tidak perlukah kita mengejutkannya? Ibnu 'Abbas pun menjawab: Jangan.
Begitulah hormatnya ulama' dan ilmuan Islam terdahulu. Disebabkan itulah mereka menjadi tokoh besar dan dihormati pula sehingga kini kerana mereka begitu menjaga adab dengan guru masing-masing. Semoga kita semua termasuk dalam kalangan mereka yang menghormati guru. insyaAllah.

Ahad, 8 Julai 2012

Assalamualaikum ...
Bacaan santai di waktu sunyi 
Buat muhasabah menyucikan diri
Hidup perlu sahabat di sisi
Peneman perjuangan hidup dan mati

Ahli Hukama pernah berkata, rupa manusia adalah dengan siapa dia bersahabat.kata-kata tersebut ada kebenarannya.Sahabat adalah manusia yang memberi pengaruh paling besar.Tarikan magnetnya sangat hebat dalam membentuk sikap dan peribadi seseorang.Betapa ramai manusia yang terperangkap dalam jaring kerosakan akhlak kerana dipengaruhi oleh sikap sahabatnya yang berperibadi buruk.Seseorang sahabat yang baik adalah menjadi pendorong dan pembakar semangat kepada seseorang untuk mendaki tangga kebaikan dan kejayaan.

Hargailah nilai murni dalam persahabatan.Jalinan persahabatan bermula daripada ikatan rasa sayang yang kukuh,keikhlasan dan kejujuran.Persahabatan yang suci adalah jalinan hati yang bukan didasari faktor ringgit dan kebendaan.Alangkah rendah nilai dan martabat manusia yang hidupnya berpaksikan duit, harta dan dunia semata-mata. Persahabatan yang dijalin sering didasari sebab-sebab tertentu seperti untuk mendapatkan projek atau keuntungan dalam perniagaan. Inilah realiti yang boleh ditatapi di dalam drama kehidupan manusia di atas muka bumi ini.Sukar untuk mencari sahabat yang sejati. Payah untuk memiliki sahabat yang sanggup bersusah payah demi kesenangan temannya. Sewaktu perhubungan di alam maya semakin mudah, rupa-rupanya merenggangkan jarak hati manusia.

Antara pengertian kebaikan di dunia yang dipinta manusia adalah mendapat anugerah sahabat atau tetangga yang baik.betapa indah kehidupan ini yang dipenuhi haruman kemesraan dalam jalinan persahabatan.

Selasa, 26 Jun 2012

Mesyuarat Agung MUAFAKAT Kebangsaan




Alhamdulillah selesai Mesyuarat Agung MUAFAKAT Kebangsaan Di Le Granduer Palm Resort Senai Johor Bharu.. Majlis Perasmian telah dirasmikan oleh Menteri Besar Johor Dr. Abdul Ghani Othman.  Terima kepada zauji kerana sudi menemani dan membawaku ke sana...jauh perjalanan luas pemandangan. Tepat jam 9.00pagi  mesyuarat bermula dengan ucapan daripada Presiden MUAFAKAT Kebangsaan Tn. Haji Hassan Bin Ahmad. Antara perkara yang ditekankan dalam ucapan beliau ialah agar semua MSRM dapat meningkatkan dan 'menghebatkan'  keceriaan di asrama dan juga di Dewan Selera. Pihak maktab perlu mengadakan pertandingan keceriaan dan juga aktiviti yang mampu untuk mewujudkan suasana yang ceria di asrama dan juga di Dewan Selera. Selain itu, beliau turut menekankan agar setiap maktab membuat program-program kerohanian untuk membina sahsiah yang baik. Hal ini demikian kerana , kebanyakan masyarakat pada hari ini melihat MRSM hanya mampu dapat melahirkan pelajar yang cemerlang akademik tetapi tidak sahsiah.

Alhamdulillah..petang semalam (Isnin) buat pertama kalinya pengetua yang baru Tn. Hj. Abd. Manap Bin Abdul Majid (dari MRSM Balik Pulau) memberi ucapan di perhimpunan. Satu suasana yang baru dapat dirasai oleh semua pelajar dan guru-guru di MRSM Pasir Salak.. Pada pendapat saya, Tuan Pengetua pada kali ini dapat melaksanakan perkara yang diharapkan oleh Presiden MUAFAKAT Kebangsaan dalam melahirkan pelajar yang cemerlang dari sudut akademik dan juga sahsiah. Alhamdulillah... hampir setiap malam Tuan Pengetua bersama-sama pelajar mengimarahkan surau dan  mengimamkan solat... Inilah masa yang ditunggu-tunggu... saat para pelajar semakin banyak melakukan kesalahan disiplin maka, Tuan Pengetua hadir bersama-sama pelajar. Semoga usaha ini akan dapat membuahkan hasil dalam membina sahsiah yang cemerlang dan juga akademik cemerlang.

Dalam ucapan beliau, beliau turut membuat perbandingan antara MRSM Ulul Albab dengan MRSM bukan Ulul Albab, Antara MRSM Ulul Albab yang ada ialah MRSM Gemencheh, MRSM Kota Putra dan MRSM Kepala Batas. Apabila melihat kedudukan peperiksaan semester 1 antara MRSM, jelas memperlihatkan ketiga-tiga MRSM ini mampu untuk berada 10 tempat teratas. 

Bagi Tingkatan 2                                                  
MRSM Gemencheh       2/42                             
MRSM Kota Putra        6/42                             
MRSM Kepala Batasa 10/42                            
Bagi Tingkatan 3
MRSM Kota Putra    4/41 
MRSM Gemencheh   5/41
MRSM Kepala Batas 8/41
 
Hal ini jelas menunjukkan dan membuktikan pelajar yang menghafaz Al-Quran juga boleh berjaya dan dapat mengimbangi antara akademik dan sahsiah. lantaran itu, pihak MARA telah menyelaraskan agar semua MRSM, sekurang-kurangnya setiap pelajar akan menghafaz satu juzu' Al-Quran... Semoga usaha ini akan dapat membantu untuk melahirkan pelajar yang cemerlang akademik dan juga sahsiah.. 




Ulul Albab bermaksud satu golongan yang mempunyai asas yang kukuh dalam Al Quran, ilmu pengetahuan yang luas dan pelbagai, mampu berfikir dan memerhati kejadian tuhan melalui mata hati dan akal yang tajam serta mengambil iktibar darinya.


Objektif utama pelaksanaan Program Ulul Albab adalah untuk melahirkan genarasi Ulul Albab yang bercirikan 3 komponen iaitu:


QURANIK

Hafiz 30 juzu’ Al Quran serta memahami berdasarkan konsep Baca, Ingat, Faham, Fikir, Amal dan Sebar.

Dilakukan bermula dari jam 7.40 -9.00 pagi dan 2.00-2.40 petang secara formalnya dan antara waktu maghrib hingga isyak untuk kelas tambahan.

Sasaran hafazan ialah 30 juzu’ al-Quran selama 3 tahun ( Tingkatan 1- 3).


ENSIKLOPEDIK

Berpengetahuandan kemahiran tinggi, menjadi tempat rujukan serta menguasai pelbagai bidang ilmu dan bahasa asing.

Kelas Bahasa Jepun, Mandarin akan diadakan.

Kemudahan ICT yang lengkap dan terkini.


IJTIHADIK

Berkeupayaan memberikan memberikan pandangan dalam penyelesaian umat, memaksimakan keupayaan otak dan minda, berfikiran kreatif dan inovatif serta berteknologi tinggi.

Mempunyai kelab-kelab berteknologi tinggi seperti avionik, robotik dan solar.
Aktiviti kokurikulum konvensional bagi memantapkan sahsiah dan perkembangan minda dan fizikal para pelajar.



Ahad, 24 Jun 2012

Kemas kini "Antivirus" Hati

Sekiranya doa yang kita panjatkan hampir setiap hari lambat dimakbulkan atau tidak dimakbulkan, jangan mengeluh! Jangan berasa allah tidak mendengar kelu-kesah hati kita dan permintaan kita sia-sia. Namun, cuba kita "scan" hati kita sama ada bersih daripada segala kekotoran dosa?

Antara penyebab doa tidak mustajab berpunca daripada hati yang kotor. Apabila kita berasa doa kita tidak memberi kesan, kita harus mula mengenal pasti dosa-dosa yang telah kita lakukan kerana dosa-dosa tersebut yang telah menggelapkan hati kita lalu menjadi penghijab kepada doa daripada termakbul.


Terdapat tiga aspek yang perlu diamalkan bagi mendapatkan hati yang bersih semula dan menguatkan cahaya iman iaitu, ilmu, mujahadah dan disiplin.
Sesungguhnya makanan hati ialah ilmu. Bagi menyucikan hati, adalah perlu untuk kita mempelajari ilmu-ilmu agama. Seperti kata Imam Al-Ghazali, apabila seseorang itu tidak mendengar majlis ilmu selama tujuh hari, maka hatinya akan menjadi keras. 

Kita juga harus mendidik diri supaya mencintai majlis-majlis ilmu, mengamalkan zikir, ISTIQAMAH membaca Al-Quran, selain memilih sahabat yang beragama agar dapat memimpin kita berada di landasan yang benar. 

Ilmu umpama "antivirus" ..kita perlu mengemas kininya setiap masa agar komputer kita mampu mengesan dan menghalang virus-virus baru yang cuba menyerang," 

Begitu juga dengan ilmu, ilmu semasa di sekolah rendah tidak lagi mampu menjadi tembok penghalang godaan-godaan syaitan. Tetapi, kita harus menambahkan diri kita dengan ilmu yang lebih tinggi agar kita lebih kuat menghadapi apa-apa jua bentuk serangan hawa nafsu dan bisikan syaitan. 

Mujahadah  atau menundukkan hawa nafsu pula merupakan aspek kedua yang perlu dititikberatkan dalam proses penyucian hati. Hal ini bermaksud melatih diri melakukan sesuatu yang berlawanan dengan sifat-sifat yang mendatangkan keseronokan. Sebagai contoh ramai dalam kalangan kita yang malas hendak melaksanakan solat lima waktu , kita kena mujahadah untuk mendirikan solat cukup lima waktu tersebut. Buang perasaan malas yang ada pada diri kita. Kita kena kuat melawan perasaan malas dan merasakan allah sentiasa melihat kita dan melihat segala perkara yang kita lalukan. Insya-Allah apabila kita berasa Allah hadir dan ada dalam hati kita, pasti kita tidak akan melakukan perkara-perkara yang dilarang.

Disiplin merupakan aspek ketiga yang perlu ditekankan dalam setiap individu bagi menjamin kesucian hati. Disiplin bermaksud memasukkan sifat-sifat baik ke dalam diri secara beransur-ansur.

Maka, adalah sangat penting untuk difahami bahawa untuk mengubah diri tidak wajar dilakukan secara drastik. "kita harus pandai memanipulasi diri sendiri. Apabila perubahan yang diambil secara perlahan-lahan, insya-Allah akan bertukar menjadi satu tabiat dan amalan. Amin
                                                         Wallahu a'lam bissawab..





Rabu, 20 Jun 2012

MRSM Parit telah dibuka

Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Parit di Perak telah memulakan sesi persekolahan pada 11 Jun 2012 dan guru-guru telah melapor diri pada tarikh tersebut. Hari Pendaftaran Pelajar Baharu Tingkatan 1 dan Tingkatan  4 pula telah diadakan pada 18 Jun 2012 baru-baru ini. Seramai lebih 40 orang pelajar Tingkatan 4 MRSM Pasir Salak telah menjadi sukarelawan pada hari tersebut disebabkan MRSM Pasir Salak MRSM yang terdekat dengan MRSM Parit lebih kurang 30km dari MRSM PS.   MRSM ini bernilai RM80 juta dan siap dibina di tapak seluas 21.6 hekta. Dalam perjalanan pulang dari MRSM Greek kami sempat juga melawat MRSM Parit dan dapat melihat keseluruhan kawasan di situ.




Kursus Pentaksiran PBS



Alhamdulillah pada 11 -13 Jun 2012 telah diadakan Kursus Pentaksiran Peperiksaan Berasaskan Sekolah (PBS) di MRSM Gerik. Walaupun pelaksanaan PBS ini sepatutnya dijalankan bermula Januari yang lalu, namun, kebanyakan sekolah ,masih baru melaksanakan sistem ini, terutamanya bagi kebanyakan MRSM. Mungkin kebanyakan dalam kalangan kita masih belum tahu kaedah pelaksanaan sistem ini..Bermula tahun 2014 Peperiksaan PMR akan digantikan dengan PBS ini. Pelaksanaan PBS ini adalah untuk penambahbaikan UPSR dan PMR mulai Tahun 1 pada 2011 dan Tingkatan 1 pada 2012. Banyak kekurangan sistem yang dilaksanakan selama ini kerana dilihat lebih kepada "exam oriented" sehingga Falsafah Pendidikan Kebangsaan kurang dicapai.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan :
Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

Oleh itu, atas beberapa sebab maka, kerajaan telah menambaik baik kaedah ini kepada Pentaksiran Berasaskan Sekolah.




Dalam melaksanakan sistem ini terdapat banyak kekangan yang akan dihadapi sama ada di peringkat guru atau pentadbir kerana sistem ini baru dilaksanakan. Kesediaan guru  dan kemahiran guru dalam melaksanakan sistem ini dilihat kurang jelas kerana tidak semua guru memahami sistem ini ditambah kursus yang diberikan tidak secara menyeluruh. Selain itu, guru-guru akan terasa terbeban dengan tugas tambahan. kerana perlu meneliti sistem yang baru. Tambahan pula, integriti guru diragui kerana sistem pemarkahan sepenuhnya diberikan oleh guru.


Segala butiran atau malumat tambahan berkenaan dengan PBS ini boleh dilayari dalam laman web Kementerian Pelajaran