Isnin, 31 Januari 2011

5 dalam 1


Minggu ini guru-guru sibuk membuat persediaan untuk pelbagai program... Tinggal sehari untuk menyiapkan kerja-kerja sebelum cuti Tahun Baru Cina... Esok akan ada lagi lawatan penanda Aras dari MRSM Merbok... 8.00 - 10.30 pagi taklimat bersama pengetua..
11.00 - 12.30 tgh. perbincangan bersama setiap jabatan..
Esok juga akan diadakan Mesyuarat Kali Pertama MUAFAKAT sesi 2010/2011..
Guru-guru juga sedang sibuk menyiapkan persediaan untuk Hari Pendaftaran Pelajar Baharu Tingkatan 1 & 4 pada 7 Februari 2011.. Dalam masa yang sama akan bermulanya Minggu Silaturahim Pelajar Ting. 1&4 dan juga Minggu Aktiviti bagi pelajar Tingkatan 2,3 dan 5..
Bersemangat melihat rakan-rakan guru bertungkus-lumus melaksanakan tugas tanpa mengenal erti penat.. Semoga berjaya untuk semua guru Pasir Salak !!!

Kemanisan Berusrah




Alhamdulillah 'ala kulli hal.

Rindu rasanya untuk berusrah...setiap kali berusrah, pasti akan ada satu semangat baru, roh perjuangan memasak ranum, tersemai dalam diri. Mengimbau banyak kenangan manis lalu, aduh indahnya nikmat Allah yang satu ini! tak terbalas rasanya. salah satu usaha yang boleh dibalas adalah bekerja untuk Islam, ya, bekerja untuk menegakkan kalimah Allah. 

Alhamdulillah..baru-baru ini dapat berusrah bersama-sama AJK BADAR...Rindu zaman kegemilangan di KISAS dan di UPM... Terlalu banyak kenangan manis yang dirasai... teringat kata-kata ....

kerana-MU ya Allah, yang menemukan aku dengan jalan ini, biar apa pun yang terjadi, takkan ku berpatah balik ya Allah.. Akanku terus mara memperjuangkan Islam dan nasib umat Rasulullah biar apapun terjadi.. Apapun ya Allah, Engkau tahu kudratku lantaran diriku punyai kelemahan seorang hamba, bantulah aku ya Allah, kuatkan aku dengan persahabatan dan peneman dalam kalangan orang-orang yang mencintai-Mu, agar apabila aku lemah, dan hampir tersasar, mereka hadir untuk mengingatkan diriku. Dan kumohon, kumerayu pada-Mu, jangan Engkau tinggalkan aku keseorangan apatah lagi tanpa cinta-Mu dalam meredah perjuangan yang penuh liku andai perjuangan ini mudah,pasti ramai menyertainya..

andai perjuangan ini singkat,pasti ramai yang istiqamah..
andai perjuangan ini menjanjikan kesenangan dunia,pasti ramai tertarik padanya..
tapi hakikat perjuangan bukan begitu,turun naiknya,sakit pedihnya,umpama kemanisan yang tak terhingga..
andai rebah,bangkitlah semula..
andai terluka,ingatlah janjiNya..
Allahummarzuqni

Ahad, 30 Januari 2011

Insya-Allah ...


Alhamdulillah...pagi yang indah... rasa seronok mendengar Lagu Insya-Allah versi Melayu.. Versi Inggeris sudah selalu sangat dengar kerana hampir  setiap petang  dipasang di surau. Versi Arab pun seronok walaupun tak dapat nak hafal liriknya.. Puas cari di internet lirik versi Arab tapi tak dapat pula..Selamat menghayati lirik lagu ini.. ;-) 


versi Melayu

Andainya kau rasa tak berupaya
Hidup sendirian tiada pembela
Segalanya suram
Bagai malam yang kelam
Tiada bantuan tiada tujuan
Janganlah berputus asa
Kerana Allah bersamamu

Chorus

Insya-Allah Insya-Allah Insya-Allah
Ada jalannya
Insya-Allah Insya-Allah Insya-Allah
Ada jalannya

Andainya dosamu berulang lagi
Bagai tiada ruang untuk kembali
Dikau keliru atas kesilapan lalu
Membelenggu hati dan fikiranmu
Janganlah berputus asa
Kerana Allah bersamamu

Ulang Chorus

Kembalilah
Kepada Yang Esa
Yakin pada-Nya
Panjatkanlah doa
Oh Ya Allah
Pimpinlah daku dari tersasar
Tunjukkan daku ke jalan yang benar
Jalan yang benar
Jalan yang benar
Jalan yang benar



versi Arab

Sabtu, 22 Januari 2011

Muhasabah Cinta


Hari ini batukku datang kembali...Mungkin malam tadi terminum air sejuk sewaktu meraikan jamuan tingkatan 4 ..Alhamdulillah dengan izin Allah dan usaha zauji menggunakan Bio Disc, Aisya Humaira' semakin sembuh daripada batuk setelah hampir 3 minggu mengalaminya...  Apabila diuji dengan sesuatu musibah, selalu teringat lagu Muhasabah Cinta.. Bait liriknya  mengingatkanku akan kebesaran Allah s.w.t..Lantas bermuhasabah diri...



Wahai pemilik nyawaku
Betapa lemah diriku ini
Berat ujian dariMu
Ku pasrahkan semua pada-Mu
Tuhan baru ku sedar
Indah nikmat sihat itu
Tak pandai aku bersyukur
Kini ku harapkan cintaMu

Reff:
Kata-kata cinta terucap indah
Mengalir berzikir di kidung doaku
Sakit yang ku rasa biar jadi penawar dosaku

Butir-butir cinta air mataku
Teringat semua yang Kau beri untukku
Ampuni khilaf dan salah selama ini
Ya Ilahi muhasabah cintaku

Tuhan kuatkan aku
Lindungiku dari putus asa
Jika ku harus mati
Pertemukan aku dengan-Mu

Hebatnya Aisya Humaira'

Ingin kukongsikan kehebatan peribadi Srikandi Islam "Aisya Humaira" melalui lirik lagu ini. Berulang-ulang kali kudengar, kuhayati, kuselami dan kufahami isinya.... lantas hati menyatakan betapa agungnya kemuliaan peribadi wanita itu... Membayangkan betapa cantik dan indahnya wajahnya, namun keperibadiannya menandingi segala-galanya... Beruntungnya wanita itu, sekiranya dapat mencontohi dan menjadikan idola di dalam membentuk keperibadian wanita yang dikasihi Allah.


WAJAH BERSERI PIPI KEMERAHAN
ENGKAU DIGELAR AISYA HUMAIRA
NAMUN BUKAN INGIN KU BICARAKAN
HINGGA DIRIMU JADI SANJUNGAN
TETAPI MERAHNYA DARAH PERJUANGAN
PENIUP SEMANGAT SUAMI

KHABAR AL-IFQI SATU TITIK PEMULA
TELAH MENCALAR KEBAHAGIAAN
FITNAH MUNAFIQUN TAK KENAL SESIAPA
INSAN YANG MULIA ATAU SAHAYA
HATTA DIRIMU UMMAHATUL MUKMININ
YANG SETANDING AL-MUKHATSHIRIN

USAH DITANYAKAN MENGAPA
LEWATNYA TURUN WAHYU ITU
BAGI MEMBUKTIKAN KEPALSUAN
TUDUHAN SEORANG PENDUSTA

TAPI LIHATLAH HIKMAHNYA
DI SEBALIK TIAP KEJADIAN YANG TELAH BERLAKU
TUHAN TIDAK AKAN PERNAH MEMPERSIA-SIA
KETABAHAN SEORANG INSAN
DALAM MENGHARUNGI ARUS KEHIDUPAN
YANG PENUH MEHNAH UJIAN

TAK KAN TERHIDU HARUM MEWANGI
JIKA TAK DINYALAKAN SETANGGI
TAK KAN TERASA MANISNYA HIDUP
ANDAI TAK DILAMBUNG GELORA
ENGKAU ISTERI SEJATI
YANG MEMANGKU NABI
SAAT HUJUNG NYAWA KAN PERGI
SUNGGUH BERUNTUNGNYA DIKAU
PUNYAI SUAMI YANG AMAT
MENGASIHI UMATNYA
DIA INSAN YANG MULIA
KAU SEMADIKANNYA DI RUANG KAMARMU.....

Saya amat tertarik dengan lirik lagu ini yang juga berbunyi " Takkan terasa manisnya hidup, andai tak dilambung gelora". Sebenarnya kehidupan ini pasti tidak lari dari masalah, cabaran, dugaan dan ujian. Allah menciptakan semua itu ada hikmahnya tersendiri dan itulah psikologi Allah di dalam membina ketabahan seseorang hambaNya dan merasai sifat-sifat Allah yang Maha Sabar, Syukur, Berlapang Dada dan Rasa Tawadhuk sehinggakan melahirkan sifat ketaqwaan dalam diri. Firman Allah swt, mahfumNya: " Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan Jiwanya. Dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya". (As-Syams:9-10)

Pedoman Hidup;

" Allah itu menguji setiap hambaNya, mengikut kemampuannya. Usahlah, ditanya kenapa ujian Allah datang kerana Dia berhak untuk menguji hambaNya".

Bertemu tidak Jemu, Berpisah tidak gelisah


Alhamdulillah...dapat berhujung minggu dengan insan-insan yang tersayang... Sesuatu yang penuh bermakna apabila dapat bersama-sama berkasih sayang..Hilang segala keletihan dek timbunan tugas-tugas harian..
Terima kasih Ya Allah kerana mengurniakan nikmat ini...
Buat insan-insan tersayang..
Setiap pertemuan yang ikhlas kerana Allah..pasti  tidak pernah akan jemu walau 3,,@ beribu-ribu tahun... 



Pertemuan...menghadiahkan kita kasih sayang
Jika cinta satu pasti bertemu
Ia tidak ternilai
Kerana di antara hati kita
Telah tiada antaranya lagi
Yang ada hanya cinta kasih Ilahi

Kita berpisah hanya sementara
Kerana pertemuan bukan milik kita
Jasad dan suara berjauhan sentiasa
Namun cinta abadi

Biar berpisah selalu menderita
Kerana syurga menagih ujian
Sedang neraka dipagari oleh nikmat
Bertemu tidak jemu
Berpisah tak gelisah

Bicara kita adalah bicara sufi
Tanpa suara dan kata-kata
Kerana penghubung kita adalah suara hati
Bertemu berpisah kerana Allah…

Namun...
Apa yang penting
Semoga apa-apa yang kita lalui wahai sahabatku
Beroleh Keredaan dan Keberkatan-Nya
Kerana itulah tujuan hidup ini.

Pedoman Hidup;

"Usah Ditangisi setiap yang berlaku, kerana pastinya di situ ada hikmah yang tersembunyi yang lebih indah untuk kita kecapi".

Khamis, 20 Januari 2011

LAWATAN PENANDA ARAS

Hari ini maktab ini dilawati oleh 35 orang guru dan kakitangan daripada MRSM Kubang Pasu...
Jam 11.00 pagi diadakan perbincangan bersama unit jabatan untuk berkongsi kejayaan maktab dalam PMR baru-baru ini. Semoga perkongsian idea antara kedua-dua MRSM ini mampu untuk menjana kecemerlangan yang lebih gemilang.

Kemesraan Berpanjangan


Setelah 3 tahun bersama.. akhirnya tiba masanya kaki melangkah meninggalkan maktab yang tercinta...TAHNIAH buat Nabila Bt Mustafa dan Amirul Zamel kerana berjaya  meneruskan perjuangan di MRSM Taiping dan MRSM Langkawi.. Semoga kalian akan lebih gigih berusaha untuk menempa kejayaan. Ambillah mutiara-mutiara yang diperoleh di sini sebagai bekalan di sana..
Semoga hubungan ukhuwah antara kita akan terus berpanjangan...
Wajah riang ria sewaktu di Tingkatan 1
Kenangan di Tingkatan 2
Akhirnya telah berjaya bergraduat...TAHNIAH!

Dari mana hendak ke mana
Tinggi rumput dari padi
Hari mana bulan yang mana
Dapat kita berjumpa lagi

Bintang barat terbitan petang
Bintang timur terbitan pagi
Jika tidak melarat panjang
Ada umur ketemu lagi..

Alhamdulillah semalam dapat meraikan kejayaan anak-anak homeroom di Jaya Jusco dan Restoran Tomyam Aishah...

Selasa, 18 Januari 2011

KUTIPLAH ILMU ALLAH

Alhamdulillah malam tadi diberi kesempatan waktu untuk berjaga malam. Sambil menyiapkan soalan percubaan PMR MARA, saya berkesempatan membaca buku karangan Ustaz Pahrol Bin Juoi “Di mana dia Di hatiku” Kata-kata yang agak indah untuk dihayati:

Ilmu itu cahaya daripada Ilahi
Memancar keluar melahirkan amal
Memancar ke dalam menzahirkan iman

Bagai alam tanpa sinar mentari, gelap pekat hilanglah indah, sirnalah seri, begitulah hati tanpa ilmu, kontanglah ia daripada petunjuk Ilahi, buta mata tanpa cahaya, buta hati tanpa ilmu. BENARLAH seperti yang diungkapkan, ilmu itu cahaya , jahil itu kegelapan.

Benarlah seperti kata Imam Syafie, “Semakin bertambah ilmuku, terasa semakin banyak yang aku tidak tahu”

Walau sibuk macam mana sekalipun kita, jangan sama sekali kita memberi alasan untuk tidak mengutip ilmu Allah yang sangat luas terbentang ini…Carilah ruang masa untuk sentiasa menambah ilmu di dada...

Alam ini sebenarnya sebuah sekolah, putaran bumi, penggantian malam dan siang, kerlip cahaya bintang, sinar cahaya bulan, peredaran musim dan berubahnya cuaca, adalah tanda-tanda kewujudan-Nya. Allah mendidik manusia agar berfikir dan merasa, ingatlah Pemberi nikmat, jangan hanya terpesona dengan nikmat. Justeru, kita adalah murid yang tempoh persekolahannya sepanjang nyawa.



Isnin, 17 Januari 2011

KEJAYAAN BERSAMA


“Dan ingatlah tatkala Tuhannu memaklumatkan, “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu; dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.”” (Surah Ibrahim:7)


Pertamanya, setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t. atas nikmat iman, nikmat sihat, nikmat umur, nikmat ukhuwah, serta nikmat lainnya yang tidak dapat disebutkan satu persatu, sehingga kita tidak dapat menghitung pelbagai nikmat yang telah dikurniakan. Alhamdulillah pada tahun ini sekali lagi maktab ini meraih kejayaan..iaitu kejayaan dalam PMR baru-baru ini..Segalanya atas percaturan Allah dan berkat kesungguhan pelajar-pelajar serta para guru yang bertungkus-lumus dalam mencapai kejayaan seperti ini... Hal ini merupakan sesuatu yang sangat bermakna apabila maktab ini berjaya meraih tempat kedua antara MRSM dan ditambah kejayaan 100% A dalam subjek bahasa Melayu.. Syukur kepada-Mu Ya Allah..moga-moga kejayaan ini dapat mendekatkan kami kepada-Mu...

Kedudukan keseluruhan maktab

Kedudukan maktab mengikut subjek Bahasa Melayu


Kedudukan Subjek Bahasa Inggeris

permata hati


Alhamdulillah...syukur ke hadrat-Mu Ya Allah  kerana telah mengurniakan pelbagai nikmat ke atas diri ini... Setelah hampir 3 minggu memulakan sesi persekolahan, alhamdulillah segalanya berjalan dengan baik. Kehidupan berdua bersama Aisya Humaira' membuatkan aku semakin bahagia dan matang dalam kehidupan ini. Terima kasih Ya Allah kerana telah mengurniakan permata hati ini...

Terlalu kerap kita mendengar ungkapan ‘anak umpama kain putih, ibu bapa adalah pencoraknya’. Begitu juga ungkapan lama seperti ‘bapa borek anak rintik’, ‘bagaimana acuan begitulah kuihnya´, ´bagaimana contoh begitulah gubahannya´, ´bagaimana ditanam, begitulah dituai´, ´bagaimana rupa begitulah bayangnya´, dan banyak lagi. Ungkapan pepatah dan peribahasa lama ini dengan jelas menyatakan bahawa bagaimana kita mendidik si cilik, begitulah nanti dewasanya si cilik dengan didikan kita.
Ungkapan itu juga menjelaskan betapa didikan yang pelbagai untuk anak-anak bakal memanusiakan mereka atau menjadikan mereka bukan manusia. Moga-moga Aisya Humaira' akan menjadi seorang srikandi yang dapat berjuang untuk agama Islam...
 Rabbi yassir wa la tu'assir.















Ahad, 2 Januari 2011

TAHUN BARU 2011



TAHUN baru ini, sama ada masihi atau hijrah meninggalkan catatan sejarah yang terukir dalam diari kehidupan setiap insan. Masa untuk kita bertafakur meraba nilai diri yang dicalit oleh tinta yang penuh noda.


Hitam dan putih, dosa dan pahala, kebaikan dan kejahatan, untung dan rugi, kegagalan dan kejayaan, semua itu mematangkan peribadi.


Rasanya baru sekejap anak dilahirkan, merangkak dan berlari, kini sama tinggi dengan ayah dan ibu mereka. Melihat cermin, nampak kulit semakin kedut, uban tumbuh di sana sini, hari-hari semakin sibuk melayari dunia yang mencabar keimanan.

Ada satu amalan paling sesuai dilakukan malam ini, bukalah album kenangan masa lalu dan letakkan ia di hati. Singkap lembaran demi lembaran yang mengandungi gambar mengenai kehidupan kita. Kemudian cuba fikirkan beberapa persoalan mengenai takdir yang anda lalui sepanjang tahun ini.


Betapa lemahnya daya ingatan kita, apatah lagi mahu menjawab beberapa soalan yang menjadi rahsia Tuhan ke atas diri kita. Mungkin ada yang menolak takdir ke atas dirinya, tapi selepas dijalani akhirnya Tuhan membuka matanya melihat bahawa takdir itu baik dan membawa kebahagiaan dalam hidupnya.


Apa saja pencapaian yang kita peroleh atas hasil usaha di dunia ini hanyalah setitis daripada rahmat-Nya yang dituang dalam hati kita. Begitu juga kegagalan dan musibah yang berlaku adalah supaya kita lebih dekat kepada Allah dan bergantung sepenuh pengharapan setelah sebelumnya kita berasa gagah dan hebat menguasai medan kehidupan.


Ketika membuka album hati yang menyimpan rahsia diri, seorang hamba Allah akan menjumpai kecacatan dan aib diri yang apabila tersingkap pasti sungguh memalukan. Tetapi Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, akan benar-benar membuka segala-galanya pada hari penghisaban nanti


Sesungguhnya amalan muhasabah diri lebih baik daripada ibadat sepanjang malam dalam keadaan hati dibiarkan lalai. Bagaimanakah cara kita mengetahui adakah hati kita lalai atau tidak? Rasulullah SAW menilai kelalaian hati dengan jauhnya seseorang daripada membaca al-Quran dan merenungi dirinya.


Sesuai dengan sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Barang siapa yang melakukan qiyam dengan membaca sepuluh ayat, maka dia tidak akan dicatat sebagai orang yang lalai. Barang siapa yang membaca seratus ayat, maka dia dicatat sebagai orang yang khusyuk. Dan barang siapa yang membaca seribu ayat maka dia dimasukkan ke dalam golongan orang yang memperoleh pahala yang melimpah-limpah.” - (Hadis riwayat Abu Daud)


Tanda-tanda kelalaian berkait rapat dengan sengatan hawa nafsu ke atas hati kita. Rasulullah SAW sentiasa berdoa sebelum memulakan khutbahnya yang bermaksud: “Segala puji bagi Allah, kami memohon pertolongan, petunjuk dan ampunan kepada-Nya dan kami memohon perlindungan daripada keburukan hawa nafsu dan dosa-dosa kami.”

Hawa nafsu pada hakikatnya adalah bekalan bagi manusia untuk menjalani kehidupan. Ia bersifat tercela melainkan bagi mereka yang dirahmati Allah sesuai dengan perkataan Nabi Yusuf dalam al-Quran yang bermaksud: “Kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” - (Surah Yusuf, ayat 53)


Saat bermuhasabah, kita boleh merasai apakah kekuatan yang selama ini menunggangi keperibadian kita? Apakah kekuatan hawa nafsu atau keimanan? Dalam diri kita hanya ada dua kekuatan itu, silih berganti yang satu memenangi perlawanan terhadap yang lain.


Perlawanan itu berlangsung sepanjang hayat kita hingga akhirnya. Firman Allah yang bermaksud: “Adapun orang yang melampaui batas, dan lebih mengutamakan kehidupan dunia, maka sesungguhnya nerakalah tempat tinggalnya. Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya, maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggalnya.”


Selepas beribu batu perjalanan ditempuhi, eloklah berhenti sejenak sambil bertafakur untuk memastikan adakah jalan itu betul dan lurus sesuai dengan matlamat asal kita. Dari mana kita datang, untuk apa kita berjalan dan ke mana kita kita tuju? Kembalilah kepada Allah sebelum segala berakhir dengan kesengsaraan abadi.


Firman Allah yang bermaksud: “Dan peliharalah dirimu daripada (azab yang terjadi pada) hari yang pada waktu itu kamu semua dikembalikan kepada Allah. Kemudian masing-masing diri diberi balasan yang sempurna terhadap apa yang telah dikerjakannya, sedang mereka sedikitpun tidak dianiaya (dirugikan).”


Tidak ada ucapan selamat kepada mereka yang mensia-siakan hidupnya walaupun setiap tahun mereka menyambut perayaan tahun baru dengan gilang-gemilang. Yang sepatutnya diberi ucapan itu adalah orang yang cekal dan gigih memperjuangkan imannya hingga menemui Tuhannya dengan hati yang reda.


Khamis, 26 Ogos 2010

Analisis

Buat semua guru Tingkatan 3 selamat menyiapkan analisis Peperiksaan Percubaan PMR..dan bagi semua guru Tingkatan 5 selamat menanda...
Buat semua pelajar SELAMAT BERCUTI sehingga 29 hb Ogos sahaja..30hb jangan lupa sekolah ye..

Salam Nuzul Quran...



Salam Nuzul Quran buat semua... Esok merupakan  hari nuzul Quran.. 17 Ramadan ... Hari  diturunkn Al-Quran.. Hari yang penuh sejarah bagi umat manusia.


Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi Muhammad SAW hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini.
Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke 41 daripada keputeraan Nabi Muhammad SAW. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Apabila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW maka hal ini memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.


Pada musim Ramadan ini ramai yang mengaji, bertadarus atau membaca al-Quran. Hal ini sememangnya satu amalan yang baik yang mendatangkan pahala, insya-Allah. Semoga segala amalan kita di bulan yang mulia ini mendapat keberkatan daripada Allah Taala...

SELAMAT BERCUTI..

Isnin, 16 Ogos 2010

Bermulanya perjuangan ...

Hari ini bermulanya Percubaan PMR 2010.. Melihat riak wajah mereka, tampak semuanya sihat-sihat belaka  Alhamdulillah... Berbanding tahun lalu,  ramai calon  yang demam  ekoran kes HIN1 sehingga terpaksa membuat 2 kali peperiksaan. Diharapkan semoga calon-calon kali ini dapat melakukan yang terbaik dan meningkatkan peratus pencapaian berbanding tahun lepas.
Untuk rakan seperjuangan, (Pn. Junaidah dan Pn. Aina) teruskan perjuangan untuk kita sama-sama tekun menghayati skrip jawapan anak-anak kesayangan kita... Selamat Menanda!

Rabu, 11 Ogos 2010

Ahlan Wasahlan Ya Ramadan...


Alhamdulillah...dapat bersua kembali dengan bulan Ramadan... Semoga dengan kehadiran bulan yang penuh keberkatan ini memberikan cahaya keimanan dalam diri kita.
Alhamdulillah..malam tadi dapat bersama-sama bertarawih di surau... Jelas tampak  keseronokan di wajah pelajar-pelajar puteri untuk menunaikan solat tarawih pada malam yang pertama...Moga-moga semangat ini akan terus berkekalan sehingga pada malam terakhir Ramadan. Sepanjang bulan Ramadan ini pelbagai aktiviti yang dilaksanakan dalam Program IHYA' RAMADAN... Semoga para pelajar dapat mengambil peluang yang ada di bulan Ramadan ini untuk menambahkan amal ibadat dan fokus terhadap pelajaran terutama buat pelajar Tingkatan 3 dan 5 yang akan menduduki peperiksaan percubaan PMR dan SPM


Selasa, 3 Ogos 2010

Minggu Aktiviti

Sepanjang minggu ini pelajar Tingkatan 1, 2 dan 4 beristirahat daripada mengikuti kelas akademik... Maka, inilah masanya untuk mereka beraktiviti dengan pelbagai program yang telah diaturkan oleh pihak maktab. Namun, dalam sibuk beraktiviti diharapkan agar semua dapat memanfaatkan masa dengan sebaiknya. Menjaga pergaulan dalam berinteraksi, menjaga aurat dan juga tidak melakukan perkara-perkara yang terlarang. Perkara-perkara seumpama inilah yang sering diabaikan oleh pelajar sehinggalah ada yang tertangkap kerana melakukannya. Semoga semuanya akan berjalan dengan lancar...Insya-Allah...

Antara aktiviti yang berlangsung pada hari Selasa...

Ahad, 1 Ogos 2010

Tidak semua perkara yang kita nak, kita akan dapat


Setelah berakhirnya prapercubaan PMR baru-baru ini..datang beberapa orang pelajar menangis ekoran keputusan yang tidak membanggakan... "Saya dah tak tahu nak buat apa cikgu...saya dah cuba usaha, tapi tak dapat juga..." begitulah antara luahan yang sering diluahkan oleh pelajar-pelajar.
Dalam dunia ini, bukan semua benda yang kita hajatkan akan kita capai. Banyak perkara, dalam pelbagai situasi, kita tidak mendapat apa-apa yang kita hajati. Walaupun kadangkala telah berusaha bersungguh-sungguh, walaupun kadangkala telah bermati-matian memikirkan strategi. Tetap tidak berjaya kita mendapatkannya. Hakikatnya itulah lumrah. Persoalannya, bagaimanakah kita merasionalkan diri kita dalam menerimanya?

Kita tidak tahu
Pertama sekali, kita perlu melihat kembali betapa hakikatnya kita tidak mengetahui apakah pilihan yang baik atau pilihan yang buruk pada kita.



Tetapi Allah mengetahui.
“Telah diwajibkan kepada kamu berperang, padahal (perang)itu tidak menyenangkan bagimu. Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah itu Maha Mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui apa-apa” Surah Al-Baqarah 216.



Boleh jadi apa-apa yang kita hajatkan, kita mahukan, bakal memberikan keburukan kepada kita. Apabila tidak mendapat apa-apa yang kita hajatkan, boleh jadi hakikatnya kita sedang diselamatkan oleh Allah SWT atas keburukan yang bakal kita hadapi.
Perkara ini tersimpan di dalam HIKMAH.
Dan hikmah tidak semestinya kita ketahui pada masa hal ini terjadi.
“Allah itu Maha Mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui apa-apa”

Belum bersedia
Ada kemungkinan juga, kita belum bersedia atas apa-apa yang kita hajati itu. Kemungkinan yang kita hajati itu datangnya bersama tanggungjawab yang besar. Contohnya, hajat hendak berkahwin, tetapi Allah tidak izinkan pada waktu yang kita hajati. Ada kemungkinan Allah tidak izin itu kerana kita belum bersedia untuk memikul tanggungjawab itu.

Begitulah juga dengan kejayaan-kejayaan dalam kehidupan. Biasanya, kejayaan akan datang bersama tanggungjawab. Kemungkinan besar, Allah tidak mengizinkan kita mencapai kejayaan itu, kerana diri kita masih tidak mampu memikul tanggungjawab yang hadir bersamanya.



Dosa
Kadangkala, hajat kita tidak tercapai adalah kerana kita ada perkara yang belum selesai dengan Allah SWT. Maka Allah tidak memenuhi hajat kita kerananya.
Sebab yang hendak memberikan segala perkara terjadi adalah Allah SWT. Dan Dia berkuasa untuk tidak membenarkannya.PERKARA inilah kebiasaannya kita sering lakukan sebagai seorang pelajar. Tidak menunaikan SOLAT, menipu, tidak menghormati guru, membuat maksiat dan macam-macam lagi. Namun, jarang untuk kita menyedarinya... dan akhirnya menyalahkan takdir...Nauzubillahi minzalik...



Berusaha untuk positif dengan Allah
Allah Maha Mengetahui. Dia tahu kita siapa. Dia yang paling kenal kita. Dia yang paling mencintai kita. Oleh itu, sekiranya ada perkara-perkara yang kita rasakan buruk menimpa kita, sepatutnya kita perlu kembali memuhasabah diri.

Mengapakah kita tidak dapat apa-apa yang kita hajati? Jangan sekadar memandang secara teknikal. Ada kemungkinan lain selain hal teknikal yang menyebabkan hajat kita itu tidak tercapai, usaha kita itu tidak berhasil.Dan sepatutnya, perkara ini kita patut pandang pada sudut kasih sayang Allah.



Ada kemungkinan Allah hendak menyelamatkan kita dari sesuatu yang kita tidak tahu, sebab itu Dia menghalang daripada hajat kita tercapai. Ada kemungkinan kita masih belum mampu, lantas Allah tahan dahulu kita dari mendapat apa yang kita hajati, agar kita tidak terkapai-kapai di kemudian hari. Ada kemungkinan Allah hendak mendidik kita, agar lebih dekat denganNya, sebab itu kerana dosa kita Dia tidak membenarkan kita mendapat apa yang kita hajati.



Allah itu Maha Penyayang.
Jika kita tidak mendapat apa yang kita hajati pun, itu adalah sebahagian dari kasih sayangNya.



“Sesungguhnya apa-apa yang akan Aku lakukan terhadap hambaKu adalah mengikut sangkaan hambaKu terhadap-Ku…”(Hadith Riwayat Imam Ahmad, Bukhari, Muslim dan lain-lain)



Penutup: Memang dalam hidup, bukan semua benda kita nak, kita dapat
Dan sentiasalah memahami bahawa di dalam kehidupan, bukan semua perkara yang kita hajati akan berjaya kita capai.



Jangan kecewa apabila tidak mendapat apa yang dihajatkan. Pandang dari sudut yang positif. Fikir jauh ke hadapan. Jika kita manusia yang punya keterikatan dengan Allah SWT, maka kita akan berlapang dada, bersangka baik dengan aturan-aturanNya kepada kita.
Sekiranya kita mampu memahami perkara ini, lumrah ini, hakikat ini, insyaAllah jiwa itu akan tidak terbeban. Hal ini demikian kerana, kita sentiasa positif.
Positif, sentiasa membuahkan positif yang lain, Insya-Allah Taala....




Imam Muda

Mungkin tiada apa yang boleh dinukilkan secara terperinci berkaitan dengan Program Imam Muda yang baru sahaja tamat pada Jumaat lepas. Walaupun hanya 2 episod sahaja dapat menyaksikannya, namun, pada episod akhir berpeluang juga menyaksikannya...itu pun sewaktu makan di restoran bersama zauji. Setelah berlangsung hampir 3 bulan, Kemuncak Imam Muda yang diadakan secara gilang gemilang pada 2 hari lepas telah mengumumkan Imam Muda Asyraf sebagai Imam Muda terulung bagi tahun yang pertama ini.
Tahniah buat Asyraf.

Mengenali sahsiah, sifat peramah dan kebolehannya dalam menghafal Al-Quran bukanlah sesuatu magis yang berlaku secara tiba-tiba. Tetapi beliau telah melalui proses bermula daripada usia yang masih muda ketika kanak-kanak lagi. Ayah dan Ibunya, telah memulakan proses pendidikan Islamiyah kepada Asyraf bermula dengan menghidupan jiwanya dengan Al-Quran. Sejak  kecil, Asyraf dididik untuk membaca dan menghafal Al-Quran. Bagi saya inilah sebenarnya kekuatan Asyraf yang sebenar iaitu kekuatan Al-Quran yang hidup dalam hatinya.


Proses inilah yang akan melahirkan satu kekuatan keperibadian yang utuh dan membentuk pemikiran Islamik yang bersih dan benar. Dan bagi saya inilah yang menjadi persediaan awal yang kita perlu laksanakan dalam mendidik dan membentuk generasi pewaris yang bakal memimpin masa depan negara. Negara Malaysia ini harus dipimpin oleh mereka-mereka yang mempunyai akhlak yang baik dan mempunyai kepimpinan yang menyerlah bagi menghadapi arus cabaran yang mendatang. Alangkah baiknya, seandainya MRSM mampu untuk melahirkan pelajar seumpama ini... Semoga dengan tertubuhnya MRSM Ulul Albab sedikit sebanyak mampu untuk membentuk generasi yang mempunyai keperibadian yang utuh dan unggul.

Khamis, 29 Julai 2010

Masih ada ruang...


Tanpa disedari...hari ini sudah pun 18 hari kita di bulan Syaaban..Tinggal beberapa hari sahaja lagi bakal menjelang bulan Ramadan... Masih terlalu banyak amalan sunat yang masih belum sempurna diamalkan.. Insya-Allah...sama-sama kita berusaha untuk memperbanyak amalan di bulan Syaaban ini... 

ANTARA AMALAN DI BULAN SYAABAN.


MEMPERBANYAK PUASA SUNAT...
Saidatina Aisyah RAnha berkata yang bermaksud:
Aku tidak pernah melihat Rasulullah S.A.W. menyempurnakan puasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan dan aku tidak pernah melihat baginda memperbanyakkan berpuasa sepertimana pada bulan Syaaban.
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Saidatina Aisyah Ranha berkata yang bermaksud:

Nabi Muhammad S.A.W. tidak banyak berpuasa melainkan pada bulan Syaaban dan baginda telah berpuasa sebulan penuh pada bulan Syaaban. Dan adalah baginda bersabda: Lakukanlah amalan yang mana kamu mampu membuatnya maka sesungguhnya Allah tidak membebankan (mewajibkan) kamu sehingga kamu merasa berat dengan bebanan. Dan apa yang disukai oleh Rasulullah S.A.W. adalah sembahyang (sunat) yang sentiasa dibuat sekalipun sedikit. Dan adalah baginda apabila mendirikan sembahyang maka baginda sentiasa berterusan di dalam berbuat demikian.

MELAZIMI BERZIKIR DAN BERDOA
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Allah mencurahkan kebajikan pada empat malam iaitu malam Raya Haji, malam Raya Puasa, malam Nisfu Syaaban dan malam Arafah.
(Riwayat al-Baihaqi).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Doa merupakan otak kepada ibadat.
(Riwayat al-Tirmizi).

SENTIASA BERTAUBAT DAN BERISTIGHFAR
Firman Allah Taala bermaksud:
Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah wahai orang-orang yang beriman supaya kamu berjaya.
(Surah an-Nur: Ayat 31).