Alhamdulillah pada 11 -13 Jun 2012 telah diadakan Kursus
Pentaksiran Peperiksaan Berasaskan Sekolah (PBS) di MRSM Gerik. Walaupun
pelaksanaan PBS ini sepatutnya dijalankan bermula Januari yang lalu, namun,
kebanyakan sekolah ,masih baru melaksanakan sistem ini, terutamanya bagi
kebanyakan MRSM. Mungkin kebanyakan dalam kalangan kita masih belum tahu kaedah
pelaksanaan sistem ini..Bermula tahun 2014 Peperiksaan PMR akan digantikan
dengan PBS ini. Pelaksanaan PBS ini adalah untuk penambahbaikan UPSR dan PMR mulai
Tahun 1 pada 2011 dan Tingkatan 1 pada 2012.Banyak kekurangan sistem yang dilaksanakan selama ini kerana dilihat lebih kepada "exam oriented" sehingga Falsafah Pendidikan Kebangsaan kurang dicapai.
Falsafah Pendidikan Kebangsaan :
Pendidikan di Malaysia adalah
suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan potensi individu secara
menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari
segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada
Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang
berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan
berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap
keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.
Oleh itu, atas beberapa sebab maka, kerajaan telah menambaik baik kaedah ini kepada Pentaksiran Berasaskan Sekolah.
Dalam melaksanakan sistem ini terdapat banyak kekangan yang akan dihadapi sama ada di peringkat guru atau pentadbir kerana sistem ini baru dilaksanakan. Kesediaan guru dan kemahiran guru dalam melaksanakan sistem ini dilihat kurang jelas kerana tidak semua guru memahami sistem ini ditambah kursus yang diberikan tidak secara menyeluruh. Selain itu, guru-guru akan terasa terbeban dengan tugas tambahan. kerana perlu meneliti sistem yang baru. Tambahan pula, integriti guru diragui kerana sistem pemarkahan sepenuhnya diberikan oleh guru.
Segala butiran atau malumat tambahan berkenaan dengan PBS ini boleh dilayari dalam laman web Kementerian Pelajaran
Alhamdulillah .. pagi ini memulakan sesi yang baru dengan hati yang ceria.. pagi ini menjadi orang pertama yang hadir ke sekolah... bukan senang nak jadi orang pertama ...yalah.selalu setiap pagi akan menghantar anak-anak dahulu ke rumah pengasuh.. tetapi...pagi ini anak-anak sedang berbahagia bersama-sama nendanya di kampung... kali pertama berpisah dengan Muhammad Aiman Haikal..Emmmm....
Bermulanya semester 2 , maka bemulanya istilah "sibuk" bagi cikgu-cikgu di sini... Bermula Sabtu 9 Jun yang lalu, telah diadakan Debat ASEAN peringkat antarabangsa di MRSM Trolak... Pasukan debat Bahasa Melayu PS telah diketuai oleh Pn. Junaidah... Negara Asean yang menyertai pertandingan ini antaranya Indonesia, Thailand, Myanmar,Filpina dan lain-lain. Semoga pasukan debat maktab dapat membuat yang terbaik... Insya-Allah...
2. Petang ini akan dilancarkan Hari koperasi ... Selesai pelancaran Hari Koperasi, seramai 12 orang guru akan mengikuti kursus Penataran Subjek PBS di MRSM Gerik sehingga 12 Jun
3. Hari khamis akan diadakan Majlis Hi-Tea untuk perpisahan Tn. Haji Mohd Yunus (Pengetua)
4. Jumaat pula Sambutan Hari Guru...
3. Pasukan debat UIA sedang membuat persiapan untuk ke pertandingan Debat UIA yang akan berlangsung pada hari Jumaat ini..
4. Sabtu ini, 16 Jun pula diadakan Teknik Menjawab SPM idi MRSM Kuala Kubu Bharu, seramai 40 orang pelajar Tingkatan 5 akan mengikuti seminar ini.
5. 15 - 17 Jun akan diadakan Kem Kecemerlangan PMR di Setiawan untuk semua pelajar Tingkatan 3.
6. Rabu hadapan seramai 6 orang pelajar akan menyertai World Scholars Cup di Bangkok...
dan macam-macam lagi program yang akan dilaksanakan...tidak tertulis di sini...
Semoga guru-guru di MRSM Pasir Salak akan terus diberikan kekuatan untuk meneruskan perjuangan dala m melakar kejayaan yang cemerlang di Pasir Salak di bawah kepimpinan pengetua yang baru.
Sabtu, 9 Jun 2012
Alhamdulillah..akhirnya siap juga tugasan menanda..syukur...
Masa berlalu begitu pantas..Tanpa disedari esok bermulanya bulan Rajab...menghampiri bulan Ramadan..
Sejarah Islam telah mencatatkan beberapa peristiwa penting telah berlaku di dalam bulan Rejab, antaranya ialah ;
Pertama :
Peristiwa Isra’ Mikraj yang berlaku pada 27 Rejab mengikut pendapat
sebahagian besar ulama’ Islam. Peristiwa ini berkenaan Rasulullah
s.a.w. telah dijalankan dari Mekah ke Baitul Maqdis dan kemudiannya
diangkat ke langit untuk bertemu Allah s.w.t. Di sinilah bermulanya
kefarduan solat lima waktu kepada umat Muhammad s.a.w.
Kedua :
Peristiwa hijrah yang pertama ke negeri Habsyah oleh beberapa orang
sahabat Rasululullah s.a.w. termasuk termasuk saidina Usman bin Affan
r.a. dan isterinya Ruqaiyah binti Rasulullah s.a.w. Penghijrahan ini
bertujuan menyelamatkan akidah di samping keselamatan diri ekoran
tekanan dan ancaman hebat oleh puak musyrikin Mekah ketika itu.
Ketiga :
Peristiwa perang Tabuk yang berlaku pada tahun kesembilan Hijrah. Peperangan ini merupakan peperangan yang dipimpin oleh Rasulullah s.a.w. sendiri untuk
menentang tentera Rom yang ingin mengembangkan pengaruhnya ke
semenanjung Tanah Arab ketika itu. Walau bagaimanapun akhirnya tentera
Rom membatalkan hasrat mereka kerana merasa gentar dan takut dengan
kehebatan dan kekentalan jiwa tentera Islam.
Selain itu,
terdapat juga peristiwa penting lain yang berlaku di dalam bulan yang
mulia ini seperti penaklukan semula kota Baitul Maqdis oleh Salahuddin
Al-Ayubi daripada kekuasaan tentera Salib pada 27 Rejab 583 hijrah. Imam
As-Syafie yang menjadi ikutan mazhab umat Islam di tanah air kita juga
dilahirkan di dalam bulan Rejab tahun 150 hijrah bersamaan 767 masehi.
Sesetengah
umat Islam akan berpuasa sunat di dalam bulan Rejab. Sesetengahnya pula
akan pergi menunaikan umrah kerana menganggap umrah yang mereka lakukan
di dalam bulan ini ada fadilatnya yang khusus. Tidak kurang juga
terdapat umat Islam yang berusaha memperbanyak sedekah pada bulan ini
dengan beranggapan mereka akan mendapat ganjaran yang berlipat kali
ganda berbanding bulan-bulan yang lain.
Demikianlah
sebahagian amalan-amalan sunat yang amat digalakkan kepada umat Islam
untuk melaksanakannya. Amalan-amalan ini, sekiranya diamalkan dengan
penuh keikhlasan sudah pasti akan dapat melahirkan insan yang
benar-benar bertaqwa kepada Allah s.w.t. Ini, sekaligus dapat
mengelakkan mereka daripada terjerumus kedalam perkara-perkara maksiat
dan masalah-masalah sosial yang lain.
Ahad, 20 Mei 2012
Alhamdulillah... sudah berada di minggu terakhir semester 1.. Maka, semakin gigih untuk menanda skrip jawapan pelajar.. Namun, pagi ini saya sibuk menyiapkan kerja-kerja MUAFAKAT. Tugas pertama menyediakan analisis peperiksaan PMR dan SPM sepanjang tahun 2006 hingga 2011 untuk laporan YDP MUAFAKAT... Memang saya akui sepanjang Tn. Haji Mohd Yunus Bin Deraman menjadi pengetua, banyak perubahan yang berlaku di maktab.. Menyentuh soal pencapaian akademik, memang banyak peningkatan sepanjang beliau menerajui maktab ini. Cara beliau memang agak praktikal untuk guru-guru mengaplikasikannya..Namun, memang memerlukan pengorbanan yang tinggi oleh para guru. Hasil analisis PMR dan SPM sepanjang tahun 2006, maktab ini berjaya meletakkan nama antara top 10 MRSM. Tahniah kepada semua warga maktab atas kejayaan ini. Semoga MRSM Pasir Salak akan melakarkan kejayaan yang lebih membanggakan pada masa akan datang...
KEDUDUKAN MRSM PASIR SALAK ANTARA MRSM SE-MALAYSIA
KEDUDUKAN MRSM DAN SBP DALAM PEPERIKSAAN SPM
Sabtu, 19 Mei 2012
Lirik Lagu Ombak Rindu Versi Islamik
Tuhan tolong lembutkan hati hamba
untuk mencintaiMu seadanya (selamanya)
kerna ku tak sanggup
kerna ku tak mampu
menghadapi siksa nerakaMU
Tuhan aku tahu banyak dosaku
hanya ingatkanMu kala dukaku
namun hanya Kamu yang mampu membuka
pintu hatiku untuk cintaMu
Allah..ampunkanlah hambaMu (dosaku)
yang slalu dustakan janjiku
agar kelak ku tak kan disiksa
kerna dosa-dosa masa lalu
Allah..jatuh air mataku
dan trus mengalir mengiringi doaku
Allah..Yang mengampuni segala
Dosa-dosa hamba yang meminta..
Hanya mampu berdoa.. Moga maghfirah (keampunan) tiba nanti..
Khamis, 17 Mei 2012
Alhamdulillah..akhirnya siap menyediakan laporan minit mesyuarat untuk Mesyuarat Agung MUAFAKAT 25 Mei nanti... Laporan terakhir telah diserahkan kepada pengetua dan timbalan-timbalannya untuk diedit..Terima kasih diucapkan kepada mereka yang telah banyak membantu untuk menyiapkan laporan ini.
Maka...hari ini boleh fokus menanda kertas peperiksaan dengan amannya....Rasa cemburu melihat kawan-kawan tunduk khusyuk menanda skrip jawapan pelajar seminggu ini..
Insya-Allah... hujung minggu ini akan terus fokus menanda dan cuba untuk menyiapkan sebelum cuti sekolah..
"Saya sayang cikgu kerana Allah"
tersentuh hati ini apabila mendapat mesej ini daripada seorang pelajar... teringat kisah dalam filem Hafalan Solat Delisa umminya menangis apabila anaknya Delisa mengungkapkan.......
"Delisa Sayang Ummi Kerana Allah"...dan umminya pun membalas
"Ummi juga sayang Delisa kerana Allah..."
kata-kata itu menusuk ke hati..
Terima kasih kepada anak-anak pelajar yang masih mengingati diri ini. Semoga kalian akan terus berjaya di dunia wal akhirat... Buat Fasilah dan Munirah..terima kasih atas kejutan yang diberikan..Cikgu sangat-sangat menghargainya...
Semalam alhamdulillah dapat rezeki makan kek... Cerita pasal kek, teringat kisah tentang hukum meniup lilin
Apakah hukum menyambut hari lahir dan hukum meniup lilin? Maka
jawabnya berdasarkan beberapa orang ulama’ kitab-kitab terbaru
(ulama’-ulama’ yang lama tidak menyebut tentang perkara hari lahir ini)
di antaranya seorang ulama’ besar di Universiti al-Azhar melalui kitabnya
‘yas a luu naka fiddin’ hukumnya bida’ah yang harus.
Bida’ah kerana tiada contoh yang dibuat pada zaman Nabi Muhammad S.A.W. .
Harus pula kerana tiada ayat, nas atau hadis yang melarang menyambut
hari lahir maka harus asalkan biarlah dengan cara yang tidak bercanggah
dengan Islam.
Hukum meniup lilin ini adalah haram kerana amalan ini tiada dalam
agama lain melainkan agama kristian. Barangsiapa yang mengikut satu adab
yang lazim untuk sesuatu kaum sahaja maka termasuk kaum itu.
Hadis Nabi yang bermaksud: “Barangsiapa meniru sesuatu kaum maka dia adalah sebahagian dari mereka”
Rujuk: Direkodkan oleh Abu Daud, diriwayatkan dari Abdullah bin Umar
r.a, Sunan Abu Daud, no: 4031, Ibn Hibban, no: 437 dalam Bulughul Maram,
hadis ini sahih, Zaila’ie dalam Nusub ar-Rayah, 4/347, Haithami, Majmak
Zawaid, 10/274, Fathul Bari, darjat hadis: Sahih.
Setengah ulama’ mengatakan boleh buat kek tetapi tidak boleh tiup
lilin dan bernyanyi. Sebaiknya berselawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W. .
Sesiapa yang berselawat ke atas atasku (Nabi Muhammad S.A.W. ) sekali
maka Allah akan mengampunkannya sebanyak 10 kali dosa-dosanya.
Bersyukurlah kerana Allah masih memberikan kita peluang untuk hidup
bukannya bergembira sedangkan semakin banyak hari lahir yang kita sambut
untuk diri kita semakin tua umur kita dan semakin dekat kita dengan hari
kematian kita maka patutkah kita bergembira, bertepuk tangan atau
seumpamanya?
Syukur...diketemukan pada hari yang cukup bersejarah dan bermakna ini.. Melangkah masuk ke pejabat hati sudah terusik dengan kata-kata dan ucapan yang tergantung di depan pejabat... Walaupun tidak menyambut hari guru pada hari ini, namun, masih tetap merasainya..terima kasih wahai anak-anakku..atas ucapan, penghargaan yang diberikan..cikgu sangat-sangat menghargainya... Doakanlah gurumu ini untuk menjadi guru yang ikhlas dalam mendidik anak-anak semua..doakanlah gurumu ini agar dapat menempuh segala cabaran dalam bidang perguruan ini...terima kasih semua...
Isnin, 14 Mei 2012
Pagi ini buka sahaja facebook ramai yang menukar display picture facebook masing-masing.. Apabila mengamati dan menghayati rupa-rupanya hal ini berkaitan kisah memperingati hari nakbah... Sebelum ini isu ini kurang mendapat perhatian daripada masyarakat kita. Alhamdulillah... sekurang-kurangnya kita dapat mengetahui tarikh bersejarah ini...Semoga kita dapat mengambil iktibar atas perkara yang berlaku ke atas rakyat Palestin.
bual bicara oleh Dr. Hafidzi berkenaan isu hari nakbah
Jika kita memperingati tanggal-tanggal
penting setiap tahun seperti hari kemerdekaan negara, hari buruh dan
cuti-cuti persekolahan namun adakah kita sedar dan tahu sejarah yang
telah berlaku pada tanggal 15 Mei? 62 tahun yang lalu, tarikh ini
telah menjadi sesuatu yang besar dan tragis bagi umat Islam. Lebih
tepat untuk dikhususkan kepada umat Islam yang peduli dengan hal-hal
agama dan saudara-saudara mereka.(Peringatan buat diri ini juga)
Imbauan sejarah
Peristiwa 62 tahun lepas dikenali
sebagai Nakba yang bermaksud malapetaka. Satu malapetaka besar buat
penduduk Islam di bumi Palestin secara amnya dan kepada seluruh umat
Islam sebenarnya. Jika sebelum itu kita telah dimalukan dengan peristiwa
kejatuhan Khilafah Islam secara rasminya, sekali lagi pada 1948 kita
dihina secara terang-terangan oleh golongan-golongan yang memusuhi Islam
sejak dahulu lagi.
Tidak bermaksud untuk mengutarakan
secara mendalam tentang peristiwa Nakba di sini kerana diri ini yakin
dengan kemudahan teknologi dan maklumat, info berkaitan dengan Nakba
begitu senang untuk diperoleh.
Darah perjuangan mereka
Setiap hari kita digegarkan dengan
berita-berita yang gempar di Bumi Anbiya’ itu. Perjuangan
saudara-saudara dalam menegakkan panji-panji Islam tetap diteruskan
walaupun sepahit mana kehidupan yang mereka lalui. Mereka yakin bahawa
perjuangan ini adalah resam hidup dalam mencapai nilai janji-janji Allah
terhadap orang-orang yang berjuang.
Anak-anak kecil, yang pada kebiasaannya
bergelak ketawa bersama rakan-rakan, berlari keriangan dan mewah dalam
kehidupan adalah suatu yang mustahil bagi anak-anak di Palestin. Jika
anak-anak kita dibesarkan penuh dengan kasih sayang dan suasana yang
terbaik, maka lain pula untuk mereka di sana. Namun apa yang pasti,
nilai kasih sayang ibu bapa terhadap anak-anak mereka amat jauh kasih
dan sayangnya jika dibandingkan dengan kita di sini. Pilu hati si ibu
dan bapa apabila melihat anak-anak mereka menjadi mangsa kepada
kezaliman Yahudi, namun mereka redha. Kerana mereka di Palestin yakin
bahawa nilai kasih sayang sebenar adalah perjuangan untuk agama ini.
Begitu juga keadaannya untuk nasib para
ibu dan bapa Palestin. Setiap hari, langkah keluar mereka tidak dapat
menjanjikan yang mereka akan dapat pulang kembali ke rumah bersama-sama
dengan keluar mereka semula, dengan anak-anak mereka. Setiap hari
mereka melangkah, mereka tidak tahu adakah itu langkah terakhir mereka
meninggalkan keluarga ataupun tidak. Tetapi apa yang mereka tahu,
balasan Allah terhadap perjuangan mereka adalah pasti.
Semangat perjuangan kita
Tidak sanggup untuk melihat perjuangan
yang mereka lalui. Jika mereka yakin, jika mereka tahu maka kita juga
perlu yakin dan tahu. Kerana apa? Kerana kita juga adalah sama seperti
mereka, melafazkan satu kalimah agung, mewarisi mukjizat yang mulia dan
berusaha untuk mengangkat panji-panji Ilahi.
Jika di Palestin, mereka bertumpahan
darah tidak bermakna kita yang selesa di sini hanya perlu berdiam diri
dan tidak pula bermakna kita semestinya bertumpahan darah. Sumbangan
yang dapat kita lakukan untuk saudara-saudara kita, walaupun tidak
seberapa, namun hal ini besar untuk mereka malahan sesuatu yang mulia
di sisi Allah.
Mengapa tidak untuk kita turut
menitiskan air mata dalam mendoakan perjuangan mereka? Ketahuilah,
sebenarnya perjuangan itu adalah perjuangan kita juga. Luluhkan hati ini
untuk berdoa kepada Yang Maha Esa untuk kemenangan yang nyata,
ketabahan hati yang pasti dan kekuatan yang azali untuk kita juga mereka
di sana.
Jika kita diserang dengan
senjata-senjata berat janganlah berputus asa kerana senjata kita adalah
doa. Doa kepada Tuhan yang menciptakan segalanya. Kepada Yang Maha
Kuasa. Jangan berputs asa kerana saudara-saudara di bumi itu tidak
pernah berputus asa. Begitu juga dengan pejuang-pejuang yang ada sebelum
kita, mereka juga tidak berputus asa. Iringilah semangat kita ini
dalam meningkatkan kualiti diri dan mendekatkan diri kepada Allah yang
Esa.
=
Ahad, 13 Mei 2012
ISNIN (14 MEI 2012)
Bermulanya musim peperiksaan..
maka bermulanya memeriksa skrip jawapan pelajar...
Malam tadi, banyak pesanan mesej masuk sehingga peti masuk sudah penuh. Pelajar sibuk bertanya saat-saat terakhir dan bertanyakan tentang soalan spot yang mereka dapat dari MRSM lain. Dalam banyak-banyak mesej tersebut, satu sahaja mesej yang mohon restu dan minta untuk mendoakan kejayaan. Walaupun saya tidak mengajarnya kini, namun, pelajar ini masih mengingati saya. Terima kasih!
Berbalik isu pelajar suka spot soalan..Janganlah bergantung sangat pada soalan spot itu. Kesannya sangat bahaya. Apabila yang mereka spot itu tidak masuk dalam kertas peperiksaan, pelajar akan menjadi panik dan gelisah. Namun yang penting ialah mereka perlu mahir dan tahu teknik menjawab. Hal ini akan memberikan keyakinan kepada kita ketika menjawab. Apabila adanya keyakinan
berilah apa-apa saja soalan, mereka boleh jawab. Itu sebenarnya yang kita
inginkan. Bukan hanya fokus pada sesuatu konteks soalan. Kadangkala pelajar sibuk ingin mengetahui apakah soalan yang akan keluar, namun mereka sendiri tidak mahu untuk menguasai teknik menjawab yang betul. Sepatutnya pelajar perlu berguru dan datang sendiri bertanyakan kelemahan sendiri kerana setiap individu itu mempunyai kelemahan yang berbeza... Walau apa-apapun, semoga semua pelajar dapat menjawab soalan dengan hati yang tenang... dan semoga beroleh kejayaan yang cemerlang.
Khamis, 10 Mei 2012
Semalam senarai guru yang berpindah telah dikeluarkan...Makanya, 4 orang guru akan berpindah ke MRSM Parit yang akan dibuka pada 11 Jun 2012.. Ramai guru yang berasa pilu apabila mendengar berita itu. Maklumlah yang berpindah itu orang-orang kuat Pasir Salak... Paling terasa kehilangannya ialah Cikgu Nazri, orang kuat Koperasi dan MUAFAKAT... Kemudian, Cikgu Azliza orang kuat bahasa Inggeris, Cikgu siti Rafeah orang kuat seni dan juga Ustazah Hasnah... Seronok mendengar dan melihat keceriaan wajah mereka dapat berpindah ke sana... Selepas ini sekali lagi saya perlu bergandingan dengan bendahari yang baru.. Sepanjang memegang jawatan setiausaha MUAFAKAT, seramai tiga orang guru yang telah memegang jawatan bendahari..cikgu Noralmadi, Ustaz Karim dan Cikgu Nazri..dan...sekali lagi akan bergandingan dengan bendahari yang baru...
Selepas ini, tidak kelihatanlah bas MRSM Parit di bumi pasir Salak ini.. dan tidak dapatlah menggunakannya lagi...dan kembali seperti sediakala menggunakan bas MRSM Pasir Salak yang telah menabur banyak bakti kepada warga Pasir Salak..hehe
Alhamdulillah..segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam. Sekali lagi dapat berjumpa penghulu segala hari...
''Mulakan hari anda dengan melafazkan kata-kata seronok atau puji-pujian kepada orang-orang di sekeliling kita. Insya-Allah apabila sifat-sifat positif itu
telah tertanam di dalam minda, maka ketenangan akan hadir dalam diri kita.
Menurut Dr. Azizan, kata-kata
pujian atau seronok memang agak susah untuk diterima. Bagaimanapun, kita
harus memulakannya kerana inilah sebenarnya kunci kepada menaikkan
semangat kita dalam mencapai kejayaan dan matlamat yang diimpikan. Semoga hari ini akan terus memberikan semangat kepada kita dalam menempuh kehidupan yang penuh cabaran ini.
Kisah yang berlaku pada hari semalam telah memberikan saya semangat tentang erti sebuah kecekalan dan pengorbanan.
"Kak Jun, saya terpaksa balik, sebab suami saya kena "operate" kepala petang ni. Dia kemalangan semalam"
Kami agak terkejut mendengar pesanan sms itu. Mana tidaknya, sepanjang pagi itu kami lihat tidak ada riak wajah sedih pun di mukanya. Beliau sendiri tidak memberitahu apa-apa yang berlaku pada kami pagi itu.. Rupa-rupanya suaminya kemalangan kerana melanggar 2 ekor kerbau dan terbabas. Rasanya kerbau tu tumbang....Itupun kami dapat tahu daripada tuan pengetua sewaktu sesi bersama pengetua petang semalam. "Hebat cikgu-cikgu kita" kata Tuan Haji... Suami sedang sakit kemalangan isteri masih boleh datang bekerja.. Hebat sungguh...
Oleh itu, seyogianya setiap pekerjaan itu perlu dilakukan dengan niat yang ikhlas kerana Allah...
Selesai kelas semalam terus pergi ke kafeteria..
Sabtu, 5 Mei 2012
Muhasabah untuk diri saya...
"HIDUP KITA CUMA DALAM 3 HARI: Semalam ~ Sudah menjadi sejarah. Hari Ini ~ Apa-apa yang sedang kita lakukan. Esok ~ Hari yang belum pasti.
Hisablah Hari pertama semoga Hari yang keduaKita lebih baik bagi kita untuk
menghindari yang mungkar dan beramal soleh dengan kusyuk kerana mungkin
ajal Kita pada Hari yang ketiga.
HIDUP CUMA DALAM 2 NAFAS: Nafas Naik. Nafas Turun.
Hargailah Nafas yang naik kerana udara yang disedut Adalah pemberian Allah secara percuma Dan Carilah keredaan~Nya dalam menggunakannya.
Bertaubatlah dalam Nafas yang kedua kerana mungkin itu Nafas yang terakhir keluar dari tubuh bersama Nyawa Dan roh untuk meninggalkan dunia yang fana ini.
HIDUP CUMA ADA 2 PILIHAN : Hidup dalam keredaan Allah. Hidup dalam kemurkaan Allah.
HIDUP YANG ABADI CUMA ADA 2 TEMPAT : Kekal di dalam neraka. Kekal di dalam syurga.
Ingatlah kecelakaan neraka itu amat mengerikan Dan Kita hanya diyakinkan oleh keyakinan Kita kepada rukun IMAN. Rukun Iman itu pula Ada 6 Dan apabila Hilang salah satu daripadanya maka hilanglah IA.
Kelazatan Dan kesejahteraan syurga itu maha HEBAT. Tidak terduga oleh fikiran Kita Dan untuk mendapatkannya Terjemahkan rukun ISLAM yang 5 itu Dan puncaknya adalah SOLAT .. . Amat sukar untuk dipercayai Bagi yang ingin ke SYURGA tetapi tidak bersolat, Umpama seorang yang mahu menaiki kapal terbang, Tetapi tidak mempunyai boarding pass.
Dan mereka yang sengaja melalaikan solat, Umpama mengeposkan sepucuk surat tanpa melekatkan setem .. . Apabila ditanya bagaimana surat itu akan sampai Pada penerimanya .. . Lalu dia pun berkata Setemnya akan dihantar kemudian.
Ada 2 penyelesaian dalam kes ini : Dia mungkin didenda .. . Atau, suratnya masuk tong sampah.
Oleh itu, tidakkah Kita semestinya bersyukur Atas segala nikmat yang Allah kurniakan kepada Kita .. .. Sekurang-kurangnya Allah telah memberi udara Secara percuma untuk Kita berzikir mengingati~Nya Setiap detik Dan ketika, hinggalah Kita kembali Kepada Allah dalam keadaan jiwa yang tenang .. . Lalu masuk ke dalam syurga dalam keadaan Kita reda Dan Allah meredai.
Semoga Kita semua berbahagia + sejahtera senantiasa Di dunia jua di akhirat kelak serta Di dalam rahmat Allah s.w.t.
Pagi Jumaat yang tenang dan mendamaikan... Alhamdulillah..petang semalam (Khamis) pasukan debat MRSM Pasir Salak bertolak ke MRSM Taiping jam 2.15 petang. Segala persiapan telah dilakukan bersama guru penasihat Pn. Arfah dan Pn. Aina.. Semoga mereka beroleh kejayaan untuk mendapat tempat antara 20 MRSM yang akan bertanding ke pertandingan Debat Asean. Insya-Allah...
Namun, dalam membuat persiapan terakhir sebelum pergi ke MRSM Taiping,
saya menerima panggilan daripada ayah pendebat ketiga maktab (hari Rabu) yang
memaklumkan datuk pelajar itu telah meninggal dunia dan meminta untuk
membawa pelajar itu pulang ke Johor. Apabila saya bertanya kepada
pelajar tersebut, dia mahu untuk pulang ke Johor dan dalam masa yang
sama dia mahu ke MRSM Taiping... Kalau mahu diukur bukan dekat
jarak antara MRSM Taiping ke Johor.. dan dia memang bertekad mahu ke MRSM
Taiping juga.. Alhamdulillah.. Allah memudahkan perjalanan pelajar itu..dan dia dapat sampai ke MRSM Taiping jam 12.00 tengah malam tadi.. dan pagi ini dia bertanding untuk pusingan pertama melawan MRSM Gemencheh. Alhamdulillah mereka berjaya pada pusingan tersebut. Ya Allah...sangat cekal pelajar itu.. Dia bersungguh-sungguh untuk berjuang di medan perdebatan. Sewajarnya pelajar-pelajar kita dapat mencontohi kesungguhan dan kecekalan pelajar itu walaupun diuji dengan dugaan yang berat. Semoga Allah memberikan kejayaan kepada mereka semua. Amin... TERUSKAN PERJUANGAN!!!
Allah berfirman : "Sesungguhnya sesudah kesulitan, pasti ada kemudahan" ~Surah Al- Insyirah,ayat 5~
senyumlah..kerana dengan senyuman anda bisa membahagiakan diri anda dan orang lain...
permata hati
puteri idaman
perindu reda ilahi
putera idaman
Zauji
Terima kasih segalanya
Srikandi
srikandi idaman
tautan hati
Aku bukan INSAN yang berbicara melalui MULUT, tapi MELUAHKAN melalui TULISAN..segalanya lebih mudah diluahkan kerana PENGALAMAN itu memberi ERTI pada hati dan minda..MEMORI dan KENANGAN boleh diimbas dengan PEMBACAAN,agar AKU sentiasa MENGINGATInya dan sentiasa DIPERINGATI dengan KATA-KATA sendiri..MENULIS kerana merasakan DIRI JAHIL, dan MENULIS kerana ingin TERUS MEMPERBAIKI KELEMAHAN diri..MENULIS untuk MELUAHKAN segalanya...MENULIS bukan untuk SESIAPA, bukan KERANA SESIAPA,bukan untuk APA-APA,tapi kerana HATI dan MINDA yang mendesak JARI untuk MENULIS..kerana ALLAH memberikan nikmat untuk AKU MENULIS..selagi tak bertentangan dengan SYARIAT,izinkan aku untuk MENULIS..andai tersasar HALUANku,pandulah diriku ke arah cinta Ilahi..SALAM PERJUANGAN.."