Rabu, 31 Mac 2010

Program Untukmu Srikandi....

Saat ini sedang menyiapkan modul untuk program srikandi... Walaupun hati agak rasa sedih ekoran teman setia (laptopku) yang telah rosak, namun semangat tetap perlu diteruskan... Insya-Allah...akan dipermudahkan segala urusan...

Sukan GURKA ditunda...

Alhamdulillah...Sukan GURKA yang dijangka akan dilaksanakan pada 16 - 19 April 2010 ditunda...  Sememangnya patut ditunda kerana tiada persediaan yang cukup untuk menjadi tuan rumah..Sehubungan dengan itu, semua guru dapat menumpukan perhatian kepada P&P sebelum Ujian Selaras 2 yang akan berlangsung pada 20-24 April 2010...

Rindunya apabila tiada di sisi...

Sudah 2 hari tiada teman setia berada di sisi... Terasa kehilangan yang amat apabila tidak dapat bersama... Setiap malam menemani untuk menghilangkan rasa sunyi di hati... Namun, kini tidak dapat menemani lagi... Tidak tahu sampai bila...

"Laptop tak dapat dibaiki... kalau dapat pun terpaksa dihantar ke kilangnya dan kosnya sekitar RM 600.00..." kata tauke kedai komputer di Teluk Intan pagi tadi...

Terpaksalah membiarkan teman setiaku itu untuk seketika... Insya-Allah ada jodoh kita akan bersama semula....

Khamis, 25 Mac 2010

PERINGATAN DARIPADA ALLAH TAALA..


Petang semalam.. sewaktu mengendalikan Program GEMILANG PMR di PSP..hujan lebat diikuti angin yang agak kencang... Tiba-tiba tingkap di PSP pecah dan mujur tidak mengenai pelajar yang berada di bawah.. Apabila keluar dari PSP semua pelajar, guru dan staf agak cemas disebabkan banyak kejadian yang tidak diduga... Mungkin ini peringatan daripada Allah untuk semua warga MRSM Pasir Salak.. Dalam mengejar pencapaian akademik...jangan dilupakan pencapaian sahsiah diri... Semoga kita sama-sama mengambil iktibar daripada setiap perkara yang berlaku....

Tingkap di PSP pecah akibat ditiup angin kencang

Bumbung di Stor Pusat diterbangkan angin..

Bumbung yang telah diterbangkan oleh angin ...

Dalam tempoh sekelip mata sahaja bumbung ini terbang


Pokok di depan dewan turut menyembah bumi

Pokok berhampiran quarters guru dipanah petir


beberapa orang staf sedang membaiki bumbung kereta di quarters staf


Lampu di Dataran Usahawan turut tumbang...


Serpihan kaca bersepah di anjung surau

MENGAPA BEGINI YA ALLAH..


GAGAL?? Tidakkkkkk….

“Kenapa aku tak lulus? Nak kata tak belajar aku belajar. Doa pun sudah. Sembahyang hajat pun selalu. Orang lain tak ulang kaji macam aku pun boleh lulus.“


Pernahkah kita begini? Astaghfirullah. Pernahkah kita memikirkan hikmah di sebalik satu kegagalan itu? Dalam mengharungi rencah hidup yang penuh renyah ini kadangkala kita juga tumpas dan tewas dalam menghadapi halangan. Jika dilihat dari sudut logikalnya, Pelari 110m berpagar pun kadangkala tidak dapat melepasi kesemua halangannya. Tapi pernahkah kita fikir hikmah dan natijah di sebalik kegagalan itu?

Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal itu tidak baik bagimu. (Al-baqarah:216)

Lepas tengok ayat ini apakah yang kita semua rasa? Mungkin kegagalan itu hikmahnya supaya kita lebih tekun berusaha. Mungkin juga supaya kita tidak mudah lupa siapa yang sebenarnya pemilik kejayaan itu. Mungkin juga hendak mengelakkan kita terus takbur dan sombong dengan kehebatan kita [kehebatan?atau kehebatan pinjaman Allah SWT] Mungkin juga kerana DIA mahu kita terus sentiasa ingat kepada-NYA. Manusia, insan yang mudah lupa bila hidup senang lenang.

Mari kita lihat satu analogi :

Ada seekor monyer yang berpeluk pada dahan pokok. Tiba-tiba angin halilintar dan puting beliung melanda kawasan itu. Makin kuat sang monyet mendakap pokok itu. Dan monyet itu berjaya mengelakkan dirinya dari malapetaka itu. Sedang sang monyet berehat, datang pula angin sepoi-sepoi bahasa, meniup kawasan pokok tersebut. Monyet itu semakin selesa dengan angin yang lemah gemalai itu, dakapannya semakin longlai dan akhirnya sang monyet ini tumpas.

Pengajaran:

Jangan jadi monyet. Bukan! Jangan kita lupa bila diuji dengan kesenangan . Ramai yang berjaya apabila diuji dengan kepayahan dan kesusahan. Namun tak ramai yang berjaya bila diuji dengan kesenangan.

Ataukah kamu mengira kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cobaan) seperti orang-orang terdahulu sebelum kamu. Mereka ditimpa kemelaratan, penderitaan, dan digoncang sehingga Rasul dan orang-orang beriman bersamanya berkata, Bilakah datang pertolongan Allah? Ingatlah sesungguhnya Pertolongan Allah itu dekat. (Al-Baqarah:214)

Astaghfirullah, jangan cepat mengeluh. Rupanya kita baru sikit diuji. Lupakah kita bagaimana saudara-saudara kita seperti Bilal Bin Rabah diuji. Lupakah kita bagaimana Mashitah dan keluarganya diuji. Alangkah manjanya kita, cepat melatah bila diuji. Bayangkan pula bagaimana saudara-saudara kita di Palestin sana.

Maknanya, kalau gagal kena gembira ke? Insya-Allah kita cuba tenangkan fikiran, muhasabah dan fikir hikmahnya. Jika gagal tingkatkan lagi usaha dan doa. Akhir sekali, SELAMAT BERJUANG DI MEDAN PEPERIKSAAN Akhirat dan Dunia, insya-Allah sekuat manapun kita diuji kita harus kuat untuk menghadapinya.

SEMOGA BERJAYA!!

AKU HAIRAN

1.Aku hairan melihat orang yang sudah tau bahawa dia akan mati tapi masih tetap tertawa dan tidak sedar

2.Aku hairan melihat orang yang sudah tahu bahawa dunia akan binasa tetapi masih tetap mencintainya
3.Aku hairan melihat orang yang sudah tahu bahawa semua perkara terjadi menurut takdir, tetapi masih bersedih kerana kehilangan sesuatu
4.Aku hairan melihat orang yang sudah tahu bahawa di akhirat ada perhitungan, tetapi masih sibuk mengumpulkan harta
5.Aku hairan melihat orang yang sudah kenal neraka, tetapi masih melakukan dosa
6 Aku hairan melihat orang yang sudah mengenal Allah dengan yakin, tetapi masih mengingat selain-Nya
7.Aku hairan melihat orang yang sudah mengenal syaitan sebagai musuhnya, tetapi masih mahu mematuhinya

(Uthman Ibn Affan)

Sabtu, 20 Mac 2010

Perjuangan telah selesai..


Pagi yang indah...  hujan turun dari malam tadi menjadikan suasana pagi ini sangat tenteram dan nyaman... Alhamdulillah...akhirnya malam tadi berjaya juga perjuanganku untuk menanda kertas ujian....Inilah pengalaman pertama menanda dalam tempoh yang agak lama... Tidak pasti sebab emosiku yang tidak stabil atau karangan mereka yang kurang memuaskan... Sebab setiap skrip jawapan mengambil masa yang agak lama untuk disemak... dan hasilnya tidak ramai yang mendapat A... Jadi, selepas ini besar tanggungjawabku untuk menjadikan mereka seolah-olah seorang guru bahasa Melayu...

Pagi ini aku akan bertolak balik ke maktab jam 9.30 pagi... Kalau tidak disebabkan ada mesyuarat MUAFAKAT petang ini takdelah sehingga nak pulang seawal pagi....Masih banyak kerja yang tidak disiapkan... Semoga perjalanan ke sana dilindungi-Nya...SELAMAT  MENERUSKAN PERJUANGAN

Isnin, 15 Mac 2010

sekadar renungan..


Petikan daripada satu artikel yang ditulis oleh Amin Fadzlan

Ini kisah benar..kisah seorang gadis Melayu, beragama Islam, tapi cetek pengetahuan tentang agama. Ceritanya begini, di sebuah negeri yang melaksanakan dasar 'Membangun BersamaIslam', kerap kali pihak berkuasa tempatan menjalankan pemeriksaan mengejut di premis-premis perniagaan dan kompleks beli-belah, untuk memastikan para pekerja di premis berkenaan menutup aurat. Aku tak pasti berapa jumlah denda yang dikenakan sekiranya didapati melakukan kesalahan, tapi selalunya mereka akan diberi amaran bagi kesalahan pertama, dan didenda jika didapati masih enggan mematuhi garis panduan yang ditetapkan. Lazimnya dalam setiap operasi sebegini, seorang ustaz ditugaskan bersama dengan para pegawai pihak berkuasa tempatan. Tugasnya adalah untuk menyampaikan nasihat secara berhemah, kerana hukuman dan denda semata-mata tidak mampu memberi kesan yang mendalam. Dalam satu insiden, ketika operasi yang dijalankan sekitar 2005, seorang gadis yang bekerja di salah satu lot premis perniagaan di Pasaraya Billion telah didapati melakukan kesalahan tidak menutup aurat. Maka dia pun kena denda la...setelah surat saman dihulurkan oleh pegawai PBT, ustaz ni pun bagi la nasihat,



"..lepas ni diharap saudari insaf dan dapat mematuhi peraturan..peraturan ni bukan semata-mata peraturan majlis perbandaran, tapi menutup aurat ni termasuk perintah Allah. Ringkasnya, kalau taat segala perintahNya, pasti Dia akan membalas dengan nikmat di syurga..kalau derhaka tak nak patuhi perintahNya, takut nanti tak sempat bertaubat, bakal mendapat azab di neraka Allah. Tuhan Maha Penyayang, Dia sendiri tak mahu kita campakkan diri ke dalam neraka..." Gadis tersebut yang dari awal mendiamkan diri,tiba-tiba membentak "Kalau Tuhan tu betul-betul baik, kenapa buat neraka? Kenapa tak boleh sediakan syurga je? Macam tu ke Tuhan Maha Penyayang?" Mungkin dari tadi dia dah panas telinga, tak tahan dengar nasihat ustaz tu..dah la hati panas kena denda sebab dia tak pakai tudung.. Ustaz tu terkedu sekejap. Bahaya budak ni. Kalau dibiarkan boleh rosak akidah dia. Setelah habis gadis tu membebel, ustaz tu pun jawab:



"Dik, kalau Tuhan tak buat neraka, saya tak jadi ustaz. Berapa sen sangat gaji saya sekarang. Baik saya jadi tokey judi, atau bapa ayam.. hidup senang, lepas mati pun tak risau sebab gerenti masuk syurga... Mungkin awak ni pun saya boleh culik dan jual jadi pelacur. Kalau awak nak lari, saya bunuh je. Takpe, sebab neraka tak ada. Nanti kita berdua jumpa lagi kat syurga..Kan Tuhan tu baik?" Gadis tu terkejut. Tergamak seorang ustaz cakap macam tu? Sedang dia terpinga-pinga dengan muka confused, ustaz tu pun jelaskan:



"perkara macam tadi akan berlaku kalau Tuhan hanya sediakan syurga. Orang baik,orang jahat, semua masuk syurga..maka apa guna jadi orang baik? Jadi orang jahat lebih seronok. Manusia tak perlu lagi diuji sebab semua orang akan 'lulus' percuma. Pembunuh akan jumpa orang yang dibunuh dalam syurga..perogol akan bertemu lagi dengan mangsa rogol di syurga..lepas tu boleh rogol lagi kalau dia nak..takde siapa yang terima hukuman. Sebab Tuhan itu 'baik'. Adakah Tuhan macam ni yang kita nak? Awak rasa, adil ke?"; tanya ustaz. "Ah...mana adil macam tu. Orang jahat takkan la terlepas camtu je.." rungut si gadis. Ustaz tersenyum dan menyoal lagi:



"Bila tuhan tak adil, boleh ke dianggap baik?" Gadis tu terdiam. Ustaz mengakhiri kata-katanya:



"Adik, saya bagi nasihat ni kerana kasih sesama umat Islam. Allah itu Maha Penyayang, tapi Dia juga Maha Adil. Sebab tu neraka perlu wujud. Untuk menghukum hamba-hambaNya yang derhaka, yang menzalimi diri sendiri dan juga orang lain. Saya rasa awak dah faham sekarang. Kita sedang diuji kat atas dunia ni. Jasad kita bahkan segala-galanya milik Allah, maka bukan HAK KITA untuk berpakaian sesuka hati kita".Ingatlah; semuanya dipinjamkan olehNya, sebagai amanah dan ujian..semoga kita dapat bersabar dalam mentaati segala perintahNya, untuk kebaikan diri kita jugak. "


JOM KE PESTA BUKU


Salam buat semua pembaca. Terasa terpanggil untuk berkongsi 1 perkara yang paling disukai iaitu berkunjung ke Pesta Buku. Sudah terlalu lama tidak dapat berkunjung ke sana.. Moga-moga tahun ini diberi ruang dan kesempatan... Jadi, bagi semua masyarakat di luar sana yang 'suka buku'  bolehlah sama - sama memeriahkan Pesta Buku Antarabangsa 2010 di PWTC. Jangan ketinggalan ye!



Bermulanya perjuangan Pen Merah..

Hari ini bermulalah perjuanganku.... senjata-senjata inilah yang akan menemani sepanjang 5 hari... Semoga ditenangkan HATI ketika menempuhnya... dan semoga dipermudahkan segala urusan...

Ahad, 14 Mac 2010

Perjalanan yang jauh..

                                                         

Semalam terasa kepenatan yang amat...selesai ziarah adik ipar yang berada di wad Hospital Jerantut kami terus bertolak ke Meru jam 6.30 petang.. Ingatkan perjalanan seperti biasa... Tiba di Lebuhraya Genting Sempah kesesakan yang teruk berlaku ditambah dengan hujan lebat...

dari 3 jam perjalanan menjadi 5 jam setengah... fuh..lama sungguh..jam 12.02 minit pagi baru sampai di rumah..  Mujurlah VCD Ustaz Muhammad Kazim Bin Elias menjadi peneman kami sepanjang perjalanan... Kalau mendengar ceramah beliau berulang kali pun tak rasa bosan.. dapat dengar 3 Tajuk ceramah.." Punca Kesesatan" "Isteriku Sayang" dan "Bila Kita Ada Ayah dan Ibu".. Alhamdulillah..dapatlah meningkatkan  ilmu di dada... Kadangkala, kita sering menjadikan alasan sibuk sehingga terlupa untuk menambahkan ilmu lebih-lebih lagi ilmu agama... Carilah ruang dan kesempatan untuk kita sama-sama meningkatkan kualiti diri..Kalau kita rasa malas nak membeli buku atau membaca buku, sekarang pelbagai bahan boleh kita dapat di website ataupun blog... tinggal kita saja yang mengaplikasikannya... Kita sering menghabiskan masa di depan komputer atau laptop... melayan laman web sosial..facebook..myspace dan lain-lain...kadangkala sehingga 24 jam... tetapi kita jarang melawat website atau blog yang memberikan pengisian dalaman kita.. kerana kalau nak dihitung ilmu Allah...terlalu luas...namun kita perlu mencarinya...

Khamis, 11 Mac 2010

KEJAYAAN BERSAMA



Saat-saat mendebarkan telah terungkai....Alhamdulillah...Tahniah dan syabas.. buat rakan sepasukan Unit Bahasa Melayu...100% A..
sekali lagi melakar sejarah yang bermakna... Buat Kak Amal,Kak Jun dan Kak Intan tahniah atas kesungguhan dan sekali lagi mencipta rekod...
TERUSKAN PERJUANGAN!!
Secara keseluruhan MRSM Pasir Salak berjaya mendapat ranking ke-6 daripada 36 MSRM Se-Malaysia..
Satu pencapaian yang sangat membanggakan..
TAHNIAH & SYABAS kepada seluruh warga MRSM PASIR SALAK...

Slip keputusan pelajar Cemerlang SPM (10 A +)

Saat-saat indah dan manis

Selasa, 9 Mac 2010

Menghitung Hari-hari Terakhir....


Keputusan SPM secara rasminya akan diumumkan pada hari esok (KHAMIS) 11 MAC 2010... Adakah MRSM Pasir Salak sekali lagi bakal mengulang sejarah pada tahun lepas dengan mendapat 100% A1 dalam subjek bahasa Melayu??? Memang tidak diduga akan mendapat keputusan seperti itu... Tempat ke-2 antara sekolah se-Malaysia... Semoga kita bakal sekali lagi melakar sejarah dan mendapat keputusan yang baik secara keseluruhannya... Sama-sama kita mendoakan kejayaan anak-anak kita... AMIN....

Tiba-tiba terkenang ajk BADAR ..Suhaili.. Aiman..Jannah...Afiqah..Semoga kalian dapat keputusan yang cemerlang... Bittaufiq Wan Najah...

Isnin, 8 Mac 2010

SALAM IMTIHAN




Minggu peperiksaan berlangsung bermula hari ini sehingga hari Khamis… Moga-moga semua pelajar Tingkatan 2. 3 dan 5 akan dapat melakukan yang terbaik..


Apabila tibanya musim peperiksaan barulah para pelajar sibuk untuk mengulang kaji pelajaran sehinggakan ada dalam kalangan mereka yang terpaksa berjaga malam sehingga waktu pagi untuk mengulang kaji …sehingga ada yang terlajak untuk Solat Subuh berjamaah di surau… Ingatlah …kita sangup berjaga malam untuk peperiksaan..tetapi, untuk bangun bermohon kepada-NYa amat sukar sekali… Kadangkala, apabila tiba musim peperiksaan besar seperti SPM dan PMR sahaja kita buat Solat Hajat… untuk ujian-ujian yang kecil kita terlupa untuk melakukannya… Aku cukup memuji sikap pelajar Tingkatan 3 C (Puteri) tahun lepas, selesai aktiviti surau, mereka akan tinggal untuk menunaikan Solat Hajat Berjamaah.. Konsisten dari awal tahun sehingga hari terakhir mereka bersekolah… Alhamdulillah..dengan berkat kesungguhan dan istiqamahnya mereka melaksanakannya, maka mereka telah mendapat 8A untuk PMR...hanya seorang sahaja yang yang mendapat 7A 1B.. Subhanallah..





ILTIZAM




Alhamdulillah..akhirnya siap juga buku modul untuk Program Gemilang Bahasa Melayu PMR… Tahun ini ada peruntukan untuk buat cover depan berwarna… Apabila penyelaras yang mengurus, maka, warna ungulah yang menjadi pilihan… Moga-moga pelajar-pelajar Tingkatan 3 tahun ini dapat merealisasikan hasrat untuk mendapat 100% A subjek Bahasa Melayu tahun ini dan dapat mengulang kejayaan pada tahun 2007… Namun, perkara yang penting adalah iltizam yang tinggi oleh semua guru dan juga pelajar… Baki tidak sampai 8 bulan perlu dimanfaatkan sepenuhnya agar segala yang direncanakan akan tercapai… Amin…

Lagu daripada kumpulan Rabbani bertajuk ILTIZAM sangat bermakna dan boleh dijadikan pembakar semangat untuk mencapai kejayaan..

LAGU ILTIZAM-RABBANI
Di depan sana harapan menantikan
Munculnya wahana sinar kejayaan
Yang bisa bangun setelah direbahkan
Diratap kecewa sepi sendirian

Iltizam kita perlulah ditingkatkan
Sahsiah kan hebat menyerlah
Iman kita itulah kekuatan
Berjihad di segala bidang

Bukalah minda kan terlihat rahsia
Apa yang difikir menyingkap yang zahir
Betapa bijana kebijaksanaan
Mentafsir perkasa ilmu diilhamkan

Nilai hidupkan bererti
Maruah dihargai
Islam terus dihormati
Indah dihayati

Iltizam kita perlulah ditingkatkan
Sahsiah kan hebat menyerlah
Iman kita itulah kekuatan
Berjihad di segala bidang
Bukalah minda kan terlihat rahsia
Apa yang difikir menyingkap yang zahir
Betapa bijana kebijaksanaan
Mentafsir perkasa ilmu diilhamkan

Nilai hidupkan bererti
Maruah dihargai
Islam terus dihormati
Indah dihayati

Sandiwara tipuan khayalan
Kejahilan mainan syaitan
Emosi bukanlah penyesaian
Wibawa semoga yang beriltizam
 

Memegang Islam Ibarat Menggenggam Bara Api


Kita ikuti dialog ringkas ini,

“Cikgu, saya tak berani nak tegur kawan saya berdating dalam kelaslah,”
“Cikgu, saya tak berani nak tegur kawan saya tak solat Zuhur dan Asarlah,”
“Cikgu, saya tak berani nak tegur kawan saya tak pakai tudung melintas aras di asramalah.”
“Cikgu, saya tak berani nak tegur kawan saya apabila mereka bersembang dan bergelak di dalam suraulah..”

Dialog-dialog sebegini sering dilontarkan oleh AJK BADAR, BWP dan LDP dan pelajar-pelajar lain…

“Eh, kau tak payahlah sibuk-sibuk nak nasihat aku.. kau tu pun apa kurangnya,  "
Dialog sebegini selalu saja berlaku.. Telah menjadi kebiasaan kita tidak suka untuk dinasihati sebegitu. Apabila ada seseorang yang ingin membetulkan kita, kita turut sama mencari kesalahan yang ada pada orang itu. Hal ini adalah pelaku untuk orang yang sombong!

Sedangkan, Allah s.w.t memerintahkan kita untuk saling mengingati dan tegur- menegur akan setiap kesilapan yang saudara semuslimnya lakukan. Berpeganglah dengan 1 prinsip, “Sahabat adalah cermin kepada sahabat yang lainnya.” Seharusnya kita selalu bersikap terbuka terhadap orang yang menegur atau menasihati kita. Biarpun seseorang itu bukanlah tergolong dalam golongan yang alim ulama’, kita tetap perlu menerima teguran itu dengan berlapang dada. Lagi- lagi jika kesalahan itu benar- benar kita lakukan. Bak kata orang,

“Jangan lihat siapa yang menegur kita, tapi lihatkan teguran yang dilontarkan kepada kita.”

Dalam pada itu, kita sepatutnya bersyukur kerana masih ada yang sanggup untuk memperbetul dan menyedarkan kita daripada melakukan perbuatan yang membawa kepada kemurkaan Allah s.w.t. Setiap teguran dan bait nasihat yang baik, yang keluar daripada mulut sesiapapun, pastinya daripada Allah s.w.t. Mungkin Allah s.w.t ingin menyedarkan kita melalui sahabat atau kawan- kawan kita. Ingat, ilham datang daripada Allah s.w.t.. kalau kita bersikap sombong untuk menerimanya, ini juga bermaksud kita ingin berpaling daripada menerima peringatan daripada Allah s.w.t yang sememangnya terang- terang dijelaskan dan dilarang di dalam al- Quran. Agak malang jika kita tahu akan kewujudan suatu larangan, tetapi kita tetap sengaja melakukannya. Tidakkah kita gerun dengan ayat Allah s.w.t yang bermaksud:

“Barangsiapa berpaling daripada Al qur'an maka sesungguhnya ia akan memikul dosa yang besar di hari kiamat,” – Surah Thaahaa; ayat 100

“…Dan barangsiapa yang berpaling dari peringatan Tuhannya, nescaya akan dimasukkan-Nya ke dalam azab yang amat berat.” – Surah al- Jin; ayat 17

“Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang telah diperingatkan dengan ayat-ayat Tuhannya, kemudian ia berpaling daripadanya? Sesungguhnya Kami akan memberikan pembalasan kepada orang-orang yang berdosa.” – Surah As- Sajadah; ayat 22
 
kesimpulannya, setiap orang harus berazam dalam membentuk diri ke arah yang lebih baik..

Bagi mereka yang menolong gerak kerja Islam (AJK BADAR, BWP dan LDP..ingatlah..
"barang siapa menolong agama Allah pasti Allah akan menolong kita pada saat tidak ada lagi yang menolong kita selain Dia."

Jangan rasa berputus asa apabila diherdik dan dimarahi kawan-kawan.. Cekalkan HATI..teguhkan semangat...Kerana pada akhir zaman ini..memegang Islam ibarat memegang BARA API...dipegang kita sakit...dilepaskannya ia padam... selagi mana kita bergelar orang Islam kita perlu menyampaikan dakwah dan mempertahankan Islam.. Insya-Allah janji ALLAH pasti akan tiba... TERUSKAN PERJUANGAN KALIAN....






Sabtu, 6 Mac 2010

LEGACY 2009


Majalah maktab 2009..Warna ungu lagitu... memang menjadi kegemaranlah....Walaupun isi dalamnya agak ringkas, namun nampak kemas, cantik dan menarik... teruskan usaha untuk semua ajk sidang redaksi....

Jumaat, 5 Mac 2010

DI SEBALIK KRITIKAN PEDAS...


Baru-baru ini datang seorang pelajar dan bertanya kepadaku.. "cikgu, cikgu selalu mengkritik kami, kemudian, suka psiko kami...jarang sekali cikgu memuji kami apabila kami melakukan sesuatu.."

Aku tersenyum melihatnya...

Orang-orang berjaya tahu, kritikan adalah sebahagian daripada proses mencapai kejayaan. Mereka tahu, mereka takkan dapat mengelak daripada menerima kritikan pedas dan yang negatif. Hal ini demikian kerana, lebih banyak kejayaan yang akan mereka capai maka, akan lebih banyak kritikan yang mereka terima.

Semua pemimpin besar, semua usahawan dan semua selebriti terkenal menerima berjuta kritikan negatif setiap hari. Tetapi mereka tidak kisah semua itu, "they just keep moving forward!"
Itulah cara mereka. Ketahanan mental dan kesabaran tinggi amat perlu apabila berdepan kritikan negatif. Mereka tahu hal ini, sebab itu mereka tenang saja biarpun berdepan dengan banyak kritikan daripada orang di sekeliling mereka.
Usaha mencapai impian memerlukan kita menjadi berani, tangkas, rajin dan yang paling penting, bijak mengurus kelemahan-kelemahan diri. Semua orang ada kelemahan, cuma mereka tidak berusaha membaikinya setiap hari.

Jadilah seorang yang rajin berusaha, bermotivasi dan punya misi tersendiri.

Susah hati sebab dikritik akan menyebabkan motivasi kita menurun, kesannya usaha kita turut 'turu'n.....


Lantas aku teringat kisah anak-anakku di MRSM Taiping... Sama sekali aku tidak menyangka akan berita yang disampaikan oleh mereka...

"Cikgu.. saya ada berita baik untuk cikgu...cikgu pasti bangga dengan kami... tadi, kami ada kuiz tatabahasa.. seramai 14 orang pelajar yang menjawab soalan itu dengan betul... dan 12 orang daripadanya adalah pelajar dari MRSM Pasir Salak... Mungkin inilah hasil daripada latihan beribu-ribu yang cikgu berikan dan kritikan-kritikan yang kami terima sepanjang kami menjadi anak murid cikgu..."

Ya..memang benar...aku jarang sekali memuji di hadapan mereka...Namun, di dalam HATI.. aku sering memuji dan mendoakan mereka agar terus berjaya.... Sebenarnya dengan kritikan yang pedas itulah yang membuatkan mereka berjaya...

"Alang-alang duduk menjadi cikgu...sebutir pasir dijadikan intan..."


SEKADAR RENUNGAN BERSAMA...


Jika kamu memancing ikan....setelah ikan itu terlekat di mata kail, hendaklah kamu mengambil terus ikan itu. Janganlah sesekali kamu lepaskan ikan itu semula ke dalam air begitu sahaja, kerana pasti akan sakit oleh bisanya ketajaman mata kailmu dan mungkin ikan itu akan menderita selagi ia hidup.

Begitulah juga setelah kamu memberi banyak pengharapan kepada seseorang....setelah dia mula menyayangimu hendaklah kamu menjaga hatinya. Jangan sesekal kamu terus meninggalkannya begitu sahaja, kerana dia akan terluka oleh kenangan bersamamu dan mungkin tidak dapat melupakan segalanya selagi dia mengingatimu.

Jika kamu menadah air biarlah berpada, jangan terlalu mengharap pada takungannya dan janganlah menganggap ia begitu teguh. Cukuplah ia sekadar keperluanmu....apabila sekali ia retak, tentu sukar untuk kamu menampalnya semula. Akhirnya ia dibuang....sedangkan jika kamu cuba membaikinya mungkin ia masih boleh digunakan lagi...

Begitu juga jika kamu memiliki seseorang, terimalah seadanya. Janganlah kamu terlalu mengaguminya dan janganlah menganggapnya begitu istimewa. Anggaplah dia manusia biasa. Apabila sekali dia melakukan kesilapan bukan mudah bagi kamu untuk menerimanya....akhirnya kamu kecewa dan meninggalkannya. Sedangkan jika kamu memaakannya boleh jadi hubungan kamu akan berterusan hingga akhirnya.

Begitu juga jika kamu telah bertemu dengan seorang insan yang kamu pasti membawa kebaikan kepada dirimu, memyayangimu, mengasihimu. Mengapa kamu berlengah, cuba membandingkannya dengan yang lain. Terlalu mengejar kesempurnaan. kelak, kamu akan kehilangannya apabila dia menjadi milik orang lain kamu juga yang akan menyesal.....





Khamis, 4 Mac 2010

Sentuhan Bermakna...


Seusai solat Maghrib di surau malam tadi aku meluangkan masa bersama-sama pelajar yang ma'zurah... Selama 3 tahun aku di sini, tidak ada aktiviti khas untuk pelajar-pelajar ini..Mereka membuang masa dengan membaca novel, bergelak ketawa, bersembang dan juga mengambil kesempatan untuk tidur.. Alhamdulillah..masuk hari ini sudah 2 minggu mereka mempunyai aktiviti untuk memenuhi ruang masa antara Maghrib dengan Isya'...Jadual sudah pun dibuat dan alhamdulillah sudah dapat dilaksanakan. ..setiap malam Jumaat akan ada slot bersama warden... dan aku orang pertama yang mengendalikan slot tersebut..
         Hasil pengamatan selama 3 tahun , boleh dikatakan kehidupan pelajar puteri di sini kurang mesra antara satu sama lain..  kurangnya ukhwah di antara mereka... suka mengutuk antara "batch" yang lain...memandang rendah dan macam-macam lagi... sedih melihat situasi itu.. Jadi,malam itu, aku membuat modul sentuhan kepada mereka... bermula dengan mengalunkan zikrullah  dan berakhir dengan modul sentuhan bermakna... Mendengar respon daripada mereka, mereka berasa terkejut, malu, segan, terkedu, terkesima seronok dan macam-macam lagi dalam sesi yang pertama.. memang agak memalukan untuk memegang sahabat kita..tetapi hakikat yang sebenarnya tidak memalukan seandainya memegang buah hati mereka... Nauzubillahiminzalik...mohon dijauhkan...

Aku menyuruh mereka mencari pasangan yang berlainan tingkatan dan meminta mereka memegang tangannya.. Pada mulanya aku tertawa besar apabila melihat mereka berasa sangat segan untuk memegang tangan pasangan masing-masing.. Namun, itulah hakikatnya..kita malu untuk bersaudara sesama kita... malu untuk menegur orang yang tidak seumur dengan kita..apatah lagi untuk memegang tangan mereka... Namun, ingatlah.... Islam telah mengikrarkan bahawa sesama Muslim adalah bersaudara. “Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara” . Ayat ini telah meletakkan dasar keimanan sebagai tali pengikat rasa ukhuwah.

Sebenarnya, melalui sentuhan itulah yang mengalirkan perasaan kasih dan sayang antara kita.. Kasih seorang ibu kepada anaknya..kasih seorang isteri kepada suaminya...kasih seorang guru kepada anak muridnya dan kasih seorang sahabat kepada sahabatnya.. Indahnya ukhwah itu apabila lahir daripada HATI yang tulus...jauh daripada sifat-sifat mazmumah...



Mengapa mesti ada rasa malu dengan sahabat-sahabat kita...adik-adik kita atau kakak-kakak kita?? Tetapi apabila berhadapan dengan pelajar lelaki, kita rasa bangga dapat bercakap, bergurau senda, dan bertepuk tampar dengan mereka... ??? Ya Allah...Malunya kita...

Cuba kita lihat, apabila seorang ibu menyentuh dan memegang kita, kita akan rasa bahagia,, tenang dan sayang padanya... sama juga dengan sahabat kita... kita akan rasa bahagia, tenang apabila kita dapat memegangnya berkongsi cerita suka dan duka bersama... hasilnya..ikatan kasih sayang sesama kita akan bertaut.. Cubalah untuk kita bina semula ikatan ukhwah.. Buanglah perasaan hasad dengki dan dendam...

Kadangkala ramai pelajar mengeluh, mengadu apabila dicubit, dipukul oleh guru.. Sebenarnya cubitan itulah yang menunjukkan kasihnya seorang guru dengan anak muridnya.. Ada guru yang suka mencubit untuk merapatkan hubungan dengan anak muridnya...dan dengan cubitan itulah yang akan menjadikan pelajar itu berjaya...Cubitan itulah yang menunjukkan guru itu sayang kepada kita... Jadi... pelajar-pelajar..janganlah menilai dan memandang negatif guru kita.. setiap perkara yang dilakukan mesti ada sebab musababnya..
Sukar untuk menukarkan dan mengubah minda manusia yang sekian lama dibelenggu kehidupan remaja dan dewasa yang kebaratan.Sukar untuk mendidik seseorang untuk menerima ajaran al-quran sekiranya dia sendiri tidak sedar wujudnya hembusan Kasih SANG PENCIPTA di dalam setiap gerak –gerinya.Ditambah pula dengan sokongan rakan-rakan sebayanya yang seperti dirinya juga..beserta didikan keluarga yang tidak mengutamakan ISLAM sebagai deen di dalam kehidupan. Namun, kita masih belum terlewat untuk berubah...




Wallahua'lam bissawab...